PELAKON dan penyanyi yang kini menjadi rebutan produser filem tempatan, Erra Fazira, turut mengakui tergamam sebaik saja melihat gambar terbarunya.
Sebelum membaca akhbar hari tu, pagi-pagi lagi sudah ramai kawan yang menghantar SMS (Sistem Pesanan Ringkas). Pelbagai mesej saya terima hingga ke petang. Kebanyakannya kata saya nampak comel dan lebih menarik. Jadi tanpa berlengah lagi saya pun terus mendapatkan Berita Harian, katanya ketika dihubungi kelmarin.
Malah Erra sendiri tidak sabar membawakan watak gadis tembam bernama Fazirah yang digambarkan mempunyai semangat tinggi untuk menurunkan berat badan. Filem arahan Prof Madya Razak Mohaideen adalah filem kelapan Metrowealth Movies Productions mengenai gadis montel yang ingin dijodohkan dengan pemuda lulusan luar negara sejak kecil. Namun Fazirah merajuk dan menghilangkan diri untuk membuktikan dirinya boleh cantik selepas mengetahui pemuda itu tidak mahu menerimanya disebabkan keadaan fizikalnya.
Sebenarnya kisah ini mempunyai mesej tersendiri sekali gus menjadi perangsang pada mereka yang bersaiz besar untuk berusaha mengurangkan berat badan. Saya sendiri tak sabar untuk menjayakan watak ini. Tak kira walau sesulit mana pun proses solekan itu nanti, saya sudah bersedia. Kini saya masih membuat latihan bagi memantapkan watak Fazirah terutama cara berjalan, duduk dan bermacam lagi, katanya serius.
Watak Fazirah menggunakan 100 peratus teknik solekan yang akan menjadikan perubahan fizikal Erra menerusi sistem acuan pada wajah hingga ke bahu. Bagi solekan saja pelakon itu terpaksa bersedia seawal empat jam sebelum penggambaran dengan sasaran gemuk hingga 130 kg manakala untuk menanggalkan solekan mengambil masa dua jam. Filem yang diterbitkan dengan usaha sama KRU Motions Pictures serta Erra Fazira Entertainment itu menggunakan pakar solekan yang diterbangkan dari London, David Bonewell.
Turut menggandingkan Yusry sebagai bintang utama, 'Cinta Kolestrol' dijadualkan
memulakan penggambaran 16 Mac ini dengan mengambil masa kira-kira 35 hari.