MASIH lagi cerita mengenai penggambaran Mr. Cinderella 2 (MC2) di Christchurch, New Zealand. SS tengok pelakon Rashid Salleh bukan saja profesional malah paling rajin membantu di belakang lokasi jika tiada penggambaran membabitkan wataknya sebagai Shamsul.
Pada hari pertama penggambaran, Rashid segak dengan kemeja putih dan seluar kelabu lengkap kot warna sama dengan seluar, jam 10 pagi. Skrip dipegang erat ditangannya untuk persediaan menghayati watak.
Perkara sama berlaku pada hari kedua dengan pakaian sama. Tapi kalau tidak ada babak membabitkan wataknya, Rashid sanggup menjadi krew dan membantu pengarah. Ketika penggambaran di Botanic Gardens, mungkin orang tidak menyangka lelaki memakai kemeja T biru itu ialah pelakon kerana serius bekerja bersama krew.
SS tabik dengan Rashid kerana ada pelakon yang lebih suka duduk dalam kereta atau minum di cafe jika tiada penggambaran membabitkan dirinya. Kata orang tidak rugi kalau mahu belajar sebab yang dapat ilmu diri sendiri bukannya orang lain.
Satu lagi, bintang teater ini sporting. Bayangkan ketika penggambaran di sebuah cafe, tiba-tiba datang gadis cantik memakai pakaian pengantin meminta Rashid mengambil kertas pada pakaiannya dengan mulut sambil melutut.
Rupa-rupanya Rashid jadi mangsa cabaran rakan-rakan wanita itu ketika upacara Hens Night yang menjadi adat orang Barat sebelum pasangan melangsungkan perkahwinan. Dengan selamba Rashid melutut dan mengambil kertas pada gaunnya.
INI pula mengenai pelakon cantik Maya Karin. Sepanjang berada di New Zealand selama lebih semingu, SS berani katakan anak kacukan Melayu-Jerman ini paling mendapat perhatian bukan saja pelancong malah penduduk tempatan.
Ketika penggambaran diadakan di Botanic Gardens, sekumpulan pelancong Jepun leka melihat Maya disolek mekap artis, Kay Azman. SS yakin dari air muka mereka menunjukkan pelancong dari negara matahari terbit itu memuji kejelitaan Maya.
SS juga sempat ditanya orang India yang lama menetap di sini apakah Maya bintang Bollywood. Dia terkejut apabila dikatakan Maya campuran Melayu-Jerman dan pandai bertutur bahasa Inggeris, Jerman dan Perancis.
SS tumpang bangga seketika. Sudahlah penggambaran bertembung dengan beberapa filem Bollywood di sini, pelakon Malaysia juga disangka pelakon Bollywood.