Tarikh
nikah Erra - Yusry masih jadi teka-teki
PERMULAAN Ramadan lalu, kecoh desas-desus yang mengkhabarkan pasangan artis popular, Yusry dari kumpulan KRU dan Erra Fazira, bakal bertunang pada tarikh 3.3.03.
Ketika itu, memang mereka berdua berada di Makkah menunaikan umrah Ramadan. Memang mereka mengikut rombongan yang sama dan mencari cincin ketika di sana.
Sekembalinya dari Makkah, Yusry akhirnya menjelaskan memang dirinya dan Erra nak beli cincin di tanah suci ketika itu. Tapi, ooops, nanti dulu, usah terus serkap jarang.
Dalam laporan Pancaindera, akhbar Mingguan Malaysia, Yusry, 29 tahun, menjelaskan: 'Tak cukup tu (desas-desus) orang kata saya beli cincin di Makkah pula untuk hantaran kahwin.
'Sebenarnya, saya memang mengaku saya nak beli cincin di sana. Bukan untuk Erra. Tapi kami berdua nak beli untuk emak Erra. Tapi tak jadi, emas dan ukiran cincin di sana tak cantik.'
Nah, itulah penjelasannya.
Menyentuh kekecohan cerita mengenai pertunangannya dengan Erra tahun depan tatkala dirinya sedang sibuk mengerjakan umrah Ramadan, Yusry, mengakui berasa terkilan.
'Merepek itu... tak betul... jangan percaya. Kalau betul pun saya dan Erra akan berkahwin bukan tarikh 3.3.03, bukan hantaran RM33,333.33! ($15,473),' tegasnya dalam Pancaindera.
Menyifatkan tarikh tersebut hanya sekadar tekaan, Yusry menambah, pihak lain boleh membuat pelbagai spekulasi mengenai perhubungan mereka.
'Bukan setakat cerita kami akan bertunang pada tarikh itu, malah ada pihak menyebarkan berita kononnya kami pergi ke Makkah untuk bernikah.
'Ketika di sana ada orang telefon saya bertanya benarkah saya bernikah dengan Erra. Saya terkejut,' akuinya.
Yusry bagaimanapun mendedahkan perancangan untuk menyunting Erra memang ada cuma bilakah tarikhnya itu masih belum dapat beliau pastikan.
'Saya tidak berniat untuk menyembunyikan apa-apa. Kalau jadi insya-Allah saya akan maklumkan kepada media apabila sudah pasti tarikhnya dan sudah dekat harinya.
'Kalau bukan daripada saya sendiri, berita akan keluar daripada mulut Erra. Mengenai perancangan, memang ada tetapi belum ada tarikh tertentu,' ujarnya.
Menyentuh perancangannya menunaikan umrah Ramadan bersama Erra pula, Yusry yang ke Makkah buat pertama kalinya, dalam laporan akhbar, Harian Metro, menjelaskan:
'Keputusan ini datang sekelip mata dan tidak dirancang. Sebelum ini, kalau orang tanya, saya selalu cakap tahun depan, tahun depan.
'Alhamdulillah, tahun ini terbuka hati saya dan ia tiada kaitan dengan Erra. Kebetulan Erra pergi tahun ini tapi dalam rombongan ini ramai kawan-kawan saya yang pergi.
'Rombongan kami tujuh orang iaitu dua wanita (Erra dan ibu saudara) dan lima lelaki.'
Pemergiannya ke Makkah memang sengaja dirahsiakan ujar Yusry kerana tujuannya ke sana hanya untuk beribadah. Di samping itu, ia juga bertujuan mengelakkan pandangan serong jika hal itu diperbesar.
Namun, ia tetap pengalaman yang sukar ditukar ganti.
'Bagi saya pengalaman 10 hari di Makkah adalah sesuatu yang tidak dapat ditukar ganti dengan benda lain. Ini adalah kali pertama saya pergi ke sana dan berharap bukanlah kali terakhir.
'Walaupun berpuasa dalam cuaca panas terik dan berdebu, saya tidak serik kerana pengalamannya tiada tolok bandingnya,' kata Yusry yang demam tiga hari sebelum balik Makkah ekoran cuaca panas dan berdebu.
Menyentuh pengalamannya menatap Kaabah di depan mata, Yusry, menambah: 'Saya tidak dapat gambarkan perasaan sayu, sebak dan terharu bercampur-aduk.
'Ketika itu ada ramai orang sekeliling saya tetapi saya rasa hanya ada saya dan Kaabah saja. Saat itu saya rasa betapa besarnya keagungan Tuhan.
'Di sana saya tidak nafikan memberi sepenuh tumpuan beribadah kerana itulah tujuan pemergian saya dan bukannya melancong seperti destinasi lain.
'Di sana, saya memang lupa dunia dan hanya ingat akhirat saja.'
Kepulangannya ke tanah air memang dinanti-nantikan pihak media yang inginkan pengesahan mengenai desas-desus pertunangannya dengan Erra.
Bagaimanapun, Yusry mengakui mendapat 'perlindungan'.
'Saya tidak pernah rahsiakan (kepulangan) daripada sesiapa. Malah, ketika kami sampai ada wartawan dan jurugambar menunggu kepulangan kami.
'Bagaimanapun, mungkin kerana kebesaran Allah, mereka tidak nampak saya walaupun
saya berjalan di hadapan mereka. Mungkin juga mereka tidak kenal saya kerana
berambut pendek,' katanya.