ERRA TAK MAHU KOMEN HUBUNGAN YUSRY& MAYA KARIN

Buah hati Erra Fazira, Yusry (KRU) bakal digandingkan dengan artis, Maya Karin menerusi filem Mrs. Cinderella (Mrs.C) tidak lama lagi. Dalam filem itu Yusry dan Maya akan menjadi pasangan kekasih dan kemudiannya berkahwin setelah Erra didapati hilang. Agaknya, apakah komen Erra apabila Yusry dan Maya akan bercinta menerusi filem yang bakal menjalani penggambaran di New Zealand pada akhir tahun ini ataupun pada awal tahun depan.

"Sebelum ini, kami memang sudah duduk berbincang dengan pihak Kuasatek Pictures dan Skop Production mengenai pembabitan Maya Karin dalam filem Mrs C. Jadi Erra dah tahu yang Maya Karin akan membintangi filem tersebut.

"Kemasukkan Maya dalam Mrs C akan menjadikan jalan cerita filem ini lebih menarik dan mantap," ujarnya.

Apabila diajukan persoalan tentang babak cinta yang bakal dilakonkan oleh Yusry dan Maya. Erra tersenyum lalu memberikan komennya.

"Itu hanyalah lakonan sahaja. Bukannya betul," ujarnya.

Katakanlah, kalau ditakdirkan, Yusry dan Maya benar-benar bercinta selepas bergandingan dalam filem tersebut, apa komen Erra?

"Eiir! Touchwood, Erra tak nak komen fasal itu. Bukan ke kata-kata merupakan satu doa. Jadi Erra tak naklah komen. Tak baik tau.

"Sebelum ini memang Erra tak tahu. Jadi apabila orang bertanyakan soalan, kalau kami tak jadi berkahwin, Erra yang lurus ni pun, jawablah apa yang ditanya.

"Tapi apabila dah diberitahu yang kata-kata itu adalah satu doa, Erra dah tak nak komen lagi persoalan yang berbaur seperti itu," jelasnya yang mengakui berkawan rapat dengan Yusry sejak setahun lalu.

BERTUNANG DISEMBER INI

Baru-baru ini, sebuah akhbar (bukan terbitan kumpulan Utusan) telah menyiarkan cerita bahawa Yusry dan Erra akan mengikat tali pertunangan pada Disember ini. Mereka juga dikhabarkan bakal mendirikan rumahtangga pada tahun depan.

"Tolong jangan percaya. Cerita itu tak betul, ingin Erra beritahu disini carilah modal lain. Bukannya cerita fasal tunang dan kahwin ni lagi. Erra dah letih.

"Kalau betullah Erra nak bertunang ataupun nak berkahwin, Erra akan beritahu. Doa-doakanlah," kata Erra yang kini berusia 28 tahun.

Apabila ditanya mengenai keserasianpasangan itu dan keistimewaan Yusry di mata Erra, artis jelita ini mempunyai jawapannya.

"Yusry seorang yang cool walaupun Erra agak agresif sikit. Dia juga seorang yang workaholic. Namun, segala masalah yang dihadapi akan kami kongsi bersama," jelas Erra yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem 'Janji Diana' terbitan Skop Production.


PENAT BERKEJAR

MESKIPUN, dalam kesibukannya membintangi filem 'Janji Diana', Erra masih mempunyai kesempatan untuk menjayakan Konsert Suara Sensasi 2002 yang akan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, pada 26 Oktober ini, pukul 8.00 malam.

"Selain Erra, konsert anjuran Mufira Resources Sdn Bhd ini juga akan menggabungkan dua lagi diva terkenal iaitu Ziana Zain dan Ella.

"Buat masa ini, Erra sibuk berlakon dalam filem 'Janji Diana'. Dalam filem itu, Erra memegang watak sebagai Diana, seorang gadis lasak dan bukannya tomboy.

"Walaupun, Erra kini sedang sibuk berlakon tapi Erra masih mempunyai masa untuk menjayakan Konsert Suara Sensasi ini. Bahkan, jadual penggambaran dan persiapan untuk hari konsert tersebut juga sudah pun disusun sejak awal lagi.

"Kalau nak kirakan penat memanglah penat sebab Erra terpaksa berkejar ke sana ke mari. Tapi nak buat macam mana, dah cari makan.

"Erra sendiri pun sebenarnya, berbesar hati apabila diberi peluang bergandingan dengan Ziana Zain dan Ella untuk konsert ini. Erra akan cuba memberikan persembahan yang terbaik," jelasnya yang sedang memikirkan gimik untuk konsert tersebut.

Ikhlas dari Ayu Rosniza (Jelapang Padi, Kedah) *Terima Kasih yang tidak terhingga dari Webmaster!!!