'Saya tahu siapa yang saya cinta' - Erra Fazira

SEKALIPUN peminat fanatik Siti Nurhaliza cuba mencetuskan kontroversi, namun keputusan muktamad Bintang Paling Popular 2002, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 (ABP-BH2002), terus menjadi milik Rosyam Nor dengan jumlah undian 335,272.

Mengekori Rosyam ialah heroinnya dalam filem 'Janji Diana' iaitu Erra Fazira yang mengumpul undian 266,450 menerusi kategori Pelakon Filem Wanita Popular. Namun jumlah itu belum mampu menobatkannya sebagai Bintang Paling Popular, sekalipun dia disebut-sebut bakal mengambil trofi Bintang Paling Popular daripada Siti Nurhaliza.

“Rosyam memang layak dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular 2002. Kalau kita tengok, industri perfileman kita kekurangan pelakon lelaki. Rosyam mengambil title Bintang Paling Popular daripada Siti (Nurhaliza). Bagi Erra ia satu sejarah selepas Siti menyimpannya selama lima tahun berturut-turut.

“Bagi Erra, itu bukannya ukuran populariti yang membuktikan Siti dah jatuh. Tidak! Undian bagi kategori Penyanyi Wanita Popular pecah dan pemilihan kali ini lebih adil di mana peminat berpeluang memilih artis yang benar-benar mereka minati saja. Tidak ada lagi faktor undian majoriti atau tepat, sebaliknya slogan terbaik yang diberi keutamaan.

“Yang penting sekarang ni tuah menyebelahi Rosyam,” kata Erra Fazira apabila ditanya komennya mengenai pemilihan Rosyam sebagai Bintang Paling Popular.

Apa pula komen Erra apabila namanya disebut-sebut peminat sebagai pengganti Siti?

“Semua orang boleh sebut macam-macam nama. Dah bukan rezeki kita. Kalau Siti menang pun, Erra pun happy juga. Bagi Erra, Siti masih layak digelar artis paling popular. Sekalipun tidak diiktiraf dalam ABP-BH2002, Siti masih lagi popular.

"Tahun ni rezeki Rosyam, rezeki anak dia,” jelas Erra yang sudah tiga tahun berturut-turut bergelar Pelakon Filem Wanita Popular.

Mengulas pengalamannya berlakon bersama Rosyam dalam 'Janji Diana', Erra berkata Rosyam adalah seorang pelakon yang professional.

“Erra pun banyak belajar daripada Rosyam sekalipun Erra sudah berlakon lebih dari 10 filem. Rosyam juga tak lokek ilmu dan Erra senang cara Rosyam bekerja,” kata Erra yang membawakan watak Diana di mana pertama kali dia perlu menjayakan wataknya sebagai seorang gadis anti lelaki dan sikap ego yang tinggi.

'Janji Diana' adalah sebuah filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd dan garapan terbaru daripada pengarah jutawan, Datuk Yusof Haslam.

Kata Erra, Diana membenci lelaki kerana mempunyai sejarah silamnya yang tersendiri.

Erra juga bakal muncul dengan filem terbarunya, 'Soalnya Siapa' yang bakal ditayangkan pada musim Aidilfitri akan datang. 'Soalnya Siapa' terbitan Serangkai Filem Sdn Bhd bakal menyaksikan Erra bergandingan bersama Afdlin Shauki iaitu pasangannya sebelum ini menerusi 'Soal Hati'.

Bercakap mengenai Yusry KRU yang diperkotak-katikkan oleh peminat sebagai buah hati Erra, dia lebih selesa menyimpang ke persoalan lain dari membicarakan arah tuju perhubungannya bersama Yusry. Namun, selepas diberitahu Erra bermain tarik tali dengan Yusry, sekali gus tidak serius dalam percintaan mereka, berjaya membuka mulut Erra.

Difahamkan ramai yang bersimpati dengan nasib Yusry apabila Erra memperlakukannya begitu.

“Orang boleh buat andaian sendiri. Mereka juga boleh menyimpan perasaan kesian kat sesiapa aje. Tapi, Erra tahu apa yang Erra buat dan apa yang Erra mahu dalam hidup. I know who I love! Jangan risau. Just take care of yourself,” katanya sambil tergelak besar.

Sementara itu, Rosyam bakal menerbitkan filem sulungnya berjudul 'Castelo' pertengahan tahun depan. Pengarah Rashid Sibir bakal mengarahkan filem lakonannya itu. Namun, Rosyam masih mencari siapakah heroin yang bakal bergandingan dengannya nanti.

“Saya buat filem ni bukannya sebab syok sendiri, tapi nak membuktikan kepada masyarakat bahawa faktor usia bukan alasan seseorang itu akan mengundur diri dari dunia lakonan. Saya juga berterima kasih kepada Datuk Yusof (Haslam) kerana membenarkan saya menggunakan nama 'Castelo' untuk filem ini.

“Saya juga menjadikan Datuk Yusof sebagai idola saya dalam dunia perniagaan perfileman. Kenapa Datuk Yusof boleh berjaya dan kenapa saya tak boleh? Tapi, dengan kerja yang saya buat, masyarakat lebih bijak membuat penilaian sekalipun saya jarang mendapat perhatian media,” jelas Rosyam lagi.

Bagaimana dengan peminat fanatik Siti Nurhaliza yang tidak dapat menerima kemenangan Rosyam?

“Setiap selebriti dalam dunia ini, perlu berdepan dengan keadaan berkenaan. Tidak semua artis diminati oleh semua orang. Saya sedar ada orang yang tak suka kat saya. Jadi, ini menambahkan kekuatan kepada saya, bagaimana nak menakluk orang yang tak suka pada saya, boleh menerima saya sebagai artis pilihan mereka.

“Jadi, mesti ada sebab atau kriteria orang tak suka pada saya. Banyak lagi kelemahan saya dan saya harus memperbaikinya supaya saya dapat mencuri perhatian mereka sedikit demi sedikit untuk meminati lakonan saya. Justeru, Siti ada peminat fanatik dan mereka berhak berkata apa saja. Itu realiti yang perlu saya terima,” kata Rosyam.

Bagi Rosyam, Siti tetap artis yang terunggul di Malaysia.

“Kalau nak bandingkan saya dengan Siti, Siti lebih popular dari saya. Satu Malaysia kenal Siti dan tak semua orang Malaysia kenal Rosyam Nor lebih-lebih lagi kepada masyarakat Cina dan India. Saya pula lebih dikenali oleh orang Melayu, jadi populariti masih menjadi milik Siti. Saya tidak menafikan perkara itu.

“ABP-BH2002 adalah pertandingan. Ada yang turun, ada yang naik. Cuma tahun ini rezeki saya. Tak mustahil tahun depan Siti akan dapat balik title Bintang Paling Popular tu,” jelas Rosyam yang akan muncul bersama filem terbarunya, 'Laila Isabella' bersama Nasha Aziz awal tahun depan.