Penonton jadi 'Alice', Temukan Awie dan Erra
Oleh Hasleen Bachik

KALAULAH si 'Alice', dari filem Sembilu II hadir di Sentosa malam kelmarin, pastinya beliau akan tersenyum lebar menyaksikan lahirnya ramai 'Alice-Alice' sepertinya di kalangan penonton di sana.

Bagi mereka yang masih ingat pada jalan cerita filem lakonan pasangan sensasi, Awie dan Erra Fazira itu, anda mungkin masih ingat pada watak Alice (lakonan Alice Voon) yang asyik mengusik.

Sasaran utama Alice ialah teman rapatnya, Wati (Erra).

Jika dalam filem Sembilu II, Awie dan Erra menjadi bekas pasangan kekasih yang bertemu semula, begitu jugalah yang berlaku dalam Konsert Aidil Fitri 2002, di Amfiteater, Sentosa, malam kelmarin.

Acara bermula dengan nyanyian secara bersama sebuah lagu Hari Raya oleh artis undangan termasuk Awie, Erra, Halim Khan, kumpulan popular, Triple Noize selain pengacaranya, M. Saffri A. Manaf.

Triple Noize membuka acara dengan lagu Pelayaran (kisah nenek si bongkok tiga), selain lagu 'meletup' mereka Mak Minah tapi kali ini dalam versi Mak Minah sambut Lebaran.

Halim Khan muncul kemudian dengan lagu Ku Insan Ketiga, lagu sa duran dari filem Bollywood, Mann. Bagaimanapun, persembahannya terjejas sedikit apabila irama lagu dan suaranya tidak segandingan.

Penyanyi yang mendapat hadiah terbanyak seperti jambangan bunga dan beruang, Erra Fazira muncul di pentas dengan beberapa buah lagu termasuk lagu rancak dendangan Britney Spears, Overprotected.

Irama bertukar menjadi hard rock dengan kemunculan kumpulan Rockers, sebelum Awie muncul kemudian dengan lagunya Hukum Karma, Ratuku, Bujang Senang, Sejati dan Terima Kasih.

Apa yang paling ketara sepanjang acara dua jam itu adalah bagaimana para penonton tidak putus-putus mengusik Awie sama seperti mana Erra diusik Alice dalam filem Sembilu II.

Dalam pertemuan semula Erra dan Awie dalam filem Sembilu II (1995), Awie ditampilkan masih membujang sedangkan Erra yang menghidupkan watak selaku Wati pula sudah bergelar ibu.

Hakikat sebenar di luar layar lebar, Awie kini sudah menjadi bapa dua orang anak sedangkan Erra - yang dilaporkan hangat bercinta dengan Yusry dari kumpulan KRU - pula masih belum bernikah.

Inilah yang dikata, cerita dalam filem boleh jadi nyata.

Dalam acara anjuran Kelab NTUC dan Quebec Leisure malam kelmarin, giliran Awie pula teruk kena usik peminatnya! Tapi, beliau tetap tampak cool, malah ikut melayan usikan itu.

Ketika penonton mula mengusiknya sambil mengait-ngaitkan namanya dengan Erra, Awie, yang mendendangkan lima buah lagu, sambil berseloroh berkata: 'Eish... aku tak nak nyanyilah!'

Ternyata Awie bukan setakat pandai menyanyi dan berlakon tapi juga kuat bersenda. Interaksi di antara dirinya dan peminatnya malam kelmarin cukup ketara.

Setiap kali penonton mengaitkan namanya dengan Erra, Awie akan menjawab seperti, 'Eh, diamlah...' atau 'Eh, itu orang (yang berteriak) perlukan tawaran,' atau wajar dicampak ke laut di Pantai Sijori yang terletak hanya di belakang pentas, gurau Awie.

Selepas beliau menyanyikan lagu rancak, Bujang Senang, ada penonton kemudian berteriak: 'Lagi satulah (lagu) Awie, duet dengan Erra!'

Apabila Awie menjawab bahawa Erra sudah pulang, mereka enggan mempercayainya walhal memang benar Erra bergegas pulang sejurus sahaja persembahannya selesai.

Awie yang ikut melayan gurau senda penonton, berseloroh semula sambil berkata: 'Dia (Erra) dah balik. Betul, dia dah balik. Dia tunggu saya kat bilik...'

Hoi... maka bergemalah derai tawa di kalangan penonton yang hanya memenuhi kira-kira separuh daripada tempat yang boleh memuatkan sekitar 4,000 orang itu.

Namun, kekurangan penonton tidak jadi hambatan.

Malah, suasana antara artis dengan penonton menjadi lebih akrab.

Mungkin dek tidak tahan lagi diusik, sampai ketikanya, Awie sampai berkata: 'Janganlah bagi aku gila!'

Sebelum mengakhiri persembahannya dengan lagu Terima Kasih, Awie, berkata: 'Saya ampunkan dosa-dosa mereka-mereka... walaupun tadi mereka telah mencoret sedikit hati saya.'

Inikah yang dinama, apabila Awie bertemu 'Wati', kenangan lama menerpa kembali? Terguris bak Sembilu ke?