1. ALHAMDULILLAH, perselisihan faham antara Erra, Skop Productions Sdn Bhd, Kuasatek Pictures Sdn Bhd dan Metrowealth Movies Production sudah pun selesai. Akhirnya Erra mengambil keputusan membintangi 'Mr Cinderella 2' mulai Januari ini, seterusnya 'Cinta Kolestrol', Mac depan. Pada masa sama, filem lakonan Erra, 'Soalnya Siapa?' masih ditayangkan dan yang terbaru, 'Gila-Gila Pengantin' akan menemui penonton 30 Januari ini. Berkemungkinan pada Julai atau Ogos depan, filem 'Janji Diana' akan menemui penonton. Nampaknya sejak akhir tahun lalu dan sepanjang tahun ini, filem yang dibintangi Erra tak henti-henti menemui penonton. Baguslah, orang kata rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Tapi, kalau dah banyak sangat, Erra tak risau ke peminat naik boring sebab masuk saja ke panggung, muka Erra aje yang keluar?
Saya sendiri agak terkilan dengan masa tayangan yang dekat ini. Saya juga peka dengan kemarahan dan ketidakpuasan hati sesetengah pihak di atas kekerapan saya berlakon filem. Banyak juga filem yang saya tolak, tetapi itu dipandang sebagai tidak berani menyahut cabaran, demanding, menyusahkan, lupa diri dan sebagainya. Apabila saya terima... tak ada muka lain ke? Apa yang saya nak cakap ni bukannya mencari salah orang, tetapi sekadar memberi perbandingan. Ramai juga muka yang sama berlakon filem, drama, teater, pengacara, sekali gus menyanyi, tetapi mereka tak menjadi isu. Saya ni jugak yang dijadikan lubuk untuk mencari salah. Tak apalah, saya redha... Kita sendiri tahu, manusia memang tidak boleh melihat kejayaan orang lain. Di atas kemahuan semasa, mungkin saya akan bercuti seketika daripada berlakon selepas menunaikan amanah untuk filem 'Mr Cinderella 2' dan 'Cinta Kolestrol' ini.
2. Saya juga berpeluang menonton 'Gila-Gila Pengantin', baru-baru ini. Namun, saya perhatikan lakonan Erra tidaklah sehebat 'Soalnya Siapa?'. Mungkin orang lain suka, tapi bagi saya kurang sikitlah... Saya berkata begitu kerana ia sekadar pandangan peribadi. Apa yang dapat saya katakan, lakonan Erra sebagai Aleya dalam 'Gila-Gila Pengantin' kurang menonjol dan tak sampai kepada tahap kepuasan tontonan saya. Justeru, apa komen Erra?
Karektor Aleya tidak memerlukan saya memperjuangkan emosi yang keterlaluan. Ia satu watak yang simple dan ringan. Konsepnya pun komedi ringan yang terang tanpa ada yang tersurat dan tersirat. Bagaimanapun, setiap orang ada penilaian tersendiri. Saya budak baru nak belajar, kalau salah tolong tunjukkan.
3. Erra agak allergic apabila ditanya mengenai tarikh pertunangan dan pernikahan bersama si jantung hati, Yusry KRU. Namun, seorang sumber yang sangat rapat dengan Erra, memberitahu bagaimanapun anda berdua tetap bertunang dan bernikah tahun ini juga. Sejauh mana kebenaran dakwaan berkenaan?
Cuba bawa bertenang... Bukankah saya pernah beritahu, saya sendiri akan mengumumkan perkara itu jika ia benar-benar berlaku! Tidak cukup lagikah dengan janji saya itu?
4. Erra ada kalanya mengecewakan saya kerana sejak akhir-akhir ini, anda gagal memenuhi undangan fotografi kami. Tapi, bersama media lain, terutama majalah hiburan popular, Erra sering muncul sebagai cover. Boleh saya tahu apakah alasan Erra yang sebenarnya?
Bergambar banyak dikata, asyik muka dia ni saja, tak bergambar dikata, tak beri kerjasama. Terus terang saya katakan, saya sekarang dalam keadaan serba salah. Ibarat, dibuang mati mak, ditelan mati bapa. Ingatlah, ada kalanya dalam masa yang amat terhad, anda meminta kerjasama untuk menjayakan fotografi, jika termampu ada yang saya tunaikan. Dalam masa sama, saya memang tengah sibuk dengan penggambaran. Bukankah sebelum ini saya pernah nyatakan kepada anda, sekiranya tidak keberatan, datanglah ke lokasi, mungkin kita boleh bergambar di sana. Tolonglah faham dilema saya pulak Zubir oii...
5. Pun begitu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Erra dan pengurusan Erra Fazira Entertainment (EFE) kerana sudi menghadirkan diri ke majlis formal anjuran Berita Harian terutama Anugerah Bintang Popular-Berita Harian 2002 (ABP-BH2002), tahun lalu. Namun, Erra tidak berupaya memenuhi undangan kami ke majlis pelancaran wajah baru Berita Harian, 6 Januari lalu. Kehadiran Erra pada hari itu akan membuktikan sokongan Erra kepada Berita Harian yang selama ini sentiasa berada di belakang anda ketika susah dan senang. Sebelum itu, saya sudah beberapa kali mengingatkan pengurusan EFE mengenai perkara berkenaan, malahan kad undangan rasmi pun sudah dihantar by hand kepada anda ketika Parti Cit Cat 2002 yang lalu. Apabila tiba hari dan waktu dijanjikan, yang ado! Apakah alasan Erra kali ini kerana Camelia yang ada rakaman TV bersama anda pada hari sama, sempat menunjukkan mukanya?
Jangan bawa mulut atau melempar tuduhan. Tak baik tau! Bukankah dari awal sudah berkali-kali saya katakan, saya tak dapat memenuhi undangan Berita Harian pada hari itu. Selain program TV, saya juga berlari untuk menyiapkan kerja lain. Saya sangka anda faham, tetapi ternyata anda tidak berupaya menyelami masalah saya. Jika saya mampu, apalah salahnya saya menghadirkan diri ke majlis glamor tu tanda sokongan saya kepada Berita Harian, dapat rileks, makan, jumpa kawan-kawan dan sebagainya? Tetapi, saya tak mampu dek kerana ada tugasan lain yang perlu saya selesaikan! Walau bagaimanapun, ketidakhadiran saya kali ini bukanlah tanda saya tidak berterima kasih atau menghargai sokongan yang diberi selama ini. Untuk kesekian kalinya, saya nyatakan di sini, terima kasih kepada semua pihak media khususnya Berita Harian yang banyak menyokong kegiatan seni saya. Saya amat menghargainya dan hanya Allah saja yang dapat membalas budi baik kalian...