Erra dan Yusry jadi rebutan penerbit dua filem

BUKAN main laku Erra Fazira dan pasangannya, Yusry (KRU).

Selepas filem lakonan mereka bersama 'Mr Cinderella' meletup, kini mereka dipancing pula syarikat Metrowealth Movies Production (MMP) untuk filem 'Cinta Kolestrol'.

Tetapi langkah Erra dan Yusry menerima tawaran MMP itu padanya hampir menggoncangkan hubungannya dengan penerbit Yusoff Haslam dan Kuasatek Pictures yang merancang untuk mengeluarkan filem 'Mr Cinderella 2'. Erra dan Yusry bersetuju untuk menjayakan filem tersebut, tetapi macam mana pula boleh terima filem 'Cinta Kolestrol' yang tarikh penggambarannya hampir sama?

Mulanya, ada desas-desus yang menyebut Erra dan Yusry sebagai tak kenang budi Yusoff, orang yang mengenalkannya dalam bidang filem. Namun, khabarnya masalah itu dapat diselesaikan secara damai dan dewasa.

'Sekarang ni tak timbul isu Erra tak kenang budi. Erra mengenang budi saya dan Datuk Yusoff (Haslam) apabila dia akhirnya menerima lamaran kami membintangi 'Mr Cinderella 2'.

'Pada mulanya saya memang dah tawar hati untuk meneruskan sambungan 'Mr Cinderella' apabila timbul perselisihan faham antara kami, namun Erra dan Yusry memberi saya semangat supaya meneruskan penggambaran 'Mr Cinderella 2' yang akan bermula 18 Januari ini,' kata Mohd Noor Kadir, orang kuat Kuasatek, kepada Berita Harian Malaysia, baru-baru ini.