Soseh-soseh
ROMBONGAN artis dan wartawan dari Kuala Lumpur dibawa ke Pulau Pinang untuk menonton filem terbaru, 'Soalnya Siapa?' gandingan Erra Fazira dan Afdlin Shauki pada 30 Oktober ini. Ini sememangnya agak berlainan kerana biasanya majlis pra-tonton diadakan di Kuala Lumpur dan tempat lain tayangan perdana.
Itulah yang SS dengar daripada mulut produser Serangkai Filem, Habsah Hassan kerana mahu orang-orang di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi orang pertama menyaksikan filem ini. Ini disebabkan penggambaran banyak dilakukan di sana.
Ini juga bermakna 'Soalnya Siapa?' akan menemui penonton pada raya tahun ini berentap dengan 'Mami Jarum' iaitu filem arahan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya A Razak Mohaideen yang mengisahkan kehidupan masyarakat Pulau Pinang.
Sebelum ini SS dengar ada lima filem berentap untuk mendapatkan tarikh tayangan sempena raya tetapi yang sudah pasti ialah Mami Jarum pada 6 Disember manakala dua produser lain mengalah untuk menyimpan filemnya untuk tayangan awal tahun depan.
Satu lagi filem yang mahu merentap ialah filem Grand Brilliance Sdn Bhd, 'Lang
Buana' yang dibintangi kumpulan Senario tetapi SS tidak pasti apakah Unit Wajib
Tayang meluluskan 'Lang Buana' untuk tayangan pada Aidilfitri ini. Apapun tunggu...