Benarkah Erra tak kenang budi?

PENERBIT Kuasatek Pictures Sdn Bhd, Mohd Noor Kadir tidak menyifatkan pelakon popular, Erra @ Eera Fazira Wan Chek sebagai tidak mengenang budi apabila artis serba boleh itu menyatakan persetujuannya membintangi filem terbaru terbitan bersama Kuasatek dan Skop Productions Sdn Bhd, 'Mr Cincerella 2', sekalipun pada masa sama menyatakan persetujuan membintangi filem terbaru keluaran Metrowealth Movies Production (MMP), 'Cinta Kolestrol'.

“Sekarang ni tak timbul isu Erra tak kenang budi. Erra mengenang budi saya dan Datuk Yusof (Haslam) apabila dia akhirnya menerima lamaran kami membintangi 'Mr Cinderella 2'.

“Pada mulanya saya memang dah tawar hati untuk meneruskan sambungan 'Mr Cinderella' apabila timbul perselisihan faham antara kami, namun Erra dan Yusry memberi saya semangat supaya meneruskan penggambaran 'Mr Cinderella 2' yang akan bermula 18 Januari ini,” kata Mohd Noor yang dihubungi Bintang Popular, baru-baru ini.

Sebelum ini Erra dan Yusry dilaporkan menerima tawaran daripada MMP di mana penggambaran 'Cinta Kolestrol' bertembung dengan jadual pembikinan 'Mr Cinderella 2', sekali gus mengundang rasa tidak puas hati Mohd Noor dan Yusof kerana segala perancangan sudah diatur rapi termasuk menjalani penggambaran di sebuah bandar di New Zealand.

Khabarnya, Erra dan Yusry meminta Mohd Noor menangguhkan penggambaran 'Mr Cinderella 2' untuk memberi laluan kepada mereka menjayakan 'Cinta Kolestrol' terlebih dulu. Permintaan itu secara tidak langsung menimbulkan kerumitan kepada seluruh warga kerja 'Mr Cinderella 2' termasuk pelakon lain.

Difahamkan, Erra yang mewakili Erra Fazira Entertainment, bersama penerbit MMP, David CH Teo, selain Norman Abdul Halim (KRU Motion Pictures) menandatangani perjanjian kerjasama menerbitkan 'Cinta Kolestrol', 5 Disember lalu di Bangsar, Kuala Lumpur yang mana ia turut disaksikan Mohd Noor dan Yusry.

“Saya akui pada suatu ketika, Kuasatek dan Skop memang berdepan dengan krisis antara Erra dan Yusry mengenai pembabitan mereka dalam 'Mr Cinderella 2' kerana pada masa sama menerima lamaran MMP.

“Bagaimanapun, ketika ini kontroversi itu sudah diselesaikan dengan satu kompromi di antara kedua-dua belah pihak (Kuasatek, Skop dan Erra, Yusry). Erra dan Yusry akhirnya bersetuju memberi kerjasama dalam penggambaran 'Mr Cinderella 2' dengan menepati jadual asal diikuti pembikinan 'Cinta Kolestrol'.

“Saya kagum cara Erra dan Yusry menyelesaikan masalah secara diplomasi. Bersama persetujuan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memahami situasi kami yang sudah membuat persiapan rapi bagi memastikan 'Mr Cinderella 2' disiapkan mengikut jadual.

“Dengan kata sepakat ini, saya menganggap kontroversi antara kami sudah pun berakhir. Saya berharap kedua-dua belah pihak dapat memberi tumpuan terhadap kerja masing-masing yang agak terganggu suatu ketika dulu disebabkan kontroversi ini,” jelas Mohd Noor lagi.

Penggambaran 'Mr Cinderella 2' akan memakan masa kira-kira 30 hari di Malaysia dan 15 hari di New Zealand. Seterusnya Erra dan Yusry sekali lagi bergandingan menjayakan penggambaran 'Cinta Kolestrol' pada 16 Mac depan.

Sementara itu, menurut sumber, orang yang paling berasa hati dengan Erra bukanlah Mohd Noor, sebaliknya Yusof kerana Erra tidak memaklumkan sendiri kepada beliau hasrat membintangi 'Cinta Kolestrol' kerana dia (Yusof) adalah orang yang bertanggung jawab membina masa depan Erra dalam dunia perfileman.

Pun begitu, sumber yang rapat dengan Yusof memberitahu, Yusof selama ini tidak pernah mengongkong mahupun menghalang Erra berlakon dengan mana-mana produksi filem selain Skop.

“Mungkin orang salah faham kerana menganggap Datuk menghalang Erra bekerjasama dengan orang lain. Sebenarnya Erra bebas berlakon dengan sesiapa saja. Contohnya, apabila Erra bekerjasama dengan Habsah Hassan (Serangkai Filem), dia (Erra) tidak meminta pandangan mahupun nasihat daripada Datuk.

“Datuk hanya terkilan apabila Erra menerima tawaran MMP yang mana penggambaran 'Cinta Kolestrol' bertembung dengan jadual 'Mr Cinderella 2'. Itu saja. Kini, segala-galanya sudah selesai. Orang kata win-win situation. Saya harap janganlah diperbesarkan lagi isu ini, ” pinta sumber berkenaan.

Namun, Erra ketika dihubungi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), keberatan memberi sebarang ulasan kerana tidak mahu keadaan yang sudah jernih kembali keruh.

“Saya lebih senang berdiam diri,” balas Erra ringkas menerusi SMSnya.