Yusry, Erra terus jadi perhatian di PCC2002!
SELAIN pasangan Embun, Umie Aida dan Aqasha yang menjadi perhatian peminat ketika menghadiri Parti Cit Cat 2002 (PCC2002), minggu lalu, kemunculan bintang jelita, Erra Fazira Wan Chek bersama jejaka kacak, Yusry Abdul Halim tetap dinantikan tetamu bahkan petugas di Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah tak habis-habis merakamkan foto mereka berdua!
Zubir tabik spring kat Erra dan Yusry kerana sentiasa bersikap sporting terhadap peminat. Tak pernah rasanya mereka menolak permintaan peminat untuk bergambar mahupun mendapatkan autograf daripada mereka. Itulah sikap yang perlu dicontohi oleh segelintir artis yang bersikap sombong atau kekwat apabila menyedari diri mereka tu dah top!
Peminat juga puas merakamkan gambar Erra dan Yusry yang sedang beradu kekuatan dalam pertandingan gusti tangan. Erra sedaya upaya nak menewaskan Yusry, namun kudrat lelaki yang dimiliki Yusry membuatkan Erra berputih mata di akhir pertandingan.
Ketika menjayakan Mala Gala PCC2002 di Rajawali Ballroom, Erra dan Yusry berduet menerusi lagu 'Ucapkanlah', sekali gus mendapat tepukan serta sorakan gemuruh daripada peminat apabila Yusry melutut di hadapan Erra ketika mendendangkan korus lagu berkenaan.
Daripada pengamatan Zubir, apa yang dapat Zubir simpulkan memang sah dan zahir Erra serta Yusry sebenarnya sedang mabuk dilamun asmara walaupun tak pernah terkeluar daripada mulut masing-masing ayat hikmat I love you... diajukan di hadapan peminat mahupun wartawan.
Zubir juga sempat merisik kepada Abang Long, Norman mengenai Erra dan Yusry.
Aku tak mahulah komen apa-apa. Itu hal mereka. Cuma aku sentiasa doakan kebahagiaan Erra bersama Yusry. Cuma apa yang aku harap janganlah peminat membuat pelbagai spekulasi mengenai perhubungan mereka. Ditakdirkan mereka menjadi suami isteri suatu hari nanti, aku tumpang gembira, kata Norman tanpa mengulas panjang.
Apa yang dapat Zubir perhatikan, kebahagiaan jelas terbayang di wajah Erra dan Yusry. Izinkan Zubir jadi tukang tilik sekejap. Jika Parti Cit Cat tahun lalu kita saksikan Norman Hakim dan Abby Abadi hadir di De Rhu Beach Resort, Kuantan sebagai pasangan kekasih, tak lama selepas itu mereka bernikah.
Begitu juga dengan Erra dan Yusry yang hadir di Kelab Cinta Sayang sebagai pasangan kekasih, mungkin tak lama selepas ini mereka akan diijabkabulkan sebagai suami isteri. Bila? Zubir tak berani nak tilik sebab Erra sangat sensitif bab-bab tarikh ni.