Anita Sarawak suntik nilai komersial MC2

KEHADIRAN superstar Anita Sarawak boleh melonjak nilai komersial filem 'Mr Cinderella 2' (MC2). Demikian komen beberapa wartawan hiburan ketika majlis pelancaran filem MC2 di sebuah kelab di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini. Kemunculan Anita dalam filem ini memang sesuatu yang mengejutkan kerana tiada sesiapa pun yang menjangka artis bertaraf lima bintang seperti Anita akan menerima tawaran berlakon seorang produser tempatan.

Apakah yang menarik perhatian Anita Sarawak menerima lamaran produser Kuasatek Pictures, Mohd Noor Kadir? Saya difahamkan Anita begitu tertarik dengan skrip yang ditulis Mohd Noor. Jika ini benar maka saya rasa Anita telah membuat satu keputusan yang tepat.

Umum mengetahui Anita adalah seorang artis antarabangsa yang amat mementingkan kualiti. Lihat saja persembahannya yang boleh memukau ribuan mata penonton, baik di pentas mahu pun di kaca TV. Saya pasti Anita juga mahu menunjukkan kualiti yang sama apabila dia muncul di layar perak sebagai seorang pelakon. Tidak hairanlah beliau begitu berhati-hati sebelum menerima tawaran walau pun mencurah tawaran yang datang.

Sesuatu yang amat mengagumkan saya apabila Anita sanggup menghadiri sesi script reading sedangkan wataknya hanyalah sebagai pelakon undangan yang bakal muncul dalam tujuh babak saja.

Watak yang dibawa Anita Sarawak dalam MC2 ialah sebagai setiausaha kepada Erra Fazira yang memegang watak utama di samping Yusry KRU. Watak itu cuma sebagai supporting character saja. Tetapi seorang artis profesional seperti Anita bukan mengira status leading atau supporting pada sesuatu peranan. Keutamaannya ialah kepada perwatakan yang sesuai dengan dirinya dan mampu pula dihidupkan dengan sebaik-baiknya.

Ini mungkin jarang berlaku kepada pelakon kita kerana ada yang bersikap memilih, terlalu status oriented yang mementingkan kedudukan peranan daripada character play. Dalam lakonan, kemampuan menghidupkan sesuatu karektor lebih penting daripada menjadi hero atau heroin. Pelakon kita yang terlalu menekan kepada peranan besar atau utama haruslah mengikis rasa malu atau rendah diri apabila ditempatkan kepada peranan yang bukan leading.

Kalau dikira nama besar yang dimiliki Anita dengan kedudukannya sebagai superstar atau diva sudah pasti dia menolak untuk berlakon hanya sebagai pelakon undangan dalam filem MC2. Tetapi Anita Sarawak lebih mementingkan character play daripada status heroin. Itulah sikap profesionalisme yang patut wujud dalam jiwa setiap pelakon kita.

Seingat saya, Anita Sarawak pernah membuktikan bakat lakonannya lebih 40 tahun lalu. Ketika zaman kanak-kanak lagi Anita berlakon dalam filem 2x5 di samping Mat Sentul dan Wahid Satay dalam filem arahan M. Amin. Ketika berlakon dalam filem keluaran Cathay Keris itu kebolehannya dalam bidang nyanyian masih belum dikesan sesiapa.

Selepas filem itu, Anita melupakan bidang lakonan. Tumpuannya adalah kepada bidang nyanyian. Bakat nyanyiannya dikembangkan secara profesional sehingga menjangkau pada peringkat antarabangsa. Berbelas tahun Anita Sarawak menjadi resident singer di Ceaser’s Palace di Las Vegas, Amerika Syarikat. Bayangkanlah status seorang penyanyi apabila diperakui di pusat hiburan utama dunia.

Sesuatu yang boleh kita banggakan dengan anak seniwati veteran Siput Sarawak dan seniman berkaliber Datuk S Roomai Noor ini ialah jati dirinya sebagai orang Melayu. Ke mana saja dia pergi, Anita tidak malu mengaku dirinya orang Melayu. Dan di mana saja dia berada, lagu Melayu tidak pernah ketinggalan diselitkan dalam persembahannya.

Sebagai produser yang turut menanam sebahagian sahamnya dalam pengeluaran filem MC2, saya juga turut bersama Mohd Noor mengadakan perbincangan dengan Anita. Dia begitu simple dalam sesi perbincangan. Tekanannya lebih kepada soal khidmat lakonan yang mahu diberikan dengan sebaik-baiknya daripada soal bayaran.

Penyanyi yang mendirikan rumah tangga dengan Mohd Mahathir Abdullah itu berhasrat menjadikan filem MC2 sebagai titik tolak untuk menjana kegiatan dalam bidang lakonan di samping meneruskan secara profesional kerjayanya dalam bidang nyanyian. Kini, filem MC2 sedang giat menjalani penggambaran dan saya yakin peminat filem Melayu pasti menunggunya dengan penuh minat.

Kemunculan superstar Anita Sarawak sudah pasti menjadi suatu tarikan besar dan mungkin membawa kejutan. Filem blockbuster yang diterbitkan Kuasatek Pictures dan Skop Productions ini menelan kos lebih RM1.5 juta dan turut menjadi New Zealand sebagai sebahagian latar lokasinya. Sama-samalah kita tunggu kemunculan filem 'Mr Cinderella 2'.