'Soalnya Siapa?' komersial berjiwa
SAMBUNGAN filem 'Soal Hati' ini jauh tiga kali ganda lebih menarik daripadanya. Bersama judul yang kekal dengan nama Soal ia bagaikan tidak memberi jawapan untuk kesudahan filem terbaru Serangkai Filem ini. 'Soalnya Siapa?' terus meninggalkan persoalan yang bukan berkaitan cinta wataknya tetapi aspek kehidupan yang harus menjadi renungan.
Namun, persembahan dalam bentuk yang ringan, bersahaja dan mudah difahami memenuhi tuntutan komersialisme demi kelompok penonton remaja yang suka ke pawagam.
Filem skrip karya penerbitnya, Habsah Hassan cuba menyindir sikap masyarakat, mengajak berfikir sejenak dan pada masa sama mahu penonton mengambil iktibar menerusi moraliti dalam pengisiannya. Biarpun babak penutup filem ini tetap sama seperti 'Soal Hati' iaitu imej watak lakonan Erra Fazira sebagai Nurul Ain dan Afdlin Shauki sebagai Ahmad Daniel yang digambarkan sudah tua, ia sekadar gimik penutupnya dengan jenaka ala komik.
Persoalan yang dibangkitkan menarik dan wajar diperdebatkan iaitu kisah anak gadis yang berazam melanjutkan pelajaran. Soalnya, apakah dia benar-benar mahu berjaya dalam pengajian kerana mahu mengubah kehidupannya sedangkan sudah ada lelaki kaya yang setia mengambilnya sebagai isteri?
Atau si gadis sekadar mahu menunjuk-nunjuk dan jual mahal? Si gadis yang tidak ada apa-apa keistimewaan kecuali rupa cantik terus menjadi rebutan, gambaran biasa dalam filem Melayu sejak zaman P Ramlee dan S Roomai Nor.
Dengan sikapnya yang tidak mudah mengalah, rupa-rupanya beliau sudah tersilap langkah pada zaman awal remajanya. Peristiwa hitam ditutup rapi akhirnya terpaksa disuarakan bagi mengelak pelbagai teka-teki yang membelenggu buah hatinya.
Inilah kelebihan dalam filem ini. Perkembangan watak Nurul Ain tidak mencabar tetapi banyak menyimpan rahsia dan terpaksa bertindak hipokrit. Akhirnya dia sendiri yang terperangkap dalam cinta tiga segi yang membawanya kepada tangisan dan mengadu kepada ibu saudaranya.
Kisah kekasih lama kembali untuk merebut hati seorang gadis adalah kisah klise dan biasa ditonton dalam drama kita. Namun, cerita kali ini digerakkan dengan mood menarik menerusi konflik kekasih baru dan kekasih lama sehinggakan si gadis akhirnya terkial-kial mencari keputusan. Malahan, dia pula terperangkap dengan sikap ego yang cuba diciptanya atas alasan mahu melanjutkan pengajian ke universiti.
Beberapa babak yang bersifat sindiran boleh dilihat ketika watak Piee yang menggelabah apabila disuruh menjadi imam solat Maghrib. Begitu juga anak muda kota yang panik apabila nenek kekasihnya mahu dia menjadi imam. Pelbagai helah dibuat. Si lelaki pula jika memilih jodoh tentunya hendakkan wanita suci tetapi dia sendiri sudah banyak bergelumang dosa. Seseorang itu juga boleh berubah secara drastik dengan gaya hidup ala Barat dan begitu moden bertukar kembali menjadi Melayu.
Moral filem ini ialah setiap manusia pasti melakukan kesilapan. Penebusan semula kesilapan itulah yang menjadi cerita filem ini. Tanpa bimbingan dan bantuan orang lain, seseorang itu sukar berjaya dalam kehidupannya.
Dalam pada itu, babak awal juga menyentuh sikap masyarakat Melayu di kampung, apabila orang luar datang ke rumahnya, biasanya si gadis akan tersipu-sipu malu dan sedikit gatal. Si nenek tentu berleter dan menyuruh masuk ke dapur membuat minuman. Ini budaya klasik Melayu yang terus segar dan dihidangkan semula untuk penonton bagi menyelami sahsiah peribadi bangsanya.
'Soalnya Siapa?' bergerak pantas dengan dramatik yang lembut. Dalam keasyikan perjalanan ceritanya ia diselitkan dengan imej komedi komikal pada babak pergaduhan antara Afdlin dan Rashid yang pada awalnya disangka bergusti, rupa-rupanya mereka bermain congkak.
Dari segi lakonan, sudah tentu persembahan Afdlin cukup memikat. Begitu juga Ellie yang menampilkan lakonan jauh berbeza dengan imejnya dalam drama atau filem lain sebelum ini. Afdlin mampu membina komedi tersendiri, matang berserta dialog spontan yang bersahaja.
Ini kelebihannya yang tiada pada pelakon lelaki lain. Afdlin mempunyai imej karakter komedi-serius yang bertaraf gred A. Pada babak sedih dan kecewa, Afdlin bijak merubah air mukanya yang mampu mengundang rasa simpati khalayak. Afdlin juga bijak bermain intonasi dan gerak bola mata yang cerdik serta gesture yang terkawal.
Bagaimanapun, persembahan Erra tidak banyak bezanya dengan filem terdahulu.