Mr Cinderella - Dapat banyak Sponsor
Oleh:Haszrul Mohamed

Filem usaha sama, Skop Productions dan Kuasatek Pictures, Mr Cinderella (Mr C) yang menggandingkan Erra Fazira dan Yusry KRU akan menemui penonton penghujung Ogos ini. Sebagai usaha awal untuk mempromosikan filem tersebut, hero dan heroin filem itu sanggup menjalani sesi fotografi untuk pembikinan poster gergasi Mr C.

HAI terlebih dahulu membuka mulut kepada rakan kongsi Mohd Noor Kadir, Dato Yusof Haslam, meminta gambar-gambar sekitar sesi fotografi poster gergasi Mr C. Seperti mana yang dijanjikan oleh Yusof, HAI diminta ke pejabat pada 3 Julai lalu, untuk mengambil foto-foto di sebalik pembikinan sesi fotografi poster Mr C.
"Inilah gambar-gambar yang saya janjikan tempoh hari. Kalau ada apa-apa pertanyaan, saya rasa eloklah jika HAI menghubungi Encik Mohd Noor. Biar dia yang bagi kenyataan," kata Yusof memberi cadangan.

Pada hari yang sama, HAI menghubungi Mohd Noor di pejabatnya, Kuasatek Pictures untuk ditemu bual. Apa kata jika kita ikuti serba sedikit perbualan dengan big boss Kuasatek Pictures?
"Sessi fotografi itu dibuat lebih kurang seminggu lebih yang lalu di sebuah studio di Cheras, Kuala Lumpur. Pada mulanya, saya tidak terfikir pun nak menjenguk ke studio Jubang Sutajio milik jurufoto Bustamam Mokhtar, untuk melihat bagaimana still photo Mr C itu dibuat. Tetapi, rakan kongsi saya, Dato Yusof Haslam memang cukup bersemangat nak turun sama ke lokasi still photo. Dia menghubungi saya dan terus datang ke pejabat saya. Kami konvoi bersama.

"Sebenarnya, saya sendiri tak berani nak komen apakah filem Mr C akan sukses apabila ditayangkan kepada penonton. Tetapi perasaan saya itu hilang sedikit demi sedikit apabila saya melihat bagaimana Dato Yusof begitu excited menanti filem ini masuk panggung. Namun begitu, saya masih lagi ada perasaan risau kerana keyakinan yang ditunjukkan oleh Dato Yusof Haslam terhadap filem ini. Tetapi sekarang, saya pun terikut rasa seronok dan yakin dengan filem ini. Sebagai penerbit bersama Dato Yusof, saya juga mengharapkan agar filem ini boleh pergi jauh. Itulah harapan yang berputik dalam hati saya. Lebih-lebih lagi apabila saya melihat Dato Yusof sendiri ada keyakinan terhadap filem ini," kata Mohd Noor.

Strategi pemasaran

Tambah Mohd Noor lagi, dia menyerahkan segala-galanya ke tangan Dato Yusof dalam hal pemasaran dan pengedaran filem Mr Cinderella. "Dato Yusof orang yang berpengalaman. Biarlah beliau yang memimpin. Saya ikut dari belakang. Kalau mengikut kata Dato, dan kalau tak silap saya, filem Mr C akan masuk panggung pada 28 Ogos ini. Dengan pihak Finas pun, kami tidak ada apa-apa masalah. Wajib tayang pun no problem.

"Saya tahu 31 Ogos nanti ialah cuti umum sempena Hari Kemerdekaan kita. Kiranya tepat perkiraan Dato untuk Mr C masuk panggung. Saya setuju jika itulah strategi pemasaran Dato dan saya terima kepakarannya. Saya lihat Dato begitu bertungkus lumus untuk memasar, mengedar dan menetapkan tarikh tayangan filem ini. Jadi, sama-sama lah kita berdoa agar Mr C akan mendapat sambutan kaki wayang," jelas Mohd Noor.

Kos RM1.3 juta

Mohd Noor turut berkata, kos keseluruhan pembikinan Mr C ini adalah sekitar RM1.3 juta.
"Itulah kos keseluruhannya. Saya cakap benar. Kos itu termasuklah kos untuk promosi filem Mr C. Kalau nak kira pecahan kos, RM250 ribu adalah untuk promosi. Jadi, pembikinan filem ini adalah RM1.05 juta. Itu angka yang saya tak tokok tambah sebab apabila kita bikin filem, kita tak boleh tipu orang. Kalau banyak itu jumlah yang dibelanjakan, kita cakap sahaja yang benar.

"Baju yang Erra pakai untuk sessi fotografi poster gergasi Mr Cinderella ini ditaja oleh Butik Citra yang terletak di Ampang Point, Ampang. Berapa kos baju itu? Maaf. Saya tak pasti. Tuksedo yang Yusry pakai pula, ditaja oleh pengarah, Ahmad Idham. Ia koleksi Ahmad Idham. Dan, ada lagi beberapa benda yang disponsor untuk sessi fotografi poster Mr Cinderella.

"Saya bersyukur kerana banyak pihak yang bermurah hati, nak menaja fotografi poster filem ini. Bagi saya, apabila kita sudah berusaha, terserahlah kepada penonton untuk memastikan sukses atau tidak sambutan filem ini nanti," jelas Mohd Noor.

Sequel Mr C

Belum pun filem Mr C masuk panggung, sudah dengar ura-ura mengatakan, akan ada sambungan filem Mr C II. Apakah untuk sequel Mr C II, Mohd Noor sendiri akan bertindak sebagai pengarah?

"Selepas habis suntingan Mr C, Dato Yusof suruh saya tulis sequel Mr C II. Saya pun risik-risik Yusry, dia kata okey. Tapi, Erra lah pula sibuk sampai akhir tahun ni. Apabila saya beritahu Dato, kata Dato, serahkan soal Erra padanya. Saya bercadang nak buat penggambaran sequel Mr C II kat luar negara Ogos ni. Tempat asal yang saya rasakan sesuai ialah New Zealand kerana saya nak capture salji turun. Tapi, dah tak jadi, kalau tunda akhir tahun, kenalah cari negara Eropah pula.

"Saya tak akan mengarah filem. Cukup sekadar saya jadi penulis skrip dan produser. Lagipun, selepas Dato Yusof tengok hasil sentuhan Ahmad Idham sebagai pengarah Mr C, Dato kata Idham agak memuaskan. Jadi, biarlah saya dengan kerja-kerja saya. Kalau jadi pengarah, saya takut tak ada masa untuk buat kerja lain," kata Mohd Noor mengakhiri perbualan.