Mohd
Noor yakin filem boleh'boom'
SEWAKTU wakil Bintang Popular sampai di lokasi itu (yang diubahsuai daripada syarikat asal Ranhill Engineers & Constructors Sdn Bhd), pengarah Din CJ dan pelakon Opie Zami kelihatan duduk di depan ruang lif bersama monitor kamera bagi mengawasi pembikinan satu babak.
Di bahagian dalam pejabat itu pula, berhampiran kaunter penyambut tetamu, kelihatan Puteri Megawati (Erra Fazira) melintas dan seterusnya Din menjerit: OK, cut! Kemudian babak itu diulang tiga kali sehinggalah Din berpuas hati.
Melihat pengarah itu kemudiannya mengambil rehat, barulah penulis menyapanya.
Setakat ini shooting semua berjalan lancar. Tapi dua hari ini (1 dan 2 Februari), memang special sikit sebab ada Kak Nita, kata Din memulakan bicara.
Seterusnya Din mula ghairah bercerita mengenai Anita dan komitmen penghibur
antarabangsa itu yang dianggapnya begitu profesional dan mengagumkan.
Apabila hari pertama kami shoot, saya rasa memang excited. Maklumlah, Kak Nita walaupun bukan selalu berlakon tapi namanya tetap besar siapa tak kenal bukan? Tapi alhamdulillah, semua berjalan lancar macam yang kami rancangkan malah Kak Nita pandai improvise wataknya untuk kelihatan lebih lucu, kata Din.
Selepas itu, penulis melangkah masuk ke bilik Anita berehat. Sebaik saja daun pintu dibuka, kelihatan Anita dengan gaya rambut terbarunya dan di situ juga ada ibu tirinya, Datin Umi Kalthum, suami, Mohd Mahathir Abdullah serta anak saudaranya, Amir (Boy).
So, Kak Nita ni pun macam orang lain juga, excited. Yalah, dah lama Kak Nita tidak berlakon filem. Tapi, dengan sokongan semua orang terutama di Kuasatek, Kak Nita rasa selesa berlakon semula.
Dari segi komitmen, semua OK. Erra bagus, Yusry bagus dan begitu juga Helmi (Gimmick) dan Opie, kata Anita sambil membetulkan solekannya. Tidak dinafikan selepas mengenakan rambut palsu, dia nampak jauh lebih muda dari usia sebenar.
Lucu juga kerana daripada berborak-borak soal 'Mr Cinderella 2', topik perbualan kami tiba-tiba melencong kepada hobi Kak Nita yang suka menonton Discovery Channel. Dari situ, ceritanya meleret pula kepada kisah pontianak, langsuir, toyol dan penanggal serta beberapa kisah pelik yang dilalui Datin Umi ketika menetap di Singapura dulu.
Eh, tak naklah cerita pasal hantu-hantu ni, seram sejuk pula Kak Nita. Kita cerita ajelah pasal 'Mr Cinderella 2'! kata Anita sambil menggoyang-goyangkan badannya tanda seram.
Tidak lama selepas itu, dramatis Ainina Ahmad B muncul memberikan isyarat. Rupanya Ainina kini memikul tugas sebagai pembantu skrip untuk 'Mr Cinderella 2'. Dengan erti kata lain, kehadiran Ainina memudahkan kerja Din CJ di kerusi pengarah kerana adanya pengkhususan tugas.
Antara krew lain ialah Pengarah Fotografi, Devan R; Penolong Pengarah 1, Zaiton Kassim; Penolong Pengarah 2, Mazri Mustaffa dan Pengurus Produksi, Khir Mohd Noor.
Sesudah Ainina menyemak dan mengenal pasti dialog Anita, penggambaran untuk beberapa lagi babak Anita disambung. Bagi adegan itu, Suria (Anita) cuba mendapatkan sesuatu maklumat daripada Hassan (Helmi Gimmick). Namun yang lucunya, mulut Hassan memang jenis berbau dan Suria terpaksa menahan nafas malah menyembur pewangi di sekelilingnya selepas Hassan berlalu dari situ.
Babak seterusnya yang dibuat pada awal malam ialah Suria terkejut melihat koleksi foto yang memperlihatkan Hakimi (Yusry) terbabit dalam skandal gay. Terbeliak mata Suria apabila Hassan menunjukkan foto berkenaan kepadanya.
Sementara itu, produser Kuasatek Pictures, Mohd Noor Kadir, yang turut meninjau penggambaran pada hari itu meluahkan rasa keyakinan bahawa filem ini akan `boom di pasaran.
Kita akan cuba menyuntik segala kepakaran yang Kuasatek Pictures ada ke dalam filem ini. Memang filem pertama kita dulu ada kelemahan dan kita akan cuba memperbaikinya. Contohnya dari segi teknikal, kita menggunakan kamera tercanggih Arriflex 535 dari Hong Kong. Kamera ini banyak keistimewaannya dan boleh merakamkan filem secara direct sound.
Kita juga berharap penggambaran di New Zealand akan menambahkan lagi kesan sinematografi kepada 'Mr Cinderella 2', kata Mohd Noor yang masih menjalinkan usaha sama dengan produser handalan, Datuk Yusof Haslam yang masih mengerjakan ibadah haji.