Debaran kami

TEKA-TEKI pertunangan Erra Fazira dan Yusry Abdul Halim yang digembar-gemburkan ramai pihak yang berlangsung pada 3.03.03 terus jadi tanda tanya kerana baik Erra, 29, atau Yusry, 30, enggan memberi kenyataan sama ada benar atau tidak.

Ketika diperangkap dengan soalan ini di Christchurch, Yusry memilih
untuk berdiam diri dan terus mengunci mulut. Sebagai wanita, Erra tidak mahu membuat sebarang kenyataan dan memberi ruang itu kepada Berdasarkan pemerhatian sepanjang berada di Christchurch sejak 15 Februari lalu, Erra dan Yusry memang mesra tetapi ada kalanya wajah Erra murung, manakala Yusry serius. Alasan Erra kurang sihat ataupun tidak mahu konti lari untuk lakonan babak sedih.

Risik-risik dengan kawan baik Yusry, Bob yang bersama rombongan MC2 juga gagal mencungkil rahsia dengan alasan tidak pernah bertanya perkara peribadi dengan Yusry walaupun mereka rapat.

Yusry yang dikenali pendiam hingga ada mengatakan dia sombong, mengakui dia hanya bercakap dengan orang tertentu dan sudah kenal. Ikuti soal jawab dengan Yusry di lokasi MC2 di Christchurch mengenai kerjaya lakonan, nyanyian serta perubahan dirinya akhir-akhir ini berbanding ketika bersama KRU.

SOALAN: Filem MC2 menjadi filem kedua anda selepas Mr. Cinderella. Ada perbezaan sama ada watak ataupun pembabitan anda kali ini?

JAWAB: Sudah tentu berbeza kerana dulu filem pertama dan saya akui agak kekok. Saya juga terikat dengan karektor Hakimi tetapi untuk filem kedua ini saya banyak berbincang dengan produser yang juga penulis skrip, Mohd Noor Kadir supaya menjadikan watak Hakimi lebih ceria. Bagi saya Hakimi dalam filem pertama lebih serius sebagai hero tetapi saya mahukan hero seperti manusia biasa.

Kali ini watak Hakimi lebih mencabar kerana perwatakannya berubah-ubah. Ketika bersama Puteri Megawati (Erra) dia lain, ketika bersama Anis (Maya Karin) dia lain dan perwatakan sebenarnya terserlah apabila bersama kawan baiknya, Kumin (Opie Zami).

S: Lakonan anda mendapat pujian hingga dikatakan bakal muncul sebagai hero baru filem Melayu, walaupun hasilnya belum dapat dilihat. Apa komen anda?

J: (Tersenyum). Saya rasa masih terlalu awal membuat kenyataan seperti itu. Saya lebih suka buat satu kerja ke satu kerja dengan sebaik mungkin. Saya juga tidak mahu membuat orang memberi harapan terlalu tinggi pada saya.

S: Filem ini juga menyaksikan anda berlakon dengan Erra buat kali kedua. Kebetulan anda dan Erra mempunyai hubungan intim di belakang kamera. Anda selesa bekerja dengan Erra?

J: Saya rasa lebih mudah bekerja dengan orang yang saya sudah kenal. Gandingan kami dalam filem pertama secara kebetulan bukan atas pilihan saya manakala filem kedua perlu kerana ia sambungannya. Kelebihannya digandingkan dengan Erra ialah saya mengenali Erra di luar filem.

Keburukannya, mungkin orang jemu kerana asyik digandingkan dengan Erra. Apapun saya berlakon sekadar suka-suka tetapi tumpuan saya lebih kepada nyanyian. Saya akan muncul dengan album solo selepas ini.

S: Selepas ini anda akan berlakon lagi dengan Erra dalam Cinta Kolesterol. Tidak mahu berlakon dengan orang lain?

J: Sebenarnya ada tawaran digandingkan dengan orang lain tetapi terpaksa ditolak kerana masa tidak sesuai. Saya tidak kisah berlakon dengan sesiapa dan bukan bermakna saya takut atau Erra tidak suka saya berlakon dengan orang lain. Erra sendiri berlakon dengan Afdlin Shauki dalam Soalnya Siapa? dan juga Norman Hakim (Gila-gila Pengantin). Bagi pihak saya, masanya belum sampai.

S: Bagaimana bekerja dengan Maya Karin?

J: OK. Babak saya dengan Maya banyak di sini berbanding di Malaysia kerana Hakimi (Yusry) datang ke New Zealand atas urusan kerja dengan syarikat Agro Products milik Anis (Maya). Saya tiada masalah walaupun tidak mengenali Maya sebelum ini.

S: Perbezaan Din CJ (pengarah MC2) dengan Ahmad Idham (pengarah Mr. Cinderella)?

J: Sudah tentu mereka mempunyai cara kerja berbeza dan saya rasa tidak perlu dibandingkan antara mereka berdua. Apa yang mampu saya katakan ialah pembikinan kali ini lebih serius, lebih teliti dan jalan cerita yang lebih mantap berbanding filem pertama.

S: Anda suka menonton filem?

J: Ya. Saya suka filem komedi romantik tetapi tidak suka aksi atau seram. Saya juga tidak suka filem Hindi. Saya pernah menontonnya kerana terpaksa atas pujukan seseorang tetapi saya tidak mampu menunggu tayangannya sehingga akhir kerana tertidur.

S: Anda suka filem komedi romantik. Adakah anda seorang yang romantik?

J: Saya tidak dapat menjawab soalan itu bagi pihak saya.

S: Sebagai lelaki, bagaimana anda sebenarnya? Adakah seperti kebanyakan lelaki yang suka membeza-bezakan itu kerja orang perempuan ataupun orang perempuan tidak boleh buat itu dan sebagainya?

J: Saya bukan begitu. Saya sendiri tidak kisah membuat air sendiri tetapi kalau ada orang buatkan saya tidak pula menolak. Tapi saya tidak kata buat air itu kerja orang perempuan...

S: Anda juga agak berlainan sekarang, berbanding ketika bersama KRU. Apa komen anda?

J: Dulu saya lebih banyak diam kerana lebih mudah hanya seorang yang bercakap (Norman). Bagaimanapun sekarang saya bergerak seorang, sudah tentu saya perlu menghadapi semua ini seorang. Tapi saya tidak bercakap dengan sebarangan orang.

S: Difahamkan keluarga anda sibuk membuat persiapan pertunangan di tanah air. Sudah bersedia menunggu tarikh 3.03.03?

J: (Yusry terus merapatkan mulutnya dan enggan menjawab soalan itu).