'Soalnya Siapa?' dapat layanan low class
SEBAIK saja selesai pratonton 'Gila-Gila Pengantin', 16 Januari lalu, Zubir
berlegar-legarlah di kaunter tiket di panggung yang tersergam indah tu. Nak
tinjau-tinjau juga cerita apa yang best. Namun, selepas meneliti barisan
filem yang dipamerkan, Zubir bangga kerana dua filem Melayu, 'Soalnya Siapa?'
dan 'Mami Jarum' masih ditayangkan. Syabas!
Kusangka panas hingga ke petang, rupanya ribut petir pada tengah hari. Kegembiraan Zubir terbantut apabila menyedari tiada satu pun poster filem 'Soalnya Siapa?' terpampang di ruang pamerannya, walhal filem berkenaan masih mempunyai empat sesi tayangan pada hari itu!
Jangan kata poster gergasi, poster saiz biasa pun tak nampak! Mungkin 'Mami Jarum' lebih bernasib baik. Sekali pun tinggal dua, tiga sesi tayangan, VCD (cakera padat video) original pun dah keluar, poster gergasinya masih gah di dinding tinggi. Begitu juga dengan filem asing.
Nak buat macam mana dik, panggung dia orang punya. Dia orang tauke, siapalah kita ni..., kata penerbit dan penulis skrip 'Soalnya Siapa?', Habsah Hassan dalam nada kesal.
Zubir difahamkan pemilik panggung satu sen pun tak keluar duit untuk kos promosi, tapi apabila sesebuah filem itu untung lebih RM3 juta, keuntungannya dibahagi sama rata. Menurut sumber yang rapat dengan pemilik panggung, ada kalanya panggung dapat untung 55 peratus, manakala penerbit 45 peratus saja. Ini tidak adil! No jalan and no road!
Jadi, kepada pelakon jangan salah faham. Sekalipun filem lakonan mereka untung juta-juta, duitnya bukan bulat-bulat dapat kat produser, jelas sumber berkenaan.
Zubir harap ketidakadilan pemilik panggung perlu dipandang serius oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Sekalipun ada syarat wajib tayang, apa yang berlaku ke atas Kak Chah (Habsah Hassan) dan filemnya itu amat menyedihkan.
Sekiranya ada campur tangan Finas, Zubir harap pemilik panggung taklah bertindak sesuka hati. Suka poster tu, gantung, tak suka, campak dalam tong! Tapi, apabila sesebuah filem tu laku seperti 'Soalnya Siapa?', pandai pulak buat peraturan, untung nak kongsi sama-sama.
Kepada Kak Chah dan pelakon lain seperti Erra Fazira, Afdlin Shauki dan Ellie Suriati yang menampilkan lakonan cemerlang dalam 'Soalnya Siapa?', sabar ajelah. Birokrasi ada di mana-mana. Kepada Datuk Yusof Haslam pula, Zubir ucapkan selamat mengerjakan ibadat haji pada 22 Januari lalu.