MC2 dilancar

DALAM situasi berhadapan dengan kekurangan krew serta berada lebih 8,000 kilometer dari tanah air, penggambaran filem 'Mr. Cinderella 2' (MC2) di Christchurch, New Zealand berjaya disiapkan mengikut perancangan iaitu 30 babak dalam tempoh 10 hari.

Sejak tiba pada 15 Februari dan penggambaran dimulakan keesokan hari, pengarah MC2, Din CJ perlu bekerja mengikut kekurangan yang ada dalam waktu terhad dan kurang persediaan menyebabkan seorang krew melakukan lebih dari satu kerja.

Antaranya mekap artis Kay Azman yang dibawa bintang utamanya, Erra Fazira untuk menyoleknya sepanjang berada di New Zealand, terpaksa ringan tangan menyolekkan tiga lagi pelakon terbabit iaitu Maya Karin, Yusry dan Rashid Salleh.

Begitu juga Penolong Pengarah 1, Zaitun Kassim, memikul tanggungjawab sebagai konti dan menjaga prop. Masing-masing saling membantu demi satu matlamat menjadikan filem kedua Kuasatek Pictures Sdn Bhd ini sebuah filem hebat.

Ini diakui Din CJ walaupun Christchurch bukan asing baginya kerana pernah menjalani penggambaran drama bersiri Cinderella pada 1997. Bagaimanapun sudah tentu perbezaaannya cukup ketara kerana kali ini mengarah filem dan persiapannya perlu lebih tersusun.

“Itulah kelemahan industri kita kerana tiada perancangan rapi menyebabkan semuanya perlu pandai-pandai menyesuaikan diri dengan keadaan.

“Contohnya sebagai pengarah, saya perlu mengkaji lokasi sebelum memulakan penggambaran tetapi saya tidak mempunyai peluang itu di sini. Saya terus ke lokasi pada hari dijadualkan menyebabkan saya bersedia dengan apa yang terbentang depan mata.

“Itu bezanya filem kita dengan produksi Barat kerana mereka mencipta lokasi mengikut skrip tetapi kita menyesuaikan skrip mengikut keadaan lokasi. Apa yang penting ia tidak lari daripada kehendak skrip.

“Alhamdulillah, saya mendapat krew yang sedia membantu dan tidak berat tulang walaupun dalam keadaan terdesak hingga penggambaran berjalan mengikut jadual iaitu tiga babak sehari.

“Penggambaran di sini membabitkan 30 peratus iaitu 30 babak daripada 97 babak keseluruhan dan saya puas hati. Bagaimanapun saya yakin mampu menghasilkan filem ini lebih baik lagi jika cukup persediaan,” katanya.

Antara kekesalan Din CJ atau nama sebenarnya, Nordin Wahab ialah terpaksa menunda penggambaran di Lapangan Terbang Christchurch pada 20 Februari kerana ketinggalan beg bagasi milik Puteri Megawati (Erra) dan Anis (Maya Karin).

Untuk babak penting yang mempertemukan Puteri Megawati dan Anis diadakan pada 24 Februari apabila prop (konti) sampai dari Kuala Lumpur pada 23 Februari.

Antara lokasi menarik yang akan menghiasi filem ini ialah keindahan taman bunga di Botanic Gardens, pemandangan indah di Lyttelton Port dan Windy Rock Port, ladang bebiri di Cockburn Farm, pusat penyembelihan di Malvern Abattoir di Burnham dan pusat mengetam bebiri di Landcorp Farming di Eyrewell.

Peluang mengikuti penggambaran selama seminggu (15 - 23 Februari) atas undangan Kuasatek Pictures cukup bermakna dan banyak memberi pengajaran mengenai masalah yang dihadapi produksi tempatan dalam usaha memberi kepuasan kepada penonton di panggung.

Mereka yang terbabit dijangka tiba di tanah air malam ini tetapi penggambaran disambung pada 4 dan 6 Mac nanti. Ada empat adegan lagi belum sempat disiapkan sebelum mereka bertolak ke New Zealand.