Gerak hati Nita

RAMAI yang sedia maklum, superstar Anita Sarawak berhasrat kembali berlakon di layar perak dalam filem 'Mr. Cinderella 2' yang bakal memulakan penggambaran Sabtu ini. Anita atau lebih mesra dengan panggilan Kak Nita akan berlagak sebagai Suria, setiausaha kepada Puteri Megawati dan Hakimi.

Harian Metro berkesempatan menemui Kak Nita yang tiba bersama suaminya, Mahathir Abdullah di pejabat Kuasatek Pictures untuk sesi baca skrip, semalam. Turut hadir untuk sesi itu ialah pelakon 'Mr. Cinderella 2' termasuk Erra Fazira, Yusry Abdul Halim, Maya Karin dan Khadijah Ibrahim.

Selepas hampir 36 tahun, akhirnya hati Kak Nita terbuka untuk melangkah semula ke layar besar. 'Dua Kali Lima' adalah filem terakhirnya dan ketika itu Kak Nita berusia 14 tahun. Menurut Kak Nita yang tiba di Kuala Lumpur kelmarin, dia ada banyak sebab yang mendorongnya untuk menerima tawaran produser Kuasatek, Md Noor Kadir.

“Ceritanya begini, kami terima panggilan telefon dari pejabat Kuasatek sebelum Krismas lalu, kalau tak silap 15 atau 16 Disember dan ketika itu kami bercuti di Las Vegas. Apabila mereka menawarkan saya watak untuk filem itu, saya secara automatik berkata ya tetapi sempat saya bertanyakan Mahathir dan dia bersetuju. Bagaimanapun saya beritahu Sarimah (Eksekutif Produser yang menghubungi Anita), saya nak tengok skripnya terlebih dulu.

“Mereka tak boleh hantar skrip atau sinopsis lagi ketika itu sebab saya ada masalah dengan mesin faks, sehinggalah kami pulang ke Singapura. Seperti yang dijanjikan, saya terima sinopsis menerusi e-mel dan faks,” katanya yang kagum dengan perjalanan urusan kerja yang dilakukan oleh pihak Kuasateks.

Kak Nita tidak menafikan, sebelum Kuasatek pun dia pernah menerima beberapa tawaran filem sebelum ini, malah sesetengahnya watak utama tetapi ketika itu dia belum tergerak hati untuk beraksi.

“Bagaimanapun entah macam mana, tawaran Md Noor ini saya terima, mungkin Tuhan menggerakkan hati saya untuk berlakon. Bukan kerana tertarik sangat tetapi kerana Tuhan buka hati saya untuk menerimanya. Kami pernah dengar pasal filem 'Mr. Cinderella' pertama dulu, kebetulan kami ada bersembang dengan kawan-kawan mengenai perkembangan industri hiburan di Malaysia dan dialah yang memberitahu filem ini tengah hot,” katanya.

Mahathir yang asyik memegang erat tangan isterinya itu, mencelah: “Kami sebenarnya tak tahu pula yang ada sekuel 'Mr. Cinderella 2' akan dibuat. Dan kawan kami tadi memberitahu yang Md Noor adalah orang yang bertanggungjawab terhadap filem itu.”

Dari situ difahamkan Kak Nita mula mengkaji hasil produksi Kuasatek terutama drama-drama hebat seperti 'Surah Terakhir' dan 'Tarantula' yang disifatkan mereka sebagai karya bermutu.

“Md Noor banyak terbitkan drama-drama bagus seperti 'Surah Terakhir' itu. Dari situ, kami nampak apa yang telah dia buat. Saya tertarik dengan watak Suria kerana saya selesa dengannya, seorang yang kelakar, cute dan lucu. Tetapi sebagai seorang setiausaha kepada Puteri Megawati, dia kena bijak biarpun lucu dan di situ saya kena satukan dengan elemen slapstik.

“Saya rasa perlu beri pandangan kerana kakitangan Kuasatek memang bagus. Kami rasa sudah bertemu asas etika kerja yang sama, dari mula-mula mereka menghubungi saya sehinggalah hari ini. Saya dan Mahathir rasa kami membuat keputusan yang bijak,” katanya yang tidak berenggang dengan suaminya itu.

Mengenai ketepatan masa yang sering dia utamakan itu berkemungkinan akan menghadapi masalah tertunda, Kak Nita berkata:

“Kami sudah bersedia dengan masalah yang kemungkinan timbul. Kami sebelum ini pernah bekerja dengan produksi TV dan selalu delayed. Bagaimanapun sesetengah perkara yang berlaku memang tak boleh dielakkan.”

Wanita berkarisma berusia 50 tahun itu menafikan dia menerima tawaranberkenaan kerana bayaran lumayan.

“Tidak sama sekali, saya tak pernah memikirkan soal bayaran ketika saya berkata ya untuk filem ini. Kalau orang lain ajak main filempun, saya tak pernah tanya berapa duit yang akan saya terima. Saya menerimanya, pertama kerana gerak hati dan kedua skrip yang bagus dan sesuai dengan saya. Dan yang penting, wujud chemistry atau keserasian di antara produser, pengarah dan artis-artis,” katanya.

Mahathir yang mempunyai potongan rambut kurang lebih seperti Kak Nita berkata, jalan cerita 'Mr. Cinderella' juga kuat dari segi moral biarpun ia sebuah komedi.

“'Mr. Cinderella' bukan hanya sebuah komedi ringan tetapi apa yang ada dalam filem itu boleh terjadi kepada sesiapa saja dalam hidup realiti,” kata Mahathir.

Kak Nita berharap dia boleh memberi apa yang produser, pengarah dan penulis skrip mahukan. Dia juga memuji lakonan Erra Fazira dalam 'Mr. Cinderella' yang disifatnya sebagai cantik dan bijak. Sementara itu, Md Noor yang turut hadir dalam sesi baca skrip pagi semalam memberitahu, walaupun Kak Nita sebagai Suria hanya membabitkan tujuh babak saja tetapi penyanyi Tragedi Buah Epal bersungguh dalam membuat homework.

“Saya berbesar hati dengan kesudiannya berlakon dalam produksi saya, sebagai seorang diva yang berjaya di peringkat antarabangsa sudi mencemarkan diri untuk bersama dengan kami. Kesediaannya ini dianggap sebagai hadiah Kak Nita kepada Kuasatek,” katanya.

“Ada kesamaan di antara kami, dia seronok apabila kami dipertemukan di Singapura baru-baru ini. Kami ada keserasian terutama dari segi kerja dan visi,” katanya.