Kenapa 'Mr. Cinderella 2' pilih New Zealand

ADA yang memperlekeh usaha produser tempatan mengadakan penggambaran filem di luar negara, seolah-olah negara sendiri tidak mempunyai lokasi menarik hingga terpaksa pergi ke luar.

Bagaimanapun, Kuasatek Pictures Sdn Bhd yang memilih Christchurch, New Zealand sebagai sebahagian lokasi filem keduanya, 'Mr. Cinderella 2', ada sebab kukuh untuk menghasilkan kelainan dan memberi kepuasan kepada penonton.

Lokasi luar juga bukan baru bagi Kuasatek kerana pernah mengadakan penggambaran di London ('Cinta Antara Benua' dan 'Cinta Korporat'), India ('Salam Taj Mahal'), Istanbul ('Isketambola', 'Odisi', 'Meta Fizik', 'Daerah Shafika') serta 'Cinderella' (Christchurch).

Semua ini adalah telefilem dan drama bersiri dan ini pertama kali untuk filem. Rombongan 'Mr. Cinderella 2' seramai 18 orang adalah Produser Eksekutif, Sarimah Jamian, Pengarah, Din CJ, empat pelakon iaitu Erra Fazira, Yusry, Maya Karin dan Rashid Salleh, krew serta wakil media, sampai di Christchurch Ahad lalu.

Pengurus Produksi, Mohamad Khair Mohd Noor tiba tiga hari lebih awal untuk meninjau lokasi sesuai. Kuasatek Pictures juga melantik Rahimah Jar sebagai koordinasi untuk membantu urusan sepanjang menjalani penggambaran di sini.

Menurut Khair, antara sebab utama pihaknya memilih lokasi luar negara ialah untuk memberi kelainan kepada filem ini dan bukannya suka-suka untuk makan angin atau menidakkan keindahan dan keistimewaan lokasi di negara sendiri.

Katanya, pendekatan ini digunakan produser Bollywood sejak dahulu lagi dan cukup berjaya apabila penonton terpesona dengan pemandangan indah luar negara seperti Switzerland, London, Paris serta New Zealand sendiri.

“Pemandangan di New Zealand memang cantik dan secara tidak langsung kita juga paparkan budaya mereka. Sebagai kelainan, saya rasa tidak salah produser berbelanja lebih untuk kepuasan penonton.

“Alhamdulillah produser Kuasatek, Mohd Noor Kadir berani mengeluarkan wang untuk menghasilkan kelainan,” katanya.

Selain itu kata Khair, penggambaran di sini juga memberi peluang kepada pelakon dan krew tanah air menimba pengalaman bekerja di luar serta bersama produksi di sini kerana menyewa peralatan daripada Local Action Film Equipment Limited, Queenstown bersama empat krew mereka.

“Kami menyewa peralatan tertentu untuk lebih memudahkan dan menjimatkan kos, berbanding jika semuanya dibawa dari Kuala Lumpur. Kos ini saja mencecah hampir RM200,000.

“Saya juga difahamkan, produksi ini sering bekerjasama dengan produser Bollywood ketika mereka mengadakan penggambaran di sini,” katanya mengadakan pertemuan dengan Pengurusnya, Brett Mills dan empat krew mereka Ahad lalu.

Apapun kata Khair lagi, pemilihan lokasi luar untuk 'Mr. Cinderella' iaitu membabitkan sekitar 30 peratus kerana ada sebab kukuh dan bukannya untuk memaparkan pemandangan indah semata-mata.

“Contohnya, Datuk Johan berjaya sebagai ahli perniagaan di New Zealand melalui syarikatnya, Agro Products dan bekerjasama dengan syarikat di Malaysia iaitu Megapuri Berhad yang diterajui Hakimi,” katanya.