Erra belajar belakang tabir

LIMA hari selepas tiba di Christchurch, New Zealand, barulah bintang utama 'Mr. Cinderella 2', Erra Fazira, berdepan dengan kamera kerana hanya terbabit dengan empat babak sepanjang dua minggu di sini.

Walaupun tidak sibuk tetapi dia ada agenda tersendiri untuk mengisi masa terluang sejak penggambaran dimulakan Isnin lalu iaitu belajar kerja-kerja di belakang kamera, terutama teknik pengarahan daripada Din CJ ataupun membantu Yusry menghafal dialog.

Apabila ditanya apakah Erra mahu dikenali sebagai pengarah selepas ini, Erra yang kini digelar Ratu Filem Melayu hanya tersenyum dan dengan yakin mengatakan memang itulah impiannya pada masa akan datang.

Erra yang tiba di sini Ahad lalu, berkata semua itu sebagai permulaan sebelum berani memikul tanggungjawab berat kerana mahu mengisi ilmu di dada sebelum memulakan produksi dengan menghasilkan drama.

“Saya cuba mengarahkan video klip lagu 'Terserah Padamu' tahun lalu kerana minat. Saya juga banyak membeli buku-buku untuk belajar teknik-teknik pengarahan serta belajar dengan pengarah Din CJ ketika berlakon 'Mr. Cinderella 2', diikuti belajar secara formal selepas ini.

“Bagaimanapun saya masih mencari tempat yang sesuai. Ada yang menyarankan supaya saya belajar di Indonesia atau New York.

“Saya tertarik dengan Indonesia kerana mereka banyak menghasilkan filem seni. Saya juga nampak Erma Fatima berjaya menjadi antara pengarah disegani selepas mendalami bidang pengarahan di Indonesia. Dia juga bermula dari kosong selepas membabitkan diri dalam seni sebagai pelakon.

“”Insya-Allah kalau tiada halangan saya mahu belajar di Indonesia untuk jangka pendek dan dilanjutkan di New York tetapi tidak pasti bila. Mungkin akhir tahun ataupun tahun depan, bergantung kepada kelapangan,” katanya.

Erra yang memegang watak Puteri Megawati memulakan penggambaran pertamanya semalam di Victoria Square untuk babak mencari Hakimi (Yusry). Puteri kecewa kerana Hakimi tidak muncul dan dia meninggalkan sesuatu iaitu sebelah kasutnya.

Penggambaran lain membabitkan Erra diadakan selepas ini iaitu di Hotel Commodore, pejabat Agro Products dan Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch sebelum pulang pada 27 Februari nanti.

Kesungguhan Erra jelas melalui minat yang ditunjukkannya ketika membantu Yusry menghafal skrip pada hari pertama penggambaran di Botanic Gardens. Apabila Din CJ menyebut "cut", Erra cepat-cepat berlari ke monitor untuk melihat hasilnya. Ada kalanya Erra tidak puas hati serta memberi komennya.

Bagaimanapun pada hari kedua di Lyttelton Port, Erra lebih suka duduk dalam kereta kerana cuaca sejuk, manakala hari ketiga tidak berani menghampiri penggambaran yang diadakan di pusat penyembelihan biri-biri di Malvern Abattoir di Burnham dan pusat mengetam bulu biri-biri di Eyrewell kira-kira 45 kilometer dari pusat bandar Christchurch.

“Saya hanya terbabit dalam empat babak kerana lokasi di sini lebih tertumpu kepada Maya Karin (Anis), Rashid dan Yusry. Saya anggap kehadiran di sini sebagai bercuti dan waktu sama belajar serba sedikit daripada Din CJ,” katanya yang sudah berlakon lebih 12 filem.

Mengenai perbezaan bekerja dengan Din CJ untuk 'Mr. Cinderella 2', berbanding Ahmad Idham dalam 'Mr. Cinderella', Erra menjelaskan kedua-dua pengarah muda itu mempunyai kelebihan masing-masing.

Katanya, apa yang berlainan ialah persiapan lebih rapi serta kesungguhan Kuasatek Pictures Sdn Bhd untuk memastikan filem ini benar-benar hebat dan membanggakan.

“”Setakat ini semuanya berjalan lancar dan saya puas hati dengan watak saya. Watak Puteri Megawati lebih matang dan banyak bermain dengan emosi.

“Apapun yang orang kata mengenai 'Mr. Cinderella' arahan Ahmad Idham, saya bangga kerana filem itu mampu mencatat kutipan lebih RM3 juta. Saya harap filem kedua ini lebih berjaya kerana skrip yang lebih mantap serta persediaan rapi untuk memastikan segalanya bagus.

“Orang selalu menganggap filem romantik komedi agak ringan dan lebih banyak babak indah tetapi filem kedua ini hanya manis di awal cerita tetapi penuh dengan konflik sehingga akhir. Di sinilah keistimewaan filem ini untuk menarik penonton ke panggung,” katanya dijangka pulang bersama rombongan dari New Zealand pada 27 Februari.