KISAH cinta mereka memang cukup sensasi. Mereka berkasih, bercinta dan kemudian bertunang. Namun, pertunangan mereka tidak berakhir di jinjang pelamin dan pasangan Awie dan Erra Fazira masing-masing mengikut haluan tersendiri. Sejak putus tunang kira-kira empat tahun lalu, pasangan sensasi Awie dan Erra jarang benar digandingkan bersama apatah lagi dengan kedudukan Awie sekarang yang sudah bergelar suami.
Bagaimanapun, peminat kedua-dua artis popular ini berkesempatan menyaksikan 'pertemuan semula' bekas pasangan kekasih sensasi ini di atas pentas yang sama. Tempatnya, di Amfiteater Sentosa.
'Kesemua artis yang terlibat dalam konsert ini akan disatukan untuk persembahan secara bersama,' kata Pengurus Kanan, Perhubungan Awam/Pemasaran Korporat, Kelab NTUC, Walter Lim.
Seperti biasa, Kelab NTUC menganjurkan konsert sempena Hari Raya. Bagaimanapun, tambah Walter, Konsert Aidil Fitri 2002 yang akan diadakan mulai 8.30 malam pada Sabtu, 28 Disember, ini akan menjadi acara berskala besar dengan bintang besar. 'Yang pasti, ia acara yang hip dan happening. Acara ini menggabungkan nama-nama besar dalam industri muzik Melayu melalui Awie, penyanyi rock ternama; Erra dengan lagu pop dan baladanya, kumpulan setempat, Triple Noize dengan rentak hip-hop dan Halim Khan dengan sentuhan Bollywoodnya,' tambah Walter.
Apa yang menjadi daya tarikan pada konsert itu bukan setakat pada nama penyanyi dan kumpulan ternama sahaja, malah juga pada harga tiketnya yang boleh disifatkan agak rendah. Berbanding dengan konsert yang biasa, konsert selama dua jam anjuran Kelab NTUC dan Quebec Leisure ini meletakkan harga tiket hanya $7 untuk pemegang kad NTUC Link dan $14 untuk bukan anggota.
Bayaran itu juga termasuk bayaran masuk ke Sentosa! Menjelaskan harga tiket yang rendah itu, Walter, berkata:
'Kami cuba seberapa daya agar anggota-anggota kami (Kelab NTUC) dapat turut memeriahkan acara tahunan ini dan maka itu kami letakkan harga tiket yang di dalam kemampuan mereka.' Pihaknya tambah Walter ingin menarik sekurang-kurangnya 2,000 penonton untuk hadir memeriahkan acara tersebut di tempat yang boleh menampung sekitar 4,000 orang itu.
Di Amfiteater Sentosa itu nanti penonton akan dapat menyaksikan Awie, Erra, Triple Noize dan Halim Khan mendendangkan antara empat dengan lima lagu. Bagaimana agaknya aksi Awie dan Erra di pentas nanti? Masih janggalkah mereka?
Butir Konsert
Acara: Konsert Aidil Fitri 2002.
Artis: Awie, Erra Fazira, Halim Khan dan kumpulan Triple Noize.
Tarikh: Sabtu, 28 Disember 2002.
Masa: 8.30 malam hingga 10.30 malam.
Tempat: Amfiteater Sentosa.
Harga tiket: $14 (Bukan anggota). $ 7 (Pemegang Kad NTUC Link).
Nota: Harga tiket termasuk $2 bayaran masuk ke Sentosa.
Talian tempahan: 6741-8833.
Juga boleh didapati di Muzika (Kompleks Joo Chiat), Downtown East (1 Pasir Ris Close), Happy Days (Bishan Street 13), JAMS The Club (Clarke Quay) dan La-Vanita (pusat membeli-belah Peninsula).
Anjuran: Kelab NTUC dan Quebec Leisure.