Jadual penggambaran Erra bertembung

BELUMPUN sempat melangkah ke lokasi, produksi 'Mr. Cinderella 2' menghadapi beberapa dugaan, termasuk isu perebutan pelakon utamanya, Erra Fazira dan yang terbaru, Erra dikatakan tidak bersetuju dengan jadual penggambaran yang ditetapkan.

Kisah itu dipaparkan dalam ruangan Soseh Soseh di halaman Bintang Harian Metro kelmarin. Biarpun sekadar memberi klu, produser Kuasatek Pictures, Md Noor Kadir menghubungi kami untuk memberi penjelasan sebenar.

Menurut Md Noor, pihaknya sedia maklum dengan kesibukan Erra sebagai penyanyi, pelakon dan jurucakap kepada produk kecantikan serta komitmen lain. Sehubungan itu, pihaknya sudah meminta jadual Erra untuk disuai padankan dengan jadual penggambaran 'Mr. Cinderella 2'.

“Bagaimanapun kami belum menerima apa-apa seperti yang diminta, sehingga memaksa pihak kami membuat jadual sendiri kerana tarikh penggambaran semakin hampir. Namun selepas diberikan kepada Erra, beberapa tarikh yang kami buat itu bertembung dengan komitmennya.

“Jadual yang ditunjukkan kepada kami, terlalu ketat. Erra bagi tempoh sehingga 15 Mac depan, tarikh yang dia perlu dilepaskan kerana dia akan berlakon pula dalam 'Cinta Kolesterol'. Apabila sudah bagi jadual ketat, jadi harapnya Erra bagi komitmen penuhlah.

“Dalam proses menyuai padankan tarikh itulah, timbul suara-suara tinggi, maklumlah dalam keadaan tension, tonasi suara dah jadi lain. Saya kasihan juga dengan pengarah saya, Din CJ, dia mungkin tertekan kerana banyak yang perlu dia fikirkan termasuk dari segi teknikal dan krew.

“Bukan fikir masalah seorang pelakon saja, bagaimana pula dengan pelakon-pelakon lain, terutama yang terbabit dalam babak yang sama dengan Erra. Penggambaran kami selama 45 hari bermula 18 Januari ini dan 15 Mac, Erra mahu dilepaskan,” kata Md Noor.

Namun, Md Noor tidak berniat mahu membesar-besarkan cerita ini yang sepatutnya diketahui oleh orang dalam saja kerana ini masalah dalaman produksi itu.

Menurut produser yang popular dengan telefilem-telefilem bermutu itu, dalam masa 45 hari, Erra bukan saja terbabit dengan penggambaran 'Mr. Cinderella 2' tetapi masih ada komitmen lain, termasuk persembahan nyanyian.

“Apabila dia dah bagi tarikhnya, bagilah kerjasama kepada kami pula. Kami bukan tak boleh bertolak ansur tetapi tarikh yang diberikannya itu memang tak boleh ditunda atau dipinda lagi kerana ia membabitkan orang lain.

“Salah satu tarikh yang Erra tak dapat beri komitmen itu jatuhnya pada hari yang kami nak buat babak besar, yang membabitkan pelakon tambahan dan pihak polis. Surat kebenaran sudah diluluskan, macam mana pihak kami nak jawab pada mereka?” katanya.

Dalam hal ini, Md Noor berharap, pengarah jangan disalahkan kerana dia mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dan banyak yang perlu diambil kira. Siang malam katanya, pengarah itu dan team produksi berbincang.

Katanya, dia tak mahu perkara remeh seperti itu dipersoalkan kepada pengarah sebaliknya lebih baik diajukan kepada pihak pengurusan atau produser sendiri.

“Pengarah tak boleh fikirkan masalah seorang artis saja tetapi keseluruhan yang terbabit. Saya cuma ingin minta Erra berikan kami ruang untuk bernafas.

“Kalau boleh kita ubah, kita akan ubah tetapi banyak lokasi, props dan pihak-pihak tertentu yang sudah kami confirmed. Bukan lokasi di Malaysia saja malah di New Zealand,” katanya.

Tidak dinafikan Erra menjadi rebutan produser filem dan setiap produser yang mengambilnya perlu memahami situasi begini. Apabila diajukan soalan berkaitan situasi itu, Md Noor berkata, dia tak nafikan risikonya.

Cuma katanya, 'Mr. Cinderella 2' adalah sekuel kepada 'Mr. Cinderella' yang juga dijayakan oleh Erra.

“Kita buat sekuel ini pun atas persetujuannya. Sekarang kita sudah berdamai ekoran isu lalu, jadi tak usahlah timbul lagi kontroversi. Bagilah sokongan kepada kami,” katanya yang turut menunjukkan surat pengesahan bantuan dan kerjasama polis untuk filem keduanya itu.