Malam milik Erra, Yusry!

ANUGERAH Personaliti Hiburan (APH) 2002 yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, Sabtu lalu bagaikan menjadi milik ratu filem masa kini, Erra Fazira dan kekasihnya, Yusry. Daripada 13 kategori yang dipertandingkan, di mana kemenangan ditentukan kuasa mutlak hasil undian peminat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), laman web dan borang dalam majalah Media Hiburan, Erra membawa pulang tiga trofi.

Kejayaan Erra jelas membuktikan populariti masih menjadi teras kepada peminat untuk menentukan pemenang. Dia yang kini hangat dengan filem 'Gila-Gila Pengantin' memenangi trofi Personaliti Pelakon Filem menafikan saingan daripada Yusry, Abby Abadi, Afdlin Shauki dan Mazlan Ahmad (Lan Pet Pet).

Sekali lagi, Erra naik ke pentas untuk menerima trofi Pasangan Hero & Heroin bersama Yusry. Dia juga dipilih sebagai Personaliti Artis Jelita di mana tahun lalu, ia menjadi milik Siti Nurhaliza. Pemilihan Erra sebagai Personaliti Artis Jelita disifatkannya sebagai di luar dugaan. Namun, Erra tidak menjadikan kemenangan itu sebagai alasan untuk berbangga kerana baginya, setiap wanita punya kecantikan dan keistimewaan yang tersendiri.

Sementara itu, Yusry pula menganggap kemenangannya sebagai Personaliti Artis Kacak sebagai ‘anugerah suka-suka’ apabila diminta memberi ucapan. Yusry bersama KRU, turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Personaliti Hiburan Lelaki atas sumbangan mereka terhadap pembangunan industri seni.

“Sudah 11 tahun KRU dalam industri hiburan dan anugerah ini bagi kami, adalah sesuatu yang cukup berharga. Ia memberikan kami semangat untuk terus berjuang. Kami bersyukur kerana anugerah ini diterima pada masa sekarang, bukan apabila sudah tiada nanti,” katanya.

Siti Nurhaliza sekali lagi menjadi pilihan apabila dipilih sebagai penerima Artis Wanita Solo/Berkumpulan menewaskan Amy Mastura, Erra Fazira, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain. Dia yang dinobatkan Artis Pilihan Malaysia, Anugerah MTV Asia di Singapura, turut menerima Anugerah Khas Personaliti Hiburan Wanita. Bagi Siti, selain bersyukur, kejayaan itu adalah satu tanggungjawab terhadap amanah dan kepercayaan yang diberikan peminat.

“Dalam apa juga pekerjaan, saya melakukannya atas dasar tanggungjawab kerana artis juga punya peranan terhadap masyarakat. Sebagai penyanyi, saya cuba melakukan yang terbaik dan berterima kasih kepada mereka yang menghargai saya. Saya berharap kejayaan ini akan menjadi perangsang kepada artis baru untuk berusaha keras. Artis juga berperanan dalam mendidik peminat,” katanya.

APH 2002 anjuran majalah berkenaan dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut menyaksikan kemenangan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABP-BH) 2002, Rosyam Nor membawa pulang trofi Pelakon Drama. Bakat lakonan Liza Hanim mula diakui apabila dia menerima trofi Bakat Baru Pelakon manakala Elyana mengulangi kejayaan dalam ABP-BH 2002 apabila dipilih Bakat Baru Penyanyi.

APH 2002 dikendalikan pasangan adik beradik, Sharifah Norhaslinda (Lynn) dan Sharifah Shahira. Ia turut diserikan dengan persembahan yang bertemakan Idola Bertemu Idola daripada Yasin, Waheeda, Def-Gab-C, Aishah, Liza Hanim, Ferhad, Ella dan Siti Nurhaliza.

PEMENANG ANUGERAH PERSONALITI HIBURAN 2002

Bakat Baru Penyanyi: Elyana

Bakat Baru Pelakon: Liza Hanim

Penyampai Radio & Pengacara TV: Sarimah

Pelakon Drama: Rosyam Nor

Pelakon Filem: Erra Fazira

Personaliti Bukan Melayu: Janet Khoo

Personaliti Solo/Kumpulan Rock: Ella

Artis Lelaki Solo/Berkumpulan: Anuar Zain

Artis Wanita Solo/Berkumpulan: Siti Nurhaliza

Pasangan Hero & Heroin: Erra Fazira & Yusry

Personaliti Artis Kacak: Yusry

Personaliti Artis Jelita: Erra Fazira

Artis Serba Boleh: Senario

Anugerah Khas Personaliti Hiburan Lelaki: KRU

Anugerah Khas Personaliti Hiburan Wanita: Siti Nurhaliza