Tunggu
Erra buat kejutan
Spy MA
14 December 2002
SIAPA pun tidak boleh menidakkan kenyataan bahawa Erra Fazira satu-satunya pelakon wanita tanah air yang menjadi rebutan produser kerana rekodnya sejak diperkenalkan oleh Datuk Yusof Haslam melalui 'Sembilu' memang cemerlang.
SPY MA angkat topi dengan kelebihan Erra dan ia tidak perlu dicemburui pelakon lain. Erra juga menjadi rebutan produser hingga boleh dikatakan semua produser tanah air mengimpikan Erra berlakon filem mereka.
Namun, cerita terbaru yang SPY MA dengar mengejutkan juga kerana seorang produser melobi untuk memancing Erra dan Yusry berlakon filem terbarunya selepas kejayaan filem 'Mr Cinderella' yang menggandingkan mereka berdua.
Apa yang sampai ke telinga SPY MA ialah, ceritanya bercorak komedi percintaan dengan penampilan Erra cukup mengejutkan. Apa yang mengejutkan, tak tahulah, kenalah tunggu.
Lebih menarik, janji produser itu ialah, jika selama ini filem Erra membuatkan produsernya kaya raya, tetapi jika berlakon dalam filemnya, bukan saja bakal menjanjikan kekayaan kepadanya (produser) tetapi juga Erra dan Yusry.
Bayaran Erra untuk filem ini juga lebih tinggi daripada yang diterimanya dalam 'Mr Cinderella' dan juga 'Janji Diana'. Wah... pancing baik nampak, tapi bagaimana dengan keputusan Erra?
Produser ini cukup yakin Erra akan terima dan hanya menunggu Erra menurunkan tandatangan. Mereka boleh memulakan penggambaran bulan depan. Namun setahu SPY MA, Erra akan berlakon sambungan 'Mr. Cinderella' terbitan Kuasatek Pictures yang dijangka memulakan penggambaran bulan depan juga.
Ketika ini produsernya, Mohd Nor Kadir yang meraih keuntungan apabila filem pertamanya mencatat kutipan lebih RM3 juta, sibuk membuat persiapan.
Skripnya juga siap dan dikatakan cukup mendebarkan serta penuh tanda tanya. Filem ini juga dikatakan menjalani penggambaran di New Zealand pada Februari depan. Macam mana tu Erra, tentu pening lagi kan... kerana Erra memang biasa berdepan dilema seperti ini.
Apapun, SPY MA tunggu reaksi peminat melalui gandingan Erra dengan Afdlin Shauki
dalam 'Soalnya Siapa?' akhir bulan ini, diikuti 'Gila-gila Pengantin' berpasangan
dengan Norman Hakim.