Semoga berjaya
Bersama Erra

ASSALAMUALAIKUM! Pejam celik pejam celik, Ramadan menjengah lagi dan sesuai dengan bulan mulia ini, jaga kelakuan dengan molek kerana rahmatnya di kemudian hari. Apa khabar semua? Puasa tahun ini banyak dugaan? Jika ya, harungi ia dengan tabah dan sabar. Lagi banyak dugaan, lagi banyak rahmat dan pahala kita. InsyaAllah.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana semua urusan penggambaran dan lain-lain dapat diselesaikan sebelum Ramadan. Sedikit sebanyak, masa di bulan mulia ini boleh dimanfaatkan untuk bekalan di akhirat.

Bak kata teman saya, kita tak akan terkejar hal duniawi. Kata-kata itu memberi kesan dan kesedaran mendalam buat diri saya.

Apabila saya fikirkan betapa benarnya kata-kata itu, ia membuatkan diri saya insaf. Bayangkan, kita nak mengejar perubahan canggih telefon bimbit dari semasa ke semasa pun tak terdaya, inikan pula perubahan kehidupan dan kemahuan dunia yang lebih makro.

Tiba masanya, kita akan bersyukur dengan apa yang ada dan akan mencari sesuatu yang lebih abadi dan hakiki. InsyaAllah!

Di bulan Ramadan al-Mubarak ini, teringat saya pengalaman pertama berpuasa di Tanah Suci. Ia satu pengalaman manis dan indah tidak dapat saya bandingkan walau ke mana jua saya pergi. Bagi saya, tiada tempat lain yang setenang dan sedamainya di muka bumi ini.

Masih segar di ingatan, setiap perasaan yang lahir ketika itu - suka, gembira, sedih, marah, malu dan segalanya datang silih berganti. Melihatkan berjuta manusia dari seluruh pelusuk dunia datang berkumpul keranaNya, memberi seribu satu keinsafan. Begitu besar dan agungnya diriMu, Ya Allah.

Saya terharu dan gembira mendengar ramai teman, kenalan dan rakan artis dibuka hati mereka untuk menjadi tetamu Allah. Semoga Tuhan terus memberi petunjuk kepada kita dan seluruh makhlukNya ke jalan diredhai.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘selamat menunaikan umrah’ dan semoga mendapat apa dihajati, InsyaAllah.

Hmmm... dalam kita menjalani ibadah puasa, nampaknya ramai adik-adik kita menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berjaya kepada semua. Semoga dengan usaha selama ini, doa dan berkat bulan mulia ini, semua berjaya dengan cemerlang.

Sebelum mengundur diri, saya ingin memohon maaf jika bicara saya kali ini menyinggung mana-mana pihak.

Tidak pernah terlintas oleh saya untuk menunjuk pandai atau sebaliknya, cuma sekadar berkongsi pengalaman dan pendapat.

Kepada semua, selamat berpuasa dan Wassalam.