Sama hebat
'Janji Diana', filem terbaru Datuk Yusof Haslam bukan saja menjanjikan cerita menarik yang membariskan pelakon hebat dan popular malah mencatat sejarah apabila menggandingkan dua bintang paling laris saat ini, Erra Fazira dan Rosyam Nor.
Erra yang mula diperkenalkan Yusof menerusi 'Sembilu' pada 1993 menjadi satu-satunya pelakon wanita yang terus menjadi rebutan produser hingga saat ini kerana berlakon tiga filem sepanjang tahun ini, bermula 'Soalnya Siapa?', 'Gila-gila Pengantin' dan 'Janji Diana'.
Rosyam ketika ditemui di majlis pelancaran filem ini kelmarin, berkata rezekinya cukup baik tahun ini apabila menerima 15 tawaran sama ada memegang watak utama atau pembantu, selepas kejayaan 'KL Menjerit' Januari lalu.
Bagaimanapun katanya, dia hanya mampu menerima empat daripadanya bermula dengan 'Laila Isabella' dan 'Janji Diana' manakala dua filem lagi iaitu terbitan Berjaya Film, 'Dara Ranggi' dan satu lagi belum ada tajuk dijangka memulakan penggambaran awal tahun depan.
“Saya terharu kerana mendapat perhatian Datuk Yusof untuk memegang watak utama, selepas berpeluang menjadi watak pembantu dalam 'Gerak Khas The Movie' (GKTM) empat tahun lalu.
“Saya juga gembira kerana pertama kali digandingkan dengan Erra Fazira. Sebelum ini kami pernah berjumpa dalam GKTM, tetapi watak saya tidak berpeluang bertemu dia.
“Saya harap gandingan Rosyam-Erra akan menjadi pasangan sesuai seterusnya filem ini mendapat sambutan hebat penonton,” katanya.
Selepas ini saya mahu bergelar produser dengan menghasilkan filem Castello pertengahan tahun depan,” katanya yang bergandingan dengan Nasha Aziz dalam 'Laila Isabella'.
Bagi Erra pula sukar untuknya menolak lamaran Yusof kerana beliau tahu memancing hatinya dengan bertanya watak yang diingini, walaupun jadualnya sangat sibuk dengan tiga filem sepanjang tahun ini, selain promosi albumnya, 'Sampai Bertemu'.
“Setiap kali bekerja dengannya, Datuk akan bertanya watak bagaimana yang saya mahu. Selepas 'Sembilu' saya diberi watak berbeza dalam 'Maria Mariana' dan jangan terkejut kalau penonton melihat kelainan saya dalam filem ini nanti.
“Saya menjadi Diana, anak orang kaya yang lasak dan hidup liar dan dia juga membenci lelaki tetapi semua itu ada sebabnya. Pertama dia kecewa melihat perangai ayahnya yang suka berpoya-poya kemudian dia dikecewakan kekasihnya selepas menyerahkan cinta dan dirinya kepada lelaki itu.
“Bagaimanapun kehadiran Haikal berjaya mengubah sikap Diana kerana memberi persepsi berlainan terhadap lelaki,” katanya yang kini hangat di panggung sebagai Puteri Megawati dalam 'Mr. Cinderella', bergandingan dengan Yusry KRU.
Selain barisan pelakon 'Janji Diana', majlis yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Khalid Yunus kelmarin, diserikan lagi dengan kehadiran beberapa tokoh filem veteran seperti Datuk Jamil Sulong dan isteri, Datin Rosnani Jamil, M Amin serta Hussein Abu Hassan.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Finas, Shariff Ahmad serta rakan-rakan produser seperti Raja Alawiah Idris dari Bright Network, Mohd Noor Kadir (Kuasatek Pictures) dan Aziz M Osman (Paradigm Pictures Sdn Bhd).
Itulah keistimewaan majlis pelancaran filem Yusof kerana turut mengundang tokoh veteran sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka kepada dunia perfileman.
Bagi Yusof, tokoh veteran ini sebagai gurunya yang mula memberi tunjuk ajar kepadanya malah menyifatkan kejayaannya hari ini atas sokongan dan galakan mereka.
“Datuk Jamil Sulong saya anggap sebagai guru kerana minat saya menulis skrip dan mengarah sudah timbul ketika terbabit dengan filem Jiwa Remaja arahannya. Ketika itu usia saya awal 20-an dan saya juga pernah meluahkan hasrat mahu menulis skrip dan mengarah, tetapi beliau hanya tersenyum.
“Saya juga pernah berlakon filem arahan M Amin dan bekerja dengan Hussein. Mereka ini orang penting dan banyak memberi input kepada saya dan tanpa mereka tidak mungkin saya berdiri di sini.
“Saya mula membabitkan diri dalam dunia filem ketika usia 17 tahun dan masih meneruskan perjuangan walaupun rakan-rakan seangkatan seperti Latiff Ibrahim, Uji Rashid dan Hail Amir kurang aktif.
“Bagi saya pengalaman banyak mengajar saya dan lebih penting mematangkan saya. Kini saya mampu berbangga sebagai produser bermula dengan penghasilan drama televisyen selama 18 tahun serta 12 tahun dalam bidang perfileman.
“Kejayaan ini datang daripada sokongan dan galakan isteri tersayang, Finas dan juga kawan-kawan kerana saya sendiri tiada pendidikan formal dalam perfileman,” katanya.
Menurut Yusof, 'Janji Diana' adalah filemnya yang ke-12 dengan peruntukan RM1.3 juta serta membariskan nama hebat dan popular seperti Erra, Rosyam, Faizal Hussein, Sarimah Ibrahim, Fazley, Intan Sarafina, Elly Mazlein, Shukri Hashim dan Erma Fatima.
“Saya buat filem ini untuk membongkar isu remaja yang ada mesej walaupun orang kata filem saya ringan, tetapi saya pastikan setiap filem saya ada mesej.
“Skripnya saya hasilkan bersama Norhan Mahmod yang juga bertindak sebagai pembantu khas saya ketika mengarah. Watak Erra sebagai Diana saya buat khas untuknya atas permintaan Erra dan tiada lagi babak menangis seperti dalam 'Sembilu' atau 'Pasrah' sebaliknya menjadi brutal sebagai minah motor.
“Rosyam pula menjadi Haikal, arkitek muda yang mencari erti kasih sayang
selepas kecewa dengan tunangnya, berjaya mencairkan kekerasan hati Diana,”
katanya yang turut melantik pelakon Shahriza Mahmod sebagai Penolong Pengarah.