Emak YUSRY hadiahkan ERRA kain sutera

MESKIPUN HAI keluaran 5 oktober lalu, telah menyiarkan cerita penafian Erra Fazira yang dikatakan bakal bertunang dengan Yusry pada Disember ini dan akan berkahwin pada tahun depan, tetapi baru-baru ini, HAI telah dikejutkan pula dengan satu cerita panas mengenai pasangan popular itu.

Khabarnya, baru-baru ini, emak Yusry atau lebih dikenali sebagai Auntie Zarina telah membeli sebentuk cincin dan sepasang kain sutera untuk diberikan kepada Erra. Dan ini sekali gus mengandaikan bahawa pasangan ini bakal diikat.

Untuk mengetahui sejauh manakah kesahihan cerita itu, HAI telah menghubungi Erra untuk mendapatkan kepastian.

"Sehingga ke hari ini, emak Yusry belum lagi memberikan sebarang cincin kepada Erra. Tak tahulah pula kalau emak Yusry menyimpannya. Tetapi tentang kain itu memang ada mak Yusry bagi pada Erra, itu pun sebagai cenderamata setelah Erra selesai mengadakan persembahan untuk Persatuan Wanita Perak.

"Emak Yusry yang terlibat dalam pertubuhan itu telah diwakilkan oleh persatuan tersebut untuk memberikan cenderamata yang berupa kain sutera Thai kepada Erra.

"Eiir! Hari baik bulan baik ni tak baik tau buat cerita tak baik. Nanti orang yang buat cerita ni kena cari Erra di akhirat kelak.

"Bagaimanapun, Erra akui, Erra senang dengan emak Yusry. Walaupun emak Yusry ni boleh dikatakan emak di alaf moden ni kerana pemikirannya yang moden tetapi batasan dan adat kita tetap dipegang. Yusry bertuah dapat emak seperti itu," jelas Erra yang masih belum menepah baju menggunakan kain sutera Thai tersebut.

MENGERJAKAN UMRAH DI TANAH SUCI

SEBELUM ini, telah tersebar cerita bahawa Erra dan Yusry akan menunaikan ibadah umrah pada pertengahan Ramadan ini. Dan sekali gus, ia menimbulkan spekulasi yang hubungan itu akan menjadi sesuatu selepas ini.

"Itu baru perancangan, tak tahu lagi, jadi doakanlah. Erra tak nak komen fasal Yusry nak mengerjakan umrah itu.

"Apa yang boleh Erra cakap, hanyalah secara umum sahaja, sebenarnya mengerjakan umrah dalam bulan Ramadan ini banyak fadilatnya. Dan seluruh umat islam yang mengerjakan umrah dalam bulam Ramadan memang menantikan malam lailatulqadar.

"Cuma Erra berharap, masyarakat tidak salah anggap, apabila Erra balik dari tanah suci kelak, Erra akan membuat perubahan. Sedangkan pekara ini adalah peribadi.

"Terus terang Erra cakap, pekara menutup aurat ini memang menjadi impian setiap wanita islam. Cuma bilakah masanya, ini semua adalah kerja Tuhan yang akan membukakan hati seseorang itu.

"Tentang nak bertunang pula, kami dah pun bertunang dalam filem 'Mr Cinderella'. Tapi dalam kehidupan sebenarnya, belum lagi.

"Tak tahulah, Erra pasrah. Setakat ini, Yusry tak ada pun membuka mulut nak melamar Erra. Yang melamar Erra hanyalah pihak media massa yang bertindak sebagai orang tengah. Sedangkan empunya badan tak berkata apa-apa pun. Nampaknya, pihak media massa ni yang lebih mengambil berat tentang kami," jelas Erra.

KONDOMINIUM MEWAH UNTUK ERRA

APABILA ditanya adakah kondominium mewah yang dibeli oleh Yusry itu sebagai persediaan yang mereka bakal bersatu dan sebagi hadiah buat Erra? Artis itu mempunyai komennya yang tersendiri.

"Sebenarnya apa yang Yusry buat itu adalah satu perkembangan yang sihat. Mungkin apabila Yusry tengok Erra dah beli rumah, dia pun terfikir juga nak memiliki rumah sendiri. Lagipun, Yusry memang mampu.

"Erra menyokong Yusry beli kondo itu. Dan itu bukannya ada kena mengena tentang persiapan nak kahwin. Andai kata, kami ada jodoh pekara ini dah jatuh nombor kedua.

"Apa yang Yusry buat itu adalah untuk masa depan dan dirinya sendiri," kata Erra yang mengakui tidak berkecil hati apabila Yusry dan Maya Karin digandingkan untuk cover HAI keluaran 5 Oktober lalu.

TOLAK MRS. CINDERELLA

DALAM tahun ini sahaja, Erra telah berlakon dalam tiga filem iaitu 'Soalnya Siapa?', 'Mr. Cinderella' dan 'Janji Diana'. Berdasarkan pembabitan tersebut, nampaknya karier Erra lebih terarah pada bidang lakonan berbanding nyanyian.

"Inilah masalahnya. Kalau diikutkan perancangan tahun depan Erra akan menghasilkan album baru. Tapi sehingga ke hari ini, pihak syarikat rakaman belum memberikan sebarang kata putus bilakah Erra akan memasuki studio rakaman.

"Disebabkan pekara ini, Erra masih tak tahu lagi, jadual kerja Erra macam mana untuk tahun depan. Kalau Erra bersetuju untuk berlakon filem 'Mrs Cinderella' maknanya, album baru Erra tak ada.

"Kalau Erra tak berlakon pula dan masih tidak ada tarikh untuk Erra memasuki studio rakaman, ini bererti periuk nasi Erra tidak berasap. Keadaan inilah yang membuatkan Erra berada dalam dilema.

"Erra sebenarnya, berharap sangat agar pihak syarikat rakaman dapat memberikan kerjasama dalam hal ini. Erra tak nak tunggu macam buah tak jatuh.

"Bahkan sebelum ini, Erra pernah bercakap dengan produser Kuasatek Pictures, Mohd Noor Kadir dan Skop Production, Datuk Yusof Haslam, seandainya, 'Mrs.C' hendak memulakan penggambaran pada awal tahun hadapan dan Erra tidak dapat menjalani penggambaran tersebut, Erra tak mahu pihak terbabit menunggu Erra.

"Bahkan, kalau pekara ini terjadi Erra tak berkecil hati kalau tidak berlakon dalam 'Mrs. C'. Walaupun sambungan filem tersebut adalah tanggungjawab yang perlu Erra laksanakan," jelas Erra yang turut mengakui, sakit-sakit badan setelah teruk bekerja sepanjang tahun ini.

JUTAWAN

BERDASARKAN penglibatan Erra yang sejak kebelakangan ini begitu ligat berlakon. Sudah pasti, dia kini telah bergelar jutawan hasil bayaran mendukung watak utama dalam beberapa buah filem yang ada di antaranya sudah pun mencatat kutipan box-office.

"Orang kata, besar periuk, besar keraknya. Nak kata Erra jutawan, buat masa ini, Erra belum lagi sampai ke situ. Doa-doakanlah, mudah-mudaha Erra jadi jutawan.

"Siapa kata Erra dapat bayaran ratusan ribu ringgit? Tak betul cerita tu. Industri perfileman kita masih kecil.

"Bukan Erra nak cakap pula, Erra baru nak letak harga, prosuder dah menggigil nak membayar. Itu belum lagi diskaun dan harga kengkawan. Dan Erra sendiri tak boleh nak demanding. Erra minta apa yang setimpal dengan kerja yang Erra buat. Lagipun produser bukannya nak bayar Erra seorang, banyak lagi kos yang nak ditanggungnya,"jelas Erra yang turut memberitahu bahawa dia mempunyai perancangan untuk menjalankan perniagaan apabila bersara kelak.

Ikhlas dari Ayu Rosniza (Jelapang Padi, Kedah) *Terima Kasih yang tidak terhingga dari Webmaster!!!