DALAM kesibukan produser 'Mr. Cinderella' membuat persediaan memulakan penggambaran sambungan filem itu, pelakon utamanya, Erra Fazira dan Yusry Abdul Halim sudah disambar Metrowealth Movies Production (MMP) untuk digandingkan dalam filem komedi percintaan arahan Prof. Madya A Razak Mohaideen.
Erra dan Yusry yang digandingkan buat pertama kalinya dalam filem 'Mr. Cinderella' arahan Ahmad Idham tahun lepas, sudah menurunkan tandatangan mereka pada 5 Disember lalu untuk berlakon filem 'Cinta Kolesterol' yang dijangka memulakan penggambaran pertengahan bulan depan.
Perjanjian itu juga membabitkan tiga pihak iaitu MMP, Erra Fazira Entertainment (EFE) dan juga KRU Motion Sdn Bhd. Turut hadir ialah Pengarah Urusan KRU Music, Norman Abdul Halim yang juga abang Yusry dan juga Pengarah Urusan Metrowealth Group, David Teo.
Jurucakap MMP, Abdul Latif Mohaideen, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah mengambil kata sepakat bekerjasama dengan EFE dan KRU Motion untuk menerbitkan filem 'Cinta Kolesterol' yang akan dibintangi oleh Erra dan Yusry.
Katanya, filem komedi percintaan ini bukan saja menggandingkan Erra dan Yusry sebagai pelakon utama malah mereka buat pertama kalinya menjadi rakan kongsi dalam produksi ini.
MMP memilih Erra kerana namanya masih berada di tangga teratas sebagai pelakon yang mampu memberi pulangan lumayan kepada produser. Begitu juga gandingannya dengan Yusry dalam 'Mr. Cinderella' mendapat sambutan baik daripada penonton baru-baru ini.
Kami yakin filem ini akan mencatat sambutan hebat daripada penonton apabila ditayangkan nanti.
Apa yang mampu kami tawarkan kepada Erra ialah menjadi rakan kongsi dalam filem ini dan bukannya sekadar menjadi pelakon utama sebagaimana pembabitan Erra sebelum ini.
Dengan persetujuan ini, bermakna tiga syarikat bekerjasama menerbitkan filem ini tetapi MMP memegang saham paling tinggi, katanya mengesahkan Erra dan Yusry menandatangi perjanjian itu kira-kira jam 1 pagi pada 5 Disember lalu di sebuah gerai di Bangsar.
Katanya, pertemuan itu turut dihadiri oleh Norman, David dan juga produser 'Mr. Cinderella', Mohd Noor Kadir yang menjadi saksi kepada persetujuan ini.
Sebenarnya perbincangan sudah berjalan sejak bulan lalu dan akhirnya mencapai kata persetujuan baru-baru ini. Penggambaran dijangka dimulakan sekitar bulan Februari, tetapi pelakon lain yang akan menjayakan filem ini masih belum diputuskan.
Skripnya sudah siap iaitu filem romantik komedi yang menyaksikan penampilan berbeza Erra apabila menjadi wanita gemuk. MMP juga sanggup mengeluarkan kos yang tinggi untuk melantik jurumekap khas dari luar negara untuk menjayakan filem ini.
Erra juga memakai pakaian khas supaya kelihatan realistik seperti wanita gemuk. Kami yakin filem ini mendapat sambutan hebat serta peluang terbaik kepada Erra muncul dengan watak berbeza selepas berlakon 12 filem sebelum ini, katanya.
Dengan perkembangan terbaru ini, bermakna pembikinan sambungan 'Mr. Cinderella' iaitu 'Mrs. Cinderella' menghadapi masalah kerana ketiadaan bintang utamanya sedangkan penggambaran dijangka bermula awal bulan depan.
Sementara itu, Mohd Noor ketika dihubungi mengakui pihaknya sudah mengetahui perjanjian yang ditandatangani oleh tiga pihak itu, tetapi masih tetap menjalankan perbincangan lanjut dengan Erra supaya meneruskan projek pembikinan 'Mrs. Cinderella'.
Saya sudah berbincang dengan Erra dan Yusry untuk berlakon dalam sambungannya sejak beberapa bulan lalu dan kami sudah mencapai kata persetujuan. Saya juga sudah menyiapkan skripnya serta memulakan kerja-kerja pra-produksi kerana penggambaran dijadualkan bermula dua minggu lagi.
Kesilapan saya ialah tiada perjanjian hitam putih antara Kuasatek dengan Erra dan Yusry menyebabkan ada pihak lain sudah menyambar pelakon saya. Bagaimanapun perbincangan masih diteruskan dengan Erra kerana persiapan rapi sudah dijalankan termasuk pengambilan krew dan lainnya, katanya.
Mohd Noor enggan mengulas lanjut apakah pihaknya akan meneruskan pembikinan
filem itu mengikut jadual dirancang ataupun menangguhkannya buat sementara waktu.
Katanya, perbincangan lanjut masih dijalankan dan berharap segalanya menjadi
jelas secepat mungkin.