PENAMPILAN pelakon jelita semacam satu tarikan untuk sesebuah filem itu diminati. Sejak bermulanya perfileman Melayu di Singapura lebih setengah abad lalu, tak dapat tidak selain skrip, pelakon jelita mampu merangsang penonton, sekalipun aliran itu dilihat seperti meniru filem Hindi.
Diukur sejarah filem tempatan, industri sudah melahirkan berpuluh-puluh primadona filem Melayu.
Anehnya ramai sudah bergelar isteri, tetapi kelebihan bakat dan kesungguhan terhadap lakonan seolah-olah mengabui mata penonton terhadap status mereka.
Suasana ini jauh berbeza dengan keadaan kini, yang jelas mengutamakan artis bujang untuk mendapat tempat. Lalu tidak janggal kita melihat sejak bermula era 1990-an hingga melangkah ke era millinium, industri filem tempatan bagaikan ketandusan wajah baru dan segar sehingga terpaksa menggalas harapan kepada pelakon jelita, Erra Fazira.
Setiap filem menayangkan wajah Erra. Bermula dengan filem Sembilu terbitan sulung Skop Productions, Erra terus meraih populariti dan bakatnya kian dihargai serta menjadi rebutan produser filem. Selepas satu filem, berderet projek lain menunggunya hingga ada yang terpaksa berebut jadual penggambaran dengan produser lain.
Bukan saja cantik, Erra berhemah tinggi dan sentiasa menjaga hati orang yang banyak berjasa menjadikannya seperti Erra sekarang ini, lalu dapatlah dia menanganinya dengan bijak dan semua produser yang berminat dengannya dapat peluang sama.
Namun, sampai bila Erra akan ada di puncak kegemilangan, tidakkah suatu hari nanti dia akan beralih arah menjadi isteri sepenuh masa atau hanya bekerja di belakang tabir industri?
Persoalan ini kian kuat bermain di fikiran penonton, peminat dan karyawan, tambahan dikatakan dia bakal menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka pujaan, Yusri Kru.
Siapa akan menggantikan tempatnya. Diperhatikan sejarah lalu, heroin yang berkahwin bintangnya akan beransur suram dan tidak mustahil ia berlaku kepada Erra. Kalau tidak berkahwin pun, lama-kelamaan dia tidak sesuai membawa watak seperti sekarang. Mampukah Erra bertahan untuk 10 atau 15 tahun lagi?
Masalahnya, kini belum nampak pengganti Erra untuk dinobatkan sebagai primadona filem Melayu, adakah kerana tiada yang berbakat atau bakat yang ada tidak berpeluang untuk diketengahkan. Pada zaman 1950-an, 1960-an dan 1970-an kita berbangga dengan bintang filem Datuk Maria Menado, Datin Sarimah Ahmad, Datin Umi Kalsom, Hashimah Yon, Salmah Ahmad, Sharifah Hanim, Allahyarham Siput Sarawak, Allahyarham Normadiah, Saadiah, Allahyarham Rosyatimah, Zaiton dan Latifah Omar. Mereka semua seangkatan, kalau berbeza pun dari segi usia.
Mereka bersama-sama mengecapi populariti dan masing-masing ada peminat setia.Seperkara lagi kerana ketika itu Shaw Brothers dan Cathay Keris sangat aktif menerbitkan filem, jadi semua orang dapat berlakon.
Orang dulu sanggup berkorban kerana seni. Seluruh jiwa dan raga hanya untuk seni daripada produser, pengarah hingga kepada pelakon. Sanggup susah kerana seni dan lakonan adalah kerjaya yang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya kerana mereka ada perjanjian dengan syarikat.
Namun, sekarang sejauh mana jujurnya penggiat seni ingin memartabatkan seni tanah air dan setakat mana mereka sanggup berjuang serta menghambakan diri kepada seni. Kini semua pihak mengharapkan keuntungan...yalah siapa berniaga hendak rugi.
Bukan bermakna Erra perlu segera diganti, tetapi ia bertujuan memeriahkan lagi industri dengan kehadiran ramai bintang baru. Untuk mengupas isu pengganti, Metro Ahad menemubual seniwati Datuk Maria Menado, Datin Umi Kalsom, Aziz Jaafar dan Datin Rosnani Jamil.
Datuk Maria Menado
Pelakon dulu seperti penyanyi, ada kontrak dengan syarikat selama empat atau lima tahun. Jadi kami tidak berlakon untuk suka-suka, bila suka, berlakon, bila tidak suka, buat kerja lain. Kami juga dibayar gaji bulan dan selepas satu filem dapat bonus. Kemudian terus berlakon dari satu filem ke satu filem. Zaman dulu ada dua syarikat saja, Cathay Keris dan Shaw Brothers dan mereka aktif menerbitkan filem.
Ketika itu berlakon pekerjaan tetap dan ada perjanjian dengan majikan. Kalau hendak mencari pendapatan tambahan atau buat persembahan di luar, kena minta izin majikan.
Produser dulu ambil ramai pelakon wanita untuk dijadikan heroin kerana mereka menerbitkan banyak filem setahun. Takkan kalau setahun produser itu terbit 10 atau 20 filem, asyik muka dia saja yang keluar seperti berlaku sekarang ini. Sebab itu, zaman saya dulu kita ramai primadona filem Melayu, antaranya saya sendiri, Datin Umi Kalsom, Latifah Omar, Zaitun, Datin Sarimah Ahmad, Salmah Ahmad, Datin Rosnani Jamil, Kasma Booty, Allahyarham Siput Sarawak, Allahyarham Rosyatimah dan Hashimah Yon.
Mula-mula memang lakonan tidak bagus, penonton pun tidak kenal siapa kita, tetapi bila selalu berlakon, persembahan bertambah mantap dan semakin popular. Setiap pelakon memberikan sepenuh komitmen kerana ini periuk nasi mereka. Jika gagal mempersembahkan yang terbaik, majikan akan panggil hendak tahu kalau ada masalah yang mengganggu tumpuan.
Sekarang mana ada syarikat produksi berani sain kontrak dengan pelakon untuk empat lima tahun, kontrak ditandatangani berdasar satu filem, selesai satu projek terpulang kepada pelakon itu hendak mencari arah baru. Kebelakangan ini saja dua tiga syarikat yang aktif menerbitkan empat lima filem setahun, tetapi masih tidak seperti dulu pelakon membuat perjanjian mengikut filem dan bukan bekerja dengan syarikat itu seperti kami dulu.
Lagipun dulu buat filem murah, risikonya kurang dan waktu itu televisyen tidak sepopular sekarang. Orang suka menonton filem dan panggung sentiasa penuh. Waktu itu gaji saya sebagai heroin RM250 sesuai, zaman itu harga barang murah dan kos hidup rendah. Sekarang banyak medium hiburan dan kebanyakan panggung wayang kini ditutup dan dijadikan pusat beli-belah.
Sebab itu produser tidak mahu ambil risiko menggunakan khidmat pelakon baru kerana kos pembikinan filem sekarang mahal, mencecah jutaan. Jadi mereka hanya ambil pelakon popular kerana terbukti dia boleh menguntungkan produser, sebab itu sekarang Erra jadi rebutan kerana setakat ini semua filemnya laris. Kalau ambil pelakon baru, belum tentu filem itu laku dan mengambil masa menggilap bakatnya. Kita ada pelapis, tetapi tentu produser tidak mahu menanggung kerugian.Memang sekarang rezeki dia hingga dinobatkan Ratu Filem Melayu, tetapi andai kata dia berkahwin dan sahamnya susut, takkan kala itu baru teraba-raba mencari muka baru. Jalan terbaik cungkil bakat baru dari sekarang. Sebenarnya industri ramai pelakon baru, tetapi produser lebih berminat mengambil mereka berlakon drama atau telemovie kerana kosnya murah dan risiko rugi kurang.
Kami dulu sanggup berkorban kerana seni, sebab itu lakonan kami menjadi. Sekarang tak tahulah sejauh mana pelakon mampu mengorbankan segala-galanya demi memartabatkan seni. Bagaimanapun, keadaan sekarang bertambah baik kerana kerajaan menyokong kerja-kerja seni seperti Festival Filem Sedunia Kuala Lumpur yang baru berakhir minggu lalu, ia langkah baik untuk mengembangkan industri ini. Jadi selagi peluang itu ada, carilah formula untukmeramaikan primadona filem Melayu.
Datin Umi Kalsom
Industri kena beri peluang kepada bakat baru seperti Jeslina Hashim dan Maya Karin. Mungkin setakat ini kemampuan mereka kurang menyerlah, tetapi jangan terus dilupakan kerana lakonan mereka boleh dibentuk. Adakala seseorang itu tidak tahu tahap kemampuannya hingga ada orang yang mengesan dan mencungkilnya keluar.
Sebenarnya, heroin di negara ini bermusim. Sebelum Erra memegang takhta pelakon paling laris, gelaran itu dipegang Erma Fatima, Sofea Jane, Wafa Kadir, Fauziah Ahmad Daud, Tiara Jacquelina, Deanna Yusof dan Raja Erma juga pernah membintangi beberapa filem. Paling menyerlah Erma Fatima, Sofea Jane dan Fauziah Ahmad Daud.
Selepas Erma berkahwin dan kini aktif sebagai pengarah, muncul Sofea Jane dan bila dia juga berkahwin serta mengambil keputusan menumpukan perhatian kepada keluarga, hilang sebutir lagi bintang. Kini apabila kembali aktif, Sofea kurang sesuai lagi pegang watak yang pernah dipegangnya seperti dalam Perempuan...Isteri dan... Begitu juga Fauziah Ahmad Daud yang kini berubah imej selepas melakukan penghijrahan baru-baru ini.
Kemudian hasil didikan Datuk Yusof Haslam, lahirlah Erra yang asalnya penyanyi. Sejak membintangi filem Sembilu, bintangnya terus bersinar. Agaknya selepas Erra, siapa pula bakal mengambil alih tempatnya? Kelahiran primadona kita berperingkat, bukan serentak seperti kami dulu. Lagipun dulu peluang berlakon luas, lepas satu filem satu filem. Sekarang tunggu lama baru ada projek baru, tumpuan kian hilang, bakat semakin tumpul. Kalau berterusan berlakon, dia dapat terus memantapkan persembahannya.
Selain itu, zaman saya dulu tumpuan penonton tidak terletak kepada heroin saja, pelakon pembantu pun dapat perhatian setaraf heroin kerana watak dan karektor yang dibawanya. Kalau produser tengok dia berjaya sebagai pelakon pembantu, untuk filem seterusnya dia dijadikan heroin.
Jadi produser tidak risau kalau seorang atau dua heroinnya berehat atau bersara daripada lakonan kerana sentiasa ada pengganti yang sama hebat seperti heroin lama.
Sekurang-kurangnya produser/pengarah bagi dia jadi pelakon pembantu dulu sebelum diangkat menjadi heroin. Kalau tidak dicuba, mana tahu mungkin lebih baik daripada yang ada. Kalau sayangkan industri, pihak terbabit berkorbanlah sedikit. Bunga yang berkembang tidak akan mekar sentiasa, sampai ketika layulah ia.
Aziz Jaafar
Dulu berlakon adalah profesion dan kami bekerja dengan syarikat produksi itu, baik hero atau heroin kena berlakon bersungguh-sungguh, kalau tidak jadi kami kena marah, kontrak dibatalkan dan kami kehilangan kerja. Waktu itu industri tidak menyediakan peluang yang banyak kepada pelakon, kalau dia seorang pelakon, kerjanya berlakon saja. Sekarang pelakon boleh jadi penyanyi, pengacara majlis dan macam-macam lagi. Jadi komitmen itu terbahagi kepada banyak perkara.
Artis dulu serius berlakon kerana itulah punca pencarian kami. Seperti orang kerja pejabat yang kalau kena VSS atau dibuang kerja, hendak kerja mana lagi, begitulah kami waktu itu.
Jadi setiap kali pelakon baru muncul, mereka terus berusaha berikan yang terbaik hingga berjaya menjadi heroin.
Apa pun keadaannya, selagi produser takut mengambil orang baru jadi heroin, selagi itulah kita kekurangan primadona filem Melayu. Saya faham pengambilan pelakon baru membabitkan banyak perkara, terutama wang, kerana siapa mahu rugi berniaga. Namun, seni berbeza dengan kerjaya lain. Selagi muda, cantik dan bergaya, dia menjadi rebutan, apa jadi selepas usia meningkat, kecantikan mula pudar. Suka atau tidak, produser kena bentuk orang baru kerana perniagaan terpaksa diteruskan, tidak seperti pelakon, tiba satu peringkat mereka terpaksa berundur.
Siapa sangka Erra boleh berlakon, tetapi hasil didikan Produser Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, dia berjaya membentuk Erra menjadi pelakon handalan. Sama juga dengan Produser Serangkai Filem, Habsah Hassan menerusi filemnya Soal Hati, Erra berjaya menggondol anugerah Pelakon Terbaik. Maknanya fungsi produser penting untuk melahirkan sebutir bintang. Di tangan Datuk Yusof juga, Ziana Zain dan Ning Baizura boleh berlakon, cuma mereka tidak menumpukan perhatian kepada lakonan seperti Erra.
Kalau peluang terus menerus diberikan kepada Maya Karin dan Jeslina Hashim pun, rasanya mereka boleh bergelar primadona suatu hari nanti, tetapi nampak gayanya mereka kena bekerja dengan produser sehebat Datuk Yusof, Habsah Hassan atau Aziz M Osman. Namun, jangan pula selepas gagal menonjol dalam satu filem, mereka dipinggirkan. Kalau produser terus takut hendak mengambil risiko, nampaknya artis yang berbakat terpaksa menyimpan bakat mereka. Maka rugilah industri.
Datin Rosnani Jamil
Bukan salah Erra jika dia terus menjadi rebutan produser filem kerana setakat ini pelakon yang ada kurang menonjol. Ini kerana sekarang penerbitan filem tidak serancak zaman Mak Nani dulu. Masa itu filem diterbitkan sepanjang tahun, selain sambutan hebat, kosnya murah dan pelakon baru boleh mencuba bakat. Sekarang semuanya mahal, tak ada juta ringgit tidak boleh bikin filem, jadi terpaksalah ambil mereka yang sudah popular seperti Erra.
Setakat ini Datuk Yusof Haslam antara produser yang berani mencuba muka baru untuk filemnya. Sentuhan emas Datuk Yusof menjadi. Harap Datuk Yusof boleh melahirkan ramai lagi pelakon sehebat anak didiknya Erra. Kita perlukan pelapis setiap masa, bahaya satu heroin pada satu masa, tiba-tiba dia tiada, di mana hendak cari penggantinya ketika itu juga.
Selain itu, terpulang kepada pelakon itu sendiri, sama ada dia serius atau suka-suka menceburi bidang ini. Erra serius berlakon kerana ini kerjaya dia. Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti, walaupun yang baru tidak sama dengan yang lama, tetapi perjuangan terpaksa diteruskan. Jadi pencarian bakat baru terpaksa diteruskan, apa yang ada tidak kekal selamanya.