Artis kena bomoh

KUALA LUMPUR: Ada pelakon menjadi histeria di lokasi, tak kurang yang ‘kabur’ tidak dapat hafal skrip, malah ada penyanyi terkedu di pentas dan lebih menyayat lagi, ada yang tiba-tiba muntah darah selepas menghiburkan orang ramai.

Bunyinya aneh, tetapi itulah hakikat kejadian mistik yang pernah terjadi dalam kehidupan artis berpunca di kalangan mereka yang suka dengki sesama sendiri dengan menggunakan perantaraan bomoh untuk mensihir seseorang.

Kalaupun tidak sesama sendiri, artis adalah golongan yang terdedah pada masyarakat, baik dalam lakonan mahupun nyanyian, yang memungkinkan mereka dianiaya untuk membalas dendam atau sekadar mencuba ilmu yang ada.

Sama ada artis dianiaya itu menderita atau menempah maut kesan daripada sihir yang ditujukan pada mereka, bukan persoalan orang yang berniat jahat itu. Apa yang difikirkan, biar artis yang menjadi sasaran itu perlu merasai betapa azabnya terkena sihir untuk tempoh atau jangka hayat yang cuma diketahui oleh pihak yang menganiaya mereka.

Mengaitkan kemelut ini, bomoh terpalit sama kerana melalui pengamal perubatan tradisional itulah segala niat dilepaskan. Bomoh juga dijadikan sandaran bukan sekadar mensihir, tetapi mencari sesuatu untuk pendinding diri.

Begitupun, sumbangan bomoh dalam dunia selebriti dinilai pro dan kontra, kerana selain mensihir, golongan itu turut digunakan untuk mencari pendinding dan paling ketara, bomohlah menjadi pilihan artis yang pentingkan penampilan diri.

Ini bukan asing bagi kita yang kerap mendengar ada penyanyi kita menggunakan susuk buluh perindu untuk suara lunak. Ada juga pelakon gunakan susuk pemanis wajah untuk menyerlahkan seri wajah supaya kelihatan lain daripada lain.

SITI NURHALIZA (Penyanyi).

“Sebagai artis tak perlulah nak pakai susuk dan semua itu. Kalau benda itu memang dah tau menyalahi agama dan bertujuan tak baik, untuk apa diamalkan. Memadailah kita gunakan doa dan ayat-ayat suci sebagai pendinding.

Siti agak bernasib baik kerana dalam beberapa show ada peminat lebih dewasa beri Siti doa-doa untuk dihafal bagi melindungi diri Siti. Siti photostat doa-doa itu dan bawa ke mana saja. Siti sedar, kita cari rezeki secara halal, jadi tak perlulah nak dicampuradukkan dengan benda khurafat seperti pelaris, penyeri wajah dan penyedap suara.

Apa yang Siti ada adalah kurniaan Tuhan. Siti percaya melalui usaha dan yakin pada diri sendiri berserta bakat yang ada pada jalan yang betul, segala apa yang kita lakukan ada keberkatan dan mudah menambat masyarakat.

Kalaulah orang kata Siti semakin cantik, itu adalah petanda proses kematangan yang Siti lalui. Siti tak amalkan benda tak baik untuk tampil cantik dan bergaya, sebaliknya melalui pengalaman Siti dah bijak menilai fesyen tertentu.

Agak kecewa juga, ada orang tuduh Siti guna susuk buluh perindu nak sedapkan suara, tetapi kelakarkan buluh perindu pun Siti tak pernah tengok. Niat Siti menceburi bidang seni nak cari rezeki buat keluarga. Tentulah Siti rasa serba salah jika Siti memperolehi apa yang Siti kecapai sekarang ini dengan cara yang tidak diredai Tuhan”.

ERRA FAZIRA (Penyanyi, Pelakon, Ratu Cantik).

“Sukar Erra nak percaya sihir ni, tetapi enehnya baru-baru ini seorang pekerja Erra Entertainment terjumpa bungkusan yang ditanam di perkarangan pejabat Erra. Pekerja yang Erra panggil pak cik itu menggali dan menjumpai bungkusan kecil tetapi apabila diberi pada Erra, tiba-tiba Erra rasa takut nak buka bungkusan itu.

Erra tak mahu tahu apa ada dalam bungkusan itu. Akhirnya pak cik buang bungkusan itu. Hakiatnya Erra kurang mempercayai hal sihir ini tetapi kesannya Erra pula rasa takut untuk ke pejabat sekarang ini.

Kebetulan Erra tengah sibuk shooting, jadi memanglah tak cukup waktu untuk Erra ke pejabat itu. Erra ada bercerita pada emak mengenai bungkusan itu. Untuk memulihkan semangat Erra selain melindungi diri, emak berjumpa dengan orang pandai bagi menjampi limau untuk Erra mandi.

Selama jadi artis, Erra tak pernah alami mimpi ganjil atau menemui benda pelik seperti bungkusan itu tadi. Apapun peristiwa itu tidaklah mendorong Erra pakai tangkal, melainkan dengan amalan biasa Erra membaca ayat quran.

Lazimnya Erra mengamalnya ketika nak tidur, keluar rumah dan shooting di kawasan baru yang tak pernah Erra kunjungi”.

NASHA AZIZ (Pelakon dan Peragawati).

“Sebagai orang Islam, saya nak memikirkannya pun tak boleh, inikan pula nak mengamalkan ilmu sihir itu. Bukankah perbuatan itu menyalahi agama. Lagipun ibu saya berpesan amalkan membaca surah empat Qul, insyaAllah kita akan selamat dunia dan akhirat.

Saya percaya untuk berjaya dalam apa bidang yang diceburi, kenalah berusaha dengan gigih bersandarkan bantuan Allah. Bukankah kecantikan rupa paras itu anugerah semulajadi dari Tuhan, tak perlulah ditempek dengan susuk.

Saya juga tidak pernah mengalami mimpi ngeri. Kalau badan rasa lemah dan fikiran kusut, saya tak percaya itu perbuatan khianat orang. Apa yang saya tahu ia berpunca daripada keletihan kerana saya seorang workholic.

Biasanya apabila rasa pening dan nak demam, saya makan ubat. Saya tidak suka memikirkan perkara bukan-bukan dan prasangka buruk terhadap sesiapa kerana saya tak mahu mencari musuh dalam bidang yang saya ceburi”.

ABBY ABADI (Pelakon).

“Secara peribadi saya tak percaya pada susuk tetapi pernah melihat kematian seseorang yang agak tragis. Perutnya membesar terkena busung, namun saya tak menuduh kematian orang itu atas perbuatan khianat seseorang.

Mungkin sihir ini ada tetapi terus-terang saya kurang mempercayainya. Dalam bidang seni ni, buat apalah nak dengki dan berdendam sesama sendiri kerana masing-masing mempunyai bakat dan kelebihan tersendiri.

Rezeki adalah ketentuan Tuhan dan kita hanya mampu berusaha. Siapa gagal atau berjaya, itu semua kehendaknya. Andaikata tiba-tiba kita jatuh sakit, janganlah melatah kerana barangkali itu ujian Tuhan untuk mengukur tahap kesabaran dan keimanan kita. Seingat saya, saya tak ada musuh dalam bidang ini. Jadi, buat apa saya nak bimbang orang nak tabur pasir dalam periuk nasi saya, apa tah lagi saya kini bakal melahirkan cahaya mata”.

RITA RUDANI (Pelakon).

“Pernah lemas ditindih lembaga hitam ketika mahu melelapkan mata. Lembaga bersaiz dua kali ganda tubuh manusia itu mengeluarkan kata-kata aneh hingga membuatkan teliga saya pedih dan berdesing.

Saya tak faham apa dicakapkan lembaga itu, cuma kata-katanya seperti marahkan saya. Telinga saya rasa berdesing dan pedih sangat ketika itu. Saya nak bersuara tetapi lidah terkedu. Apa yang mampu saya buat ialah baca surah kursi dalam hati. Selama 20 minit ditindih saya rasa lemas kerana sukar bernafas.

Selang 20 minit kemudian saya berasa tubuh ditolak ketika cuba berbaring mengiring ke kiri. Dengan kudrat yang ada, saya melawan dengan mengambil al-Quran dan diletak sebelah kepala ketika tidur.

Kejadian aneh itu, saya ceritakan pada seorang kawan. Kebetulan emaknya pun ada amalan tersendiri dan saya terkejut apabila diberitahu ada orang nak ambil roh saya di sebalik kejadian yang saya alami itu.

Saya tak suka musah. Namun sejak kejadian itu saya lebih berhati-hati apatah lagi seorang pelakon veteran menasihati agar saya menjaga diri kerana nama sedang naik.

Sebenarnya, saya juga jarang bergaul sesama artis. Habis shooting saya balik rumah tetapi bukanlah saya nak jadi kera sumbang. Sesudah peristiwa aneh itu, kini bila saya nak keluar rumah, saya baca bismillah dengan langkah kanan serta membaca ayat kursi sebaik memegang stering. Segala urusan, saya serahkan pada Tuhan”.

IFA RAZIAH (Penyanyi dan pelakon).

“Bomoh membomoh ini terpulang kepada individu. Memanglah ada manusia yang busuk hati, yang tak suka dengan kejayaan kita. Saya bercakap ini dari pengalaman kerana saya sendiri pernah disihir beberapa kali.

Sekitar 1998 dan 1999, saya terkena santau angin dua kali. Deritanya ketika itu cuma Tuhan saja yang tahu. Masa itu saya tak ingat lain kecuali mati untuk menghilangkan penderitaan itu.

Saya berusaha jumpa doktor, malangnya puncanya tidak diketahui. Doktor kata saya tak sakit. Jadi saya ikhtiar cara lain dengan berjumpa bomoh apabila badan semakin tidak bermaya.

Selepas tiga bulan berubat, barulah penderitaan saya hilang. Setahu saya orang santau kita dengan pelbagai tujuan supaya kita mati ke, cacat ke, buta ke, bisu ke atau lumpuh seumur hidup. Bomoh itu ada beri gambaran orang yang dajalkan saya tetapi saya tak tergamak nak dendam. Saya serahkan pada Tuhan menentukan nasibnya.

Saya sedar, pada tahun saya menderita itu, publisiti dan populariti saya tengah meletup. Irama dangdut ketika itu menguasai industri rakaman kita. Barangkali apa yang saya nikmati itu tidak disenangi seseorang”.

MISHA OMAR (Penyanyi).

“Setakat ini saya belum terkena sesuatu yang pelik tetapi sejak melangkah ke bidang seni, saya mempunyai amalan tersendiri seperti melakukan solat sunat sebelum menyanyi di majlis tertentu.

Katakan show saya malam, pada petang saya buat solat sunat di rumah. Saya sedar bidang saya ceburi ini penuh saingan dan untuk lebih yakin dalam bidang ini, kenalah saya ambil langkah berjaga-jaga.

Selain itu, saya percaya pada kecantikan kurniaan Illahi. Oleh itu, tidak terlintas untuk menggunakan susuk penyeri wajah sekalipun ada bomoh pernah menawarkan rawatan itu kepada saya”.