Kenapa Erra Fazira Semakin Kurus?
Oleh: Haszrul Mohamed
Foto: Jeffri Iran
Orang yang bercinta, selalunya bahagia. Bukannya badan menjadi kurus. Jadi, apabila bertemua dengan ratu filem Erra Fazira di majlis pelancaran 'Gila-Gila Pengantin' (GGP) di Dataran Karyawan Finas, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini, jelas kelihatan susuk tubuh Erra nampak kurus sekali.
Erra yang hadir di majlis pelancaran GGP, sebuah filem usaha sama di antara Skop Productions dan Ace Motion, milik Datuk Yusof Haslam dan Aziz M. Osman, ditemani oleh cik abang tersayangnya, Yusry KRU. Kehadiran hero dan heroin filem 'Mr. Cinderella' (MC) ini di majlis pelancaran filem GGP, teryata menarik perhatian ramai.
Sayangnya, kehadiran Yusry di majlis bukannya sebagai hero untuk digandingkan dengan Erra dalam filem GGP. Sebaliknya, dia hadir hanya untuk menemani Erra.
Yusry dan Erra ketawa apabila diusik dengan kata-kata nakal oleh beberapa jurufoto yang ingin merakamkan gambar Yusry dan Erra berdua, duduk di atas pelamin yang telah dibina di tengah-tengah Dataran Karyawan Finas sebagai set penggambaran GGP.
Walau bagaimanapun, sebaik sahaja reda usikan yang dituju kepada pasangan kekasih ini, HAI bertanya kepada Erra, mengapa dia kurus? Sambil menjeling manja ke arah cik abang tersayang yang duduk di sebelahnya, Erra berseloroh, "Itulah awak. Saya kurus sebab makan hati."
Yusry yang tersenyum mendengar kata-kata nakal buah hatinya itu membalas gurauan nakal Erra.
"Elok apa makan hati. Orang sebelah rumah, hari-hari makan tulang," kata Yusry sambil disambut dengan deraian tawa.
Serasi dengan Norman Hakim
Erra yang baru sahaja selesai menjalani proses memasukkan suara untuk filem 'Soalnya Siapa', diberi cuti tiga minggu sebelum mula menjalani penggambaran filem GGP, arahan Aziz M. Osman.
"Okey la dapat berehat tiga minggu. Tapi, Erra tak pergi bercuti ke mana-mana pun. Tak sempat. Lagipun, tiga minggu bercuti Erra masih ada kerja-kerja lain yang perlu dibuat. Terutamanya untuk melenyapkan karekter Ain dari kepala ni dan masukkan pula karekter Aliya untuk filem GGP.
"Nampak sangat ke Erra kurus? Sebenarnya, berat badan Erra hilang tujuh paun. Agaknya kerana Erra bekerja back to back. Bukannya Erra tamak menerima satu demi satu tawaran berlakon filem. Kalau Erra tamak, dulu lagi Erra cekau sana sini.
"Tetapi, ada tawaran yang memang dah lama menanti Erra. Misalnya, pengarah filem GGP ni, Abang Aziz M. Osman. Dia terpaksa tunggu lama untuk mendapatkan Erra, berlakon di bawah arahannya. Inilah first time Erra berlakon di bawah arahannya.
"Tentang bergandingan dengan Norman Hakim sebagai hero dalam filem ni, sebenarnya, Erra tak ada apa-apa. Tak kisah pun. Erra boleh bersikap professional dalam bekerja. Bagi Erra, segala gosip yang melanda kami berdua, itu adalah kisah lama.
"Yang penting dalam GGP nanti ialah timbulkan chemistry dan keserasian lakonan Norman Hakim. Bagi Erra, tidak semestinya kita ni mesti ada satu perasaan kalau berlakon bersama. Kami sudah pun menjalani latihan lakonan dan tak ada apa-apa yang tersirat," kata Erra sambil ketawa.
Yusry cemburu?
Perbualan HAI rasanya tidak lengkap jika tidak bertanyakan soalan kepada Yusry. Apakah Yusry tidak merasa cemburu Erra diganding dengan Norman Hakim dalam filem GGP?
"Tak ada apa pun perasaan macam tu. Sebab atas dasar kerja, saya tak kisah
Erra digandingkan dengan aktor tersebut. Memang Erra tak ada bincang apa-apa
dengan saya sebelum dia terima tawaran untuk berlakon GGP. Saya tak kisah sebab
saya percaya dengannya," ujar Yusry.