ASSALAMUALAIKUM! Hari ini, ketika pembaca menatap kolum Bersama Erra, saya sudah berlepas ke New Zealand (NZ) bersama team 'Mr Cinderella 2' (MC2). Insya-Allah jika tiada aral melintang, kami sudah tiba ke destinasi dan mungkin juga memulakan penggambaran.
Di NZ, kami akan berhempas-pulas menghabiskan 29 babak dalam tempoh 10 hari, ini memandangkan kos tinggi dan masa terhad buat semua yang terbabit. Bagaimanapun, dengan sikap profesional yang diberi dan berkat izin daripadaNya, team ini mampu melaksanakannya.
Menyentuh tanggungjawab, walaupun sibuk dengan penggambaran MC2 di Kuala Lumpur, saya sempat mencuri-curi masa untuk membuat persediaan filem seterusnya, 'Cinta Kolesterol'. Buat pertama kalinya, saya melihat diri sendiri menjadi gemuk dengan berat badan mencecah 130 kilogram.
Pengalaman ini tidak mungkin saya lupakan kerana memberi peluang kepada saya berasai sendiri bagaimana pergerakan mereka yang berbadan besar. Apa boleh saya katakan, bukan mudah melakukannya, mungkin kerana saya tak pernah bersaiz XXL.
Namun, ia tak menjadi masalah jika saya banyak buat latihan dan membuat sendiri penyelidikan. Bayangkan, dengan semua bahagian badan berlipat-lipat. Betapa sukarnya nak duduk dan berjalan. Untuk itu saya perlu buat homework, tengok macam mana orang gemuk melaluinya.
Bagaimanapun, saya berharap mana-mana pihak yang terasa diri mereka dipersendakan, jangan berasa begitu kerana apa dipaparkan dalam filem ini hanya sekadar lakonan. Tengok filem itu nanti, langsung tak ada kena mengena atau tujuan mengaibkan sesiapa.
Sebaliknya, menerusi watak itu pandangan positif dapat disalurkan kepada semua penonton, yang mana orang berbadan besar tidak seharusnya berasa rendah diri dengan keadaan fizikal mereka. Kepada yang tak gemuk, tidak sepatutnya memandang mereka (bersaiz besar) dengan jelik.
Berbalik kepada NZ, sebelum tiba ke Christchurch, saya masih sibuk dengan jadual penggambaran di Kuala Lumpur, jadi persediaan untuk ke sana tidak sesempurna sangat. Dalam sibuk-sibuk itu, saya mencuri masa untuk berkemas mana yang patut.
Di NZ, saya hanya terbabit dalam empat babak. Selebihnya banyak babitkan watak Maya yang pegang watak Anis dan Yusry (Hakimi). Empat babak itu juga tidak ada satupun yang gembira kerana semuanya memerlukan saya bersedih. Tiada sukaria!
Puteri Megawati ke NZ untuk merebut semula hati Hakimi daripada Anis, tetapi sayangnya tidak berhasil. Nampaknya Puteri terpaksa makan hati berulam jantung.
Insya-Allah saya akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Februari ini atau selewat-lewatnya 1 Mac.
Salam dari jauh!