Cinta Erra, Yusry ke New Zealand

TINGGAL dua minggu saja lagi menanti 3.3.03 iaitu tarikh yang diwar-warkan ramai pihak sebagai masa yang dipilih Erra Fazira dan Yusry Abdul Halim untuk memeterai percintaan mereka melalui ikatan pertunangan.

Baik Erra atau Yusry, mereka enggan mengulas mengenai khabar angin itu. Mengiyakan tidak, menafikan pun tidak. Jadi, tunggu sajalah kalau ada adalah, kalau tiada tiadalah.

Sepanjang tempoh itu juga pasangan ini sibuk di lokasi penggambaran 'Mr. Cinderella 2' dan tempatnya bukanlah di tanah air tapi nun jauh di Christchurch, New Zealand.

Erra, Yusry dan dua lagi pelakon 'Mr. Cinderella 2' iaitu Maya Karin dan Rashid Salleh berangkat ke negara kiwi itu Sabtu lalu serta dijadualkan pulang pada 27 Februari.

Saya sendiri turut serta dengan rombongan Kuasatek Pictures Sdn Bhd yang diketuai Penerbit Eksekutifnya, Sarimah Jamian, pengarah Din CJ, krew, pelakon dan beberapa wartawan lain untuk melihat sendiri perjalanan penggambaran filem ini.

Menurut produsernya, Mohd Nor Kadir, pihaknya membelanjakan sekitar RM450,000 hanya untuk penggambaran selama 12 hari di New Zealand iaitu dua kali ganda daripada kos asal untuk memastikan segalanya berjalan lancar.

Penggambaran 'Mr. Cinderella 2' di Malaysia bermula pada 18 Januari dan berakhir Khamis lalu, tetapi tidak sempat menyiapkan tiga babak penting yang sepatutnya disiapkan sebelum berlepas ke New Zealand.

Ia yang membabitkan Maya, Yusry dan M Rajoli. Penggambaran akan diadakan selepas krew dan pelakon kembali ke tanah air iaitu pada 4 dan 6 Mac ini.

Itu juga satu petanda mengenai tarikh keramat 3.3.03. Sebelum ini Harian Metro menyiarkan khabar angin ini dalam ruangan Soseh Soseh kerana menerima banyak maklumat mengenai persiapan mereka.

Dalam pertemuan dengan Erra ketika sidang akhbar 'Cinta Kolesterol' di pejabat Metrowealth Movies Production (MMP) Isnin lalu, saya sempat bertanya Erra mengenai reaksi pertamanya apabila membaca ruangan itu.

“Saya hanya mampu tersenyum,” kata Erra terus membiarkan teka teki itu tanpa jawapan.

Harap-harap peluang bersama Erra dan Yusry sepanjang berada di New Zealand berjaya mendapatkan jawapannya.

Apa yang pasti, 'Mr. Cinderella 2' yang mengisahkan percintaan Puteri Megawati (Erra) dan Hakimi (Yusry) sama hebat dengan percintaan Erra-Yusry di luar layar.

Juga muncul orang ketiga, Anis (Maya) yang secara diam menyintai Hakimi. Bermulalah konflik hubungan Hakimi-Puteri Megawati dan kemuncaknya ialah Anis diculik dan hampir dibunuh.

Siapa punya angkara? Hakimi mengesyaki semua itu perbuatan Puteri Megawati hingga timbul rasa kasihan kepada gadis itu. Hakimi dalam persimpangan antara sayangnya kepada Puteri Megawati dan simpatinya pada Anis.

Saya harap Yusry tidak berada dalam persimpangan untuk melangsungkan pertunangan dengan Erra pada 3.3.03 (jika benar ada perancangan itu). Siapa tahu, Yusry tidak suka dengan gembar-gembur yang dipaparkan media mengenai pertunangan mereka pada 3.3.03. Kita tunggu dan lihat.