Yusry lupakan Erra kerana perempuan lain
-Selepas Mr Cinderella kutip lebih sejuta
Mohd Noor Kadir, produser dan penulis skirp yang tidak kering idea dari Kuasatek Pictures menghubungi telefon bimbit wartawan HAI pada awal pagi, 2 September lalu. Emma, good news... 'Mr. Cinderella (Mr C) kutip 1.2 juta dalam empat hari tayangan! Jelas gembira nada suara Mohd Noor itu.
Sejurus itu, pengarah Mr C pula, Ahmad Idham menelefon wartawan HAI memberitahu khabar gembira yang sama. Kata Idham,"Kalau semuanya berjalan lancar, insya-Allah lepas nie, bolehlah ke New Zealand."
Tayangan umum Mr C bermula 29 Ogos lalu, dan sehingga artikel ini ditulis, jumlah kutipannya dikatakan semakin meningkat. Itu merupakan petanda baik untuk sequel Mr C ialah Mrs Cinderella (Mrs C).
Ini kerana, Mohd Noor sendiri pernah memberitahu HAI ketika ditemui di majlis pelancaran novel filem tersebut di ibu kota pada hari pertama tayangan pembukaan Mr C diseluruh negeri, sequel itu hanya akan wujud selepas tindak balas baik penonton terhadap Mr C.
Mohd Noor juga memaklumkan bahawa dia sudah mula menyiapkan jalan cerita dan skrip Mrs C. Katanya, jalan cerita sequel itu lebih menarik. Sudah pasti Erra - Yusry terus memegang teraju utama.
"Sebelum ini, Erra menyatakan jadualnya terlalu sibuk dan dia takut tidak dapat memberikan harapan gembira kepada Kuasatek untuk sequel ini. Awalnya, Kuasatek merancang mengadakan penggambaran awal Mrs C di New Zealand pada Ogos lepas.
"Tapi tertangguh sebab Erra belum memberikan sebarang keputusan apakah akan terus bersama Kuasatek dalam sequel ini. Tapi, rasanya selepas perkembangan baik Mr C, harapan Kuasatek itu mungkin tiada masalah. Kemungkinan besar, saya bersama Idham, Yusry serta beberapa orang krew produksi akan ke New Zealand untuk menjenguk kawasan penggambaran serta peralatan penggambaran Mrs C.
"Lokasi pilihan Kuasatek kali ini ialah di Auckland, New Zealand. Saya dah mula buat skrip Mrs C. Dato' Yusof Haslam juga memberikan sokongan dan Skop Productions akan terus bergabung dengan Kuasatek untuk Mrs C. Kalau boleh saya mahu cepat buat Mrs C kerana cerita Erra - Yusry tengah panas. Kalau tunggu lama-lama, nanti pudar. Jadi, Kuasatek bercadang memulakan penggambaran Mrs C di New Zealand pada awal tahun 2003. Erra - Yusry mesti ada dalam Mrs C.
Tapi ada seorang lagi pelakon wanita popular yang bakal berlakon sama. Ini satu kejutan besar yang akan diberitahu kemudian," jelas Mohd Noor Kadir sewaktu ditemui di majlis pelancaran novel filem sulung Kuasatek itu di ibu kota, baru-baru ini.
Lokasi di New Zealand
Ahmad Idham pula menambah, jalan cerita Mrs C ternyata lebih menarik dan mencemaskan.
Sebagai pengarah, Idham bersama Mohd Noor sedang mengadakan uji bakat terhadap
beberapa pelakon wanita popular serta bakat-bakat baru untuk bergandingan dengan
Erra dan Yusry.
"Mrs C masih mengekalkan jalan cerita yang romantik tetapi setiap pelakon lebih berkarektar dengan berdepan dengan banyak konflik.
"Sequel ini lebih mencabar kewibawaan saya sebagai pengarah. Jalan ceritanya berkisar, selepas berkahwin, Puteri Megawati (Erra) hamil tetapi akhirnya keguguran. Putri terlalu kecewa sehingga mengabaikan suaminya, Hakimi (Yusry).
"Untuk menenangkan keadaan, Hakimi membawa Puteri bercuti ke New Zealand kerana kebetulan Hakimi ada urusan perniagaan di sana dengan rakan kongsinya. Tragedi berlaku, sewaktu di sana, mereka ditimpa kemalangan dahsyat sehingga meyebabkan Puteri hilang tak dapat dikesan.
"Hakimi kecewa kerana Puteri tidak berjaya dikesan apakah masih hidup atau sebaliknya. Dalam masa yang sama, anak gadis rakan kongsinya cuba mengisi kekosongan hatinya dengan banyak memberi semangat agar meneruskan kehidupan. Akhirnya, Hakimi mengahwini perempuan itu dan cuba melupakan Puteri. Selepas tiga tahun berlalu, di saat kebahagiaan Hakimi bersama perempuan bernama Anis itu, Puteri yang disangka mati tiba-tiba muncul.
"Apabila menyedari Hakimi telah berkahwin lain, Puteri kecewa tetapi dia tidak berputus asa cuba memikat semula hati Mr Cinderellanya itu. Di sinilah banyak konflik yang akan timbul yang lebih mencantikkan jalan cerita Mrs C," kata Ahmad Idham.
Pengarah muda itu juga cukup yakin Erra - Yusry tidak menghampakan harapan jutaan peminat yang mahu melihat pasangan itu beraksi buat kali kedua di layar perak.
Apabila hidup dirasakan telah kosong kerana kehilangan orang yang dicintai, apa lagi yang harus dilakukan sekiranya ada insan lain yang hadir mahu mengisi kekosongan jiwa?
Semuanya bakal terjawab dalam Mrs C.