SECARA peribadi selepas menonton prebiu filem 'Soalnya Siapa?' baru-baru ini saya anggap tirai 2002 dilabuhkan dengan tayangan sebuah filem yang boleh dibanggakan. Sememangnya 'Soalnya Siapa?' boleh kita banggakan dari segi mutunya sebagai sebuah filem komedi. Corak persembahannya begitu hidup dengan naratif yang kemas dan bernas serta sarat dengan mesej yang tersirat secara halus tetapi berkesan. Mungkin saya bias tetapi realitinya isteri saya sendiri ketawa besar sepanjang penonton filem ini. Komedi filem ini begitu bersahaja dan bukannya dibuat-buat (slapstick).
Habsah Hassan selaku penulis skrip dan sekali gus produser telah menelurkan idea yang mantap untuk membentuk sebuah cerita yang segar. Mendengar dialog yang hidup dan bersahaja Habsah tidak perlu membuat penonton berkerut dahi untuk menghayati ceritanya. Semuanya dilakukan dalam bentuk simple dan tidak menjemukan penonton.
Romantisme yang menjadi jiwa Habsah dalam melahirkan karya seni berjenis puisi, cerpen, lirik lagu serta skrip filem begitu terserlah dalam 'Soalnya Siapa?' biarpun ia sebuah persembahan filem bercorak komedi. Syabas Habsah! Teruskan perjuangan kerana dunia filem Melayu memerlukan pembabitan orang seperti anda.
Saya ingin memberi tabik kepada Othman Hafsham. Sentuhan berbisanya untuk menghidupkan suasana lucu yang cerdik tidak sedikitpun berkurangan daripada yang pernah ditunjukkannya pada masa lalu. Jelaslah usia (63 tahun) bukanlah penghalang kepada Othman untuk teguh dalam kedudukannya sebagai pengarah yang berkaliber. Apa yang diharapkan semoga Hafsham meneruskan kerjayanya sebagai pengarah filem kerana saya masih teringat dengan kehebatan filem Hafsham ('Mekanik' dan 'Adik Manja') sekitar 80-an dulu. Malah saya juga pernah berguru dengan beliau.
Regu Othman sebagai pengarah dengan Habsah sebagai penulis skrip adalah satu gandingan mantap untuk menceriakan dunia perfileman Melayu. Usaha dan gandingan itu perlu diteruskan lagi demi memperkasakan dunia filem kita yang kadang-kadang diperlekehkan oleh bangsa kita sendiri. Pedulikan! Kerana yang akan meneruskan kesinambungan nafas filem Melayu terletak di tangan kita sendiri dan bukannya bangsa asing. Saya percaya hanya orang Melayu saja yang memahami jiwa dan budaya bangsanya sendiri.
Apakah filem bercorak komedi seperti 'Soalnya Siapa?' akan menjadi pemangkin kepada perkembangan filem Melayu pada 2003? Melihat kepada beberapa buah filem yang sudah disiapkan dan menunggu giliran masuk pawagam pada tahun depan filem komedi dijangka mendominasi pasaran. Beberapa buah filem komedi seperti 'Gila-Gila Pengantin', 'Lang Buana' dan lain-lain lagi akan membanjiri pasaran dalam masa beberapa bulan ke depan ini. Bagaimanapun saya tetap percaya sambutan terhadap sesebuah filem bersifat subjektif (tidak kira apa jenis filem) Hanya penonton yang berhak membuat pilihan dan fenomena ini berlaku di mana pelosok dunia sekalipun.
Saya percaya filem non-comedy juga akan berjaya menambat hati penonton pada 2003. Filem bercorak perjuangan, aksi lasak, muzikal atau percintaan bahkan drama berat juga mempunyai ruang dan peluang untuk bersaing dengan filem komedi jika ia digarap sesuai dengan selera penonton kita. Ini sudah terbukti sejak zaman berzaman.
Dalam pada itu kita tidak boleh meninggalkan terus filem berat yang padat dengan nilai artistik. Pengarah kita yang dikatakan intellectual minded tidak seharusnya berpeluk tubuh menyaksikan berleluasanya pengaruh filem yang menekankan nilai komersial. Apa yang mahu ditunggu-tunggukan lagi? Sama-samalah kita turun ke padang berkarya melalui kepercayaan dan keyakinan masing-masing.
Ketika kalendar menggugurkan lembaran terakhirnya yang bermakna tamatnya tahun 2002 maka saya ingin menyeru kepada orang filem (khususnya Bumiputera) supaya bersatu tenaga dalam merentas cabaran untuk tahun 2003 dan seterusnya. Binalah kekuatan dengan berusaha lebih gigih. Perkasakan fizikal dan mental kita agar tidak dikuasai orang asing yang sentiasa mengambil kesempatan atas kelemahan kita.
Saya yakin kita mampu berjaya jika kita bekerja keras, berdisiplin, merancang dengan bijak dan mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi. Kepada masyarakat penonton, hargailah segala usaha yang dilakukan oleh anak bangsa kita sendiri dan berilah sokongan. Semoga tahun 2003 membawa sinar yang lebih cemerlang bukan saja kepada dunia filem kita tetapi kepada negara dan seluruh rakyat Malaysia amnya. Semoga Malaysia terus maju dan berjaya!