MULAI akhir bulan ini sebuah filem Melayu berjudul 'Gila-Gila Penganti'n arahan sutradara Aziz M Osman akan menemui penonton.
Selama ini pengarah muda ini agak rileks apabila menyiapkan sesebuah filem. Dia telah melakukan yang terbaik dan berharap baik pula responnya daripada penonton. Untung rugi filem itu bukanlah menjadi risikonya kerana peranan yang dimainkannya hanyalah sebagai pengarah.
Berbeza sekali keadaannya dengan filem 'Gila-Gila Pengantin' (GGP) yang telah dipertontonkan kepada wartawan baru-baru ini. Aziz tampak gelisah dan ada waktunya seperti cemas pula. Keadaan itu samalah seperti yang saya alami apabila setiap filem saya memasuki pasaran.
Aziz memang berada dalam situasi yang berlainan daripada selalu dihadapinya kerana GGP bukan sekadar filem arahannya tetapi modal daripada koceknya terbabit dalam pembikinan filem itu. Keberanian Aziz dalam melahirkan filem ini patut dipuji. Saya yakin Aziz telah mengambil langkah yang positif dalam melebarkan kerjayanya bagi mencari tapak dalam dunia perniagaan filem.
Filem GGP dikeluarkan secara usaha sama atau joint venture antara syarikat Ace Motion Pictures yang dimiliki Aziz dengan Skop Productions milik saya. Perkongsian antara Aziz dengan saya itu hanyalah dari segi modal sedangkan dari sudut produksi atau kreativiti adalah tanggungjawab Aziz sepenuhnya.
Seperti yang pernah saya tulis di ruangan ini pada 22 Disember, Aziz mempunyai sepenuh kebebasan untuk mengetengahkan ideanya dan sekali gus mengimplementasikannya. Saya tidak pernah campur tangan dalam urusan pembikinan dan skrip GGP kerana menghormati kedudukan Aziz sebagai pengarah yang berpengalaman.
Saya mempunyai keyakinan kuat terhadapnya. Selain itu, saya juga harus menghormati ideanya kerana setiap pengarah mempunyai cara dan pendekatan berbeza dalam kerja yang mereka lakukan.
Sebenarnya, perkongsian modal untuk membuat filem GGP (kos RM1.2 juta) itu lahir daripada rasa hormat saya yang tinggi terhadap kebolehan kerja mengarah Aziz. Selain daripada itu, adalah memenuhi hasrat saya untuk melihat rakan seperjuangan saya itu maju setapak lagi. Daripada seorang pengarah yang berjaya kepada seorang produser yang berjaya.
Saya yakin dengan usaha keras Aziz kejayaan akan menjadi miliknya asalkan beliau serius dan bijak menyelami kehendak masyarakat penonton.
Adakah saya akan meneruskan usaha sama dengan Aziz? Inilah soalan yang diajukan wartawan kepada saya. Pada saya yang penting biarlah GGP selesai ditayangkan kepada orang ramai. Respon daripada orang ramai adalah penentu kepada segala-galanya yang berkaitan dengan usaha sama pada masa depan. Konsentrasi saya dan juga Aziz pada masa ini ialah mengatur strategi pemasaran yang sebaik-baiknya.
Insya-Allah, jika diizinkan saya akan teruskan usaha sama dengan Aziz atau produser Bumiputera lain yang benar-benar serius.
GGP akan ditayangkan kepada orang ramai bermula 30 Januari ini. Permulaan tayangan itu dalam suasana cuti Tahun Baru Cina. Dari segi pemasaran, musim percutian amatlah berpotensi untuk mendapatkan sambutan baik. Tetapi filem adalah filem yang akan bercakap sendiri di atas kekuatannya apabila ditayangkan kelak. Penentuan terakhir adalah kepada penonton kerana merekalah yang menjadi kuasa beli di pasaran.
Pada saya GGP adalah satu hasil kerja yang dibuat dengan berhati-hati dan teliti. Dari segi makingnya, saya berpuas hati tetapi saya tidak berani bercakap mengenai prospek pasarannya. Itu urusan penonton yang mempunyai cita rasa dan naluri yang tersendiri. Yang jelas, tiada ada siapa boleh membacanya dengan tepat. Bagaimana pun, saya percaya GGP tidak akan menghampakan penonton kerana filem ini mempunyai keistimewaan tersendiri.
Sesuatu yang boleh saya katakan secara positif, GGP menampilkan idea baru berlandaskan iklim semasa. Sekarang ini negara kita melalui zaman teknologi ICT. Perhubungan termasuk hubungan cinta tidak lagi dengan surat atau telefon. Kecanggihan ICT menjadi penghubung yang mendekatkan dua jiwa yang bercinta.
Tetapi kecanggihan ICT bukanlah jaminan sesuatu hubungan itu menjadi sempurna. Ia boleh menimbulkan kekeliruan dan boleh juga menjadi bercelaru. Kekeliruan dan kecelaruan itulah yang menjadi bahan atau resipi dalam filem GGP.
Erra Fazira menawarkan ciri lakonan berbeza dalam filem terbaru arahan Aziz.
Lakonannya menjadi dukungan yang kuat pula daripada lakonan Norman Hakim, Juliana
Banos, Hairie Othman, M Rajoli, Salleh Yaakob dan beberapa pelakon lain. Selamat
menonton!