1. Terlebih dulu saya ingin mengucapkan selamat pulang kepada Erra selepas mengerjakan umrah tempoh hari. Semoga Erra memperoleh keberkatan dan ketenangan selepas ini. Namun, saya difahamkan pemergian Erra ke Tanah Suci turut ditemani teman istimewa anda, Yusry KRU. Adakah kerana itu Erra terlalu berahsia kepada pihak media mengenai tarikh sebenar pemergian anda ke Makkah? Bagi saya, buat apa nak sorok-sorok, anda berdua pergi ke tempat yang suci dan mengerjakan amalan mulia. Sila komen wahai Erra.
Alhamdulillah, saya dan rakan jemaah yang lain sudah selamat pulang. Terima kasih di atas perhatian anda. Di sini saya ingin menjelaskan pemergian saya ke Tanah Suci adalah atas dasar peribadi antara saya dengan Tuhan. Ia tidak ada kaitan dengan meraih publisiti. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Ada pihak suka mendengar cerita-cerita begini, ada pihak menganggap ia sebagai menunjuk. Melalui pengalaman sendiri, kenyataan saya pernah dipandang serong oleh segolongan pihak di atas alasan, perkara yang baik, tidak perlu dicanang. Jadi, saya mengambil iktibar yang lalu. Itu saja. Berkaitan dengan Yusry, saya tidak ada hak bersuara bagi pihak dirinya. Tanyalah tuan empunya badan...
2. Sepanjang saya mengenali Erra sebagai artis popular mahupun kawan baik, anda ini adalah seorang yang begitu berahsia terutamanya soal peribadi. Saya sedar, peribadi tetap peribadi, tapi kadangkala kita perlu bertolak ansur. Sebagai seorang artis pujaan ramai, kisah cinta, tunang dan kahwin Erra memang dinantikan oleh wartawan dan peminat. Sekiranya Erra masih bermain tarik tali, secara tidak langsung anda seolah-olah tidak menghormati tugas wartawan dan peminat yang selama ini memberi sokongan. Adakah anda bersetuju dengan kata-kata saya itu? Kalau setuju, kenapa dan kalau membangkang 100 peratus, apa sebabnya?
Saya menghormati tugas wartawan lebih-lebih lagi mereka yang juga tahu menghormati batas-batas penulisan mereka. Bertolak ansur itu adalah perkara yang sebaik-baiknya. Buat kesekian kalinya, saya minta kerjasama daripada pihak anda untuk memahami masalah saya. Cara bagaimana harus saya mulakan bicara sekiranya, empunya diri masih belum ada satu tarikh yang pasti? Adakah anda mahu saya menjadi seekor ayam yang riuhnya sekampung? Siapa yang akan menanggung malunya kelak? Di mana keluarga saya hendak sorok muka sekiranya mulut saya tidak henti berbicara mengenai kisah peribadi, sedangkan mereka sendiri tidak tahu menahu? Saya faham, saya seorang artis. Tetapi, bukankah artis juga manusia biasa yang punya perasaan? Saya tidak bermain tarik tali di sini, jauh sekali menyusahkan pihak media atau peminat. Percayalah, saya juga impikan perkahwinan saya kelak, dapat diraikan bersama wartawan juga peminat. Tapi, tunggulah berita daripada mulut empunya badan sendiri...
3. Akhirnya peminat terus memperkatakan tarikh pertunangan Erra dengan Yusry tahun depan. Namun, apabila tiba pada hari yang dinantikan, yang 'ado'! Sebenarnya saya dah bosan dengan pelbagai tarikh keramat itu. Hari ini saya nak Erra berterus-terang. Betul ke anda berdua ni dah mempunyai rancangan nak bertunang? Harus diingat saya tanya rancangan bertunang dan bukannya bila nak bertunang.
Kalau anda selaku penulis berasa bosan apabila tarikh menjadi permainan akhbar atau majalah, siapakah rasanya harus kita persalahkan? Pernahkah saya beritahu tarikh itu? Rasanya tarikh itu datang daripada sumber-sumber yang anda (media) dapat sendiri. Beginilah, saya juga dah bosan dan dah tebal muka berbicara mengenai perkara ini. Punyalah banyak cerita filem dan album yang boleh kita bicarakan, kenapa tajuk yang belum ada jawapan ini juga dipersoalkan? Namun, sama-samalah kita berdoa untuk jawapannya kelak. Justeru, saya sendiri sentiasa berdoa untuk jawapan yang pasti...
4. Memang saya dah agak Erra akan memberikan jawapan suam-suam kuku macam tu. Baiklah... Sekarang ni apa komen Erra sekiranya saya katakan perhubungan anda dan Yusry selama ini tak serius dan hanya berpura-pura di depan peminat. Seperkara lagi, Erra sebenarnya mempunyai pilihan lain, selain belum bersedia menempuh gerbang perkahwinan. Maaflah Erra, Yusry sekiranya kenyataan di atas menyinggung perasaan anda berdua. Maklumlah kenyataan perangkap.
Diam adalah perkara yang paling selamat buat masa ini. Anda boleh berusaha mengapi-apikan saya dengan kenyataan yang panas-panas, tetapi saya masih teguh dengan pendirian saya. Siapa yang saya sayang dan ingin berkongsi hidup, biarlah ia menjadi rahsia peribadi saya buat masa ini. Jika diizinkan Tuhan, semoga doa saya dimakbulkan. Segala-galanya akan anda ketahui suatu hari nanti. Insya-Allah.
5. Tahniah kerana Erra sekarang ni begitu laris di layar perak. Ramai penerbit filem mengejar anda. Tapi, saya tertarik dengan filem Gila-Gila Pengantin lakonan Erra bersama hero kacak, Norman Hakim. Difahamkan, Erra pernah berkawan baik dengan Norman suatu ketika dulu. Namun, disebabkan sikap profesional, Erra dapat menyiapkan filem berkenaan dengan jayanya. Syabas! Kini, terdengar desas-desus ada pihak yang ingin melamar Erra dan Awie untuk membintangi sebuah filem yang bakal box office. Adakah Erra akan meneruskan sikap profesional itu atau sebaliknya? Sebelum itu, saya ingin mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin kepada Erra.
Ketepikan urusan peribadi jika kita ingin berjaya dalam sesuatu yang diusahakan. Siapa yang sudi bekerjasama dengan saya, saya juga tidak keberatan melakukannya, melainkan jika usaha itu tidak memberi kebaikan kepada semua pihak, saya tidak meneruskannya. Selamat hari raya juga buat anda. Maaf zahir dan batin jika ada salah silap dan terkasar bahasa ya... Jemputlah datang beraya ke teratak usang nenek saya di kampung.