FILEM KOMEDI GILA-GILA PENGANTIN
"Erra Fazira tak akan tarik diri" - Datuk Yusof Haslam
Jika pengarah Aziz M. Osman berhasrat untuk membentuk filem Gila-Gila Pengantin (GGP), filem 'sulung' usaha sama antara ACE Motion dengan Skop Productions sebagai sebuah filem komedi zany (komedi gila-gila), heroinnya, Erra Fazira, khabarnya akan menarik diri daripada berlakon dalam filem tersebut.
Itulah khabar-khabar angin yang sampai ke pengetahuan HAI. Maka itulah, apabila HAI berkesempatan berbual dengan pengarah filem Gerak Khas The Movie II (GKTMII), Datuk Yusof Haslam, selepas majlis pelancaran novel GKTMII baru-baru ini, Hai terus bertanya kepada beliau apakah beliau tahu mengenai perkara ini?
"Saya tak tahu tentang khabar angin yang mengatakan Erra Fazira akan manarik diri daripada membintangi filem komedi usaha sama saya dan Aziz itu sekiranya filem tersebut digarap dalam bentuk zany komedi.
"Saya sendiri tidak setuju sekiranya GGP mahu dibuat dalam bentuk begitu. Saya tak nak filem ini menjadi sebuah filem gila-gila. Bagi saya, memang tak sesuailah jika GGP digarap dalam bentuk itu.
"Pada pandangan saya, hanya Senario sahaja yang boleh berlakon filem komedi zany. Tetapi kalau pelakon macam Erra, memang tak bolehlah nak berlakon komedi zany ni. Dan saya tahu bahawa Erra tentu tak mahu berlakon dalam filem komedi gila-gila. Tentu Erra tolak kalau komedi itu ialah sebuah komedi slapstik.
"Tentu kalau Aziz garap GGP macam Puteri Impian ataupun Soal Hati, itu okey bagi saya. Dan saya rasa, Erra pun okey juga. Lagipun, saya tahu dan kenal pelakon saya, Erra Fazira. Dia akan rasa lebih selesa jika komedi yang disajikan itu bukan zany atau slapstik.
"Maka itulah, saya akan pastikan, Erra tidak menarik diri daripada membintangi filem GGP. Saya memang mahu Erra kekal sebagai pelakon utama untuk filem komedi sulung terbitan bersama ACE Motion dan Skop," kata Yusof.
Tambah Yusof lagi, setakat ini, belum ada apa-apa perbincangan lagi dengan rakan kongsinya, Aziz M. Osman mengenai bentuk cerita GGP.
"Tak ada masa lagi nak berbincang dengan Aziz. Saya sekarang sibuk dengan promosi GKTMII yang baru masuk panggung. Aziz pun sedang sibuk mengarah drama. Nantilah, saya dan Aziz akan duduk berbincang betul-betul, bagaimanakah 'rupa' GGP ni nanti.
"Saya juga sudah berjanji dengan Erra, kalau dia bersetuju berlakon filem arahan Aziz ni, ia bukanlah sebuah filem berbentuk komedi zany. Tetapi komedi yang boleh diterimanya," tekan Yusof bersungguh-sungguh.
Norman Hakim Hero GGP
Selain Erra Fazira, Yusof juga berhasrat untuk menggandingkan Juliana Banos (Jun) dalam filem GGP. Ini kerana, penampilan sulung Jun menerusi watak Inspektok Julia dalam filem GKTMII, sedikit sebanyak membuka peluang baginya untuk mengorak langkah sebagai bintang filem.
"Saya rasa, sebagai pengarah dan produser filem, elok jugalah saya terima cadangan ramai agar Juliana Banos diberi peluang lagi untuk berlakon filem. Maka itulah, saya rasa dalam GGP, selain Erra Fazira, saya mahu pengarah GGP, Aziz, ketengahkan pula bakat Juliana Banos.
"Soal berapa peruntukan untuk GGP, setakat ni apa yang boleh saya sebut, budgetnya adalah dalam RM1.2 juta. Angka yang saya berikan itu sekadar anggaran sahaja. Kadang-kadang kita boleh jadi over budget.
"Sekarang ni, hero untuk GGP belum lagi pasti. Kemungkinan saya akan mengambil Norman Hakim kerana pada pandangan saya, watak hero dan heroin jika dipegang oleh Norman dan Erra, memang 'ngam'.
"Tetapi itu semua sekadar apa yang terlintas di fikiran saya. Kata putusnya
belum dapat diberikan lagi. Sebab yang penting, saya perlu berjumpa dan berbincang
dengan Aziz. Kerana dialah pengarah filem GGP," kata Yusof yang mengakui,
merasa berdebar menunggu sambutan penonton terhadap GKTMII yang sudah pun mula
ditayangkan pada 23 Mei lalu.