Erra, Yusry berdebar
Oleh ELLYNA ALI

Beberapa pengunjung nampaknya hanya tersenyum saja apabila melihat kemesraan Yusry KRU dan Erra Fazira di Taman Rekreasi Lembah Kiara.

Gelagat merpati dua sejoli itu seakan difahami bahawa mereka berdua sedang berada dalam dunia cinta mereka sendiri.

Air tasik yang tenang menjadi saksi kisah cinta, sumpah dan janji setia mereka berdua. Pepohonan rendang serta bunga-bungaan yang berwarna-warni menyemarakkan lagi rasa cinta di jiwa mereka.

Macam cerita Hindustan pula aksi mereka berduakan? Alamatnya terpaksalah Yusry jadi Yusry Khan dan Erra jadi Erra Kapoor.

Tukar baju pun berkali-kalilah gamaknya.

Oklah, sebenarnya kalau ada peminat yang terlihat Yusry dan Erra bermesra di tasik itu, janganlah sangka yang bukan-bukan sebab itu hanyalah lakonan mereka semata-mata demi menjayakan cover Bintang Popular minggu ini sempena kemunculan filem lakonan mereka, 'Mr Cinderella' di pawagam pada 29 Ogos ini.

Ikuti apa kata mereka mengenai filem terbitan Kuasatek Pictures dan arahan Ahmad Idham ini dan hubungan cinta mereka selanjutnya.

Bagaimana keadaan dan perasaan diri anda ketika menanti tayangan filem ini?

Erra: Setiap kali filem lakonan saya akan muncul di pawagam, pasti hati saya akan berdebar-debar. 'Mr Cinderella' juga tidak terkecuali. Rasa excited pun ada, sebab tak sabar nak lihat reaksi penonton terhadap filem ini.

Saya pasti semua orang kali ini mahu melihat keserasian di antara saya dan Yusry.

Yusry: Ya, saya juga berasakan perasaan yang sama. Takut pun ada. Tapi, setakat yang saya tahu, mereka yang sudah menyaksikan filem ini sewaktu pratontonnya diadakan. Alhamdulillah... mereka memberikan maklum balas yang cukup baik.

Malah mereka juga kata lakonan saya juga semakin baik dan menunjukkan peningkatan. Saya rasa, semua ini adalah satu permulaan yang baik untuk filem ini.

Setujukah anda kalau dikatakan bahawa hubungan cinta anda berdua adalah daya penarik kepada filem ini?

Erra: Kalau nak kata faktor itu saja, saya rasa ia tak cukup kuat untuk dijadikan tarikan. Yang penting, penonton benar-benar enjoy dan terhibur menontonnya dan kemudian menyebarkannya kepada orang lain.

Apapun, secara peribadi, saya berpendapat 'Mr Cinderella' adalah filem komedi ringan yang mampu menjadi tarikan sekeluarga.

Yusry: Saya juga berpendapat bukan kerana faktor itu... sebaliknya ia mungkin adalah tarikan setiap individu. Erra ada lingkungan peminatnya sendiri. Saya pun ada peminat saya sendiri.

Setakat ini, adakah anda berdua selesa berkerja dalam satu filem?

Erra: Ya. Yusry memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam filem ini. Dia juga nampak relaks sebelum shooting biarpun sudah lama tidak muncul di layar perak.

Tapi ketika, shooting hendak dimulakan, dia mula nampak tak relaks. Kalau nak tahu dia tak relaks, dia akan gigit kuku dia (ketawa).

Tapi, keseluruhannya kita banyak berbincang mengenai perkembangan watak masing-masing di luar set. Sekurang-kurangnya tidaklah kita masuk ke lokasi dengan kosong.

Seperkara lagi, sebaik saja habis shooting dan apabila sedar dia boleh melakukan sesuatu adegan itu dengan lebih baik lagi, dia akan cakap: "I know I could do better?

Yusry: Hei! Pasal gigit kuku tu, itu memang dah jadi habit saya. Bukan pasal tension. Ok, berbalik pada soalan tadi, saya rasa susah juga saya nak jawab soalan ini.

Sebab, susah saya nak bandingkan gandingan lakonan saya dengan Erra dalam 'Mr Cinderella' berbanding filem lain.

Sebab, baru kali inilah saya memegang watak utama. Filem yang terdahulu banyak menampilkan saya dan anggota KRU yang lain sebagai watak utama bersama. Tapi, setakat ini ini saya rasa cukup serasi dengan Erra.

Mungkinkah keserasian dalam filem ini dirasai kerana hubungan rapat anda berdua?

Erra: Saya tak percaya dengan adanya hubungan sebegini, kita sudah boleh menjayakan sesebuah filem. Cukuplah kalau kita kenal dan mesra dengan dia sebagai kawan. Kemudian, barulah kita boleh menghayati sesuatu watak itu dengan senang.

Yusry: Saya rasa mudah untuk melakukan sesuatu kerja di kalangan kawan-kawan yang kita kenali. Dalam 'Mr Cinderella' ini, saya berasa senang kerana pelakon gandingan saya iaitu Erra adalah kawan rapat saya. Idham juga adalah seorang kawan.

Jadi, apabila masuk set lokasi saja, kita tak rasa tension. Lagipun, Erra, Idham dan juga Mohd Noor Kadir sendiri banyak membantu saya dalam filem ini.

Tentu senang juga melakonkan adegan cinta dalam filem ini?

Erra: (ketawa ) Filem ini tidak ada luahan cinta. Sebaliknya adegan gaduh di antara kami lebih banyak dalam filem ini walaupun jauh di sudut hati, kami sebenarnya menyimpan perasaan cinta di antara satu sama lain.

Yusry: (ketawa juga) Percaya tak filem ini sebenarnya tidak ada pengucapan cinta ‘Aku Cinta Padamu’. Perasaan cuma dipendam-pendam.

Akhir sekali barulah ia diluahkan. Sebab itulah lahir lagu 'Ucapkanlah' dalam filem itu kerana ia cuba memberi mesej bahawa perasaan kadang-kala harus atau perlu diluahkan juga.

Tentu seronok dapat gaduh dalam filemkan?

Erra: Memang seronok... Sebab inilah masa kita ambil kesempatan kenakan antara satu sama lain. Contohnya, dalam filem ini dia kena panggil saya ‘beruk’, jadi dia ambillah peluang untuk panggil saya dengan nama itu.

Saya pulak kena tampar muka dia. Tapi, nasib baiklah kita ni jenis kesian kat dia. Jadi, kita tampar muka dia sikit sajalah. Tampar manja. Dia pulak yang beria-ia suruh tampar muka dia kuat-kuat.

Yusry: Bestlah... Sebab kita boleh lakonkan benda yang kita tak boleh nak buat.

Macam saya panggil dia beruk dalam filem itu. Lepas habis adegan itu, kita sama-sama ketawa. Masa di lokasi, saya masih usik dia juga dengan panggilan nama beruk tu. Dia merajuk. Tapi, dia balas balik, panggil saya bapak beruk (ketawa).

Secara peribadi, adakah anda berdua senang untuk membawakan filem romantik komedi seperti ini?

Erra: Ya... Secara peribadi saya memang menggemari filem seumpama ini. Sebab, lebih relaks dan tenang untuk menjiwai wataknya.

Secara kebetulan, saya pula adalah peminat Meg Ryan dan Julia Roberts. Filem jenis mereka adalah filem yang light dan filem ini lebih senang didekati penonton. Tapi sudah tentu saya tidak akan selamanya melakonkan watak sebegini. Filem saya seterusnya bersama Datuk Yusof Haslam adalah filem lasak.

Yusry: Sebenarnya, sama ada berlakon atau menonton, saya suka filem yang seperti ini sebab ia menghiburkan. Saya kurang minat filem berbentuk Thiller atau Action.

Kalau anda berdua ditawarkan untuk berlakon dalam filem yang benar-benar romantik, adakah anda berdua sanggup menjayakannya?

Erra: Tengok pada skrip. Kalau setakat nak eksploitasikan kami berdua, tak payah. Biar ceritanya menarik dan ada kelainan.

Yusry: Tengok pada kejayaan filem ini dulu. Namun, setakat ini kita tidak ada rancang nak berlakon sama-sama. Kalau ada tawaran mungkin boleh dipertimbangkan. Kena tengok cerita dan skripnya. Kalau cerita menarik apa salah.

Mengikut latar belakang kisah cinta anda berdua, pasangan cinta anda berdua terdahulu adalah dalam lingkungan artis. Sekarang pun sama juga. Mengapa agaknya?

Erra: Benda ni... tak tahulah. Tapi, mungkin juga sebab saya ini tidak mempunyai percampuran dengan orang di luar.

Semua kawan-kawan adalah rakan artis. Atau kawan sekolah lama. I don’t get to know new people. So pi mai mai tang tu.

Yusry: Dari dulu lagi, saya memang tidak minat bercampur dengan orang. Saya hanya bercampur rakan kerja saja.

Kebetulan saya pernah kerja dengan Erra. Jadi, mungkin itulah sebabnya hubungan kami dalam lingkungan sesama artis juga.

Apa pun, saya rasa hubungan cinta harus bermula sebagai kawan. Ia lebih mudah memberi peluang kepada kita untuk mengenal diri seseorang.

Apa pro mendapat pasangan sesama artis dan apa pula kontranya?

Erra: Pronya mungkin mudah dari segi kerja sebab pasangan kita itu mungkin akan lebih understanding. Sebab tak semua orang boleh terima kesibukan seseorang artis. Cara kerja kita pun bukan office hour. Sanggup ke tak jumpa sebulan?

Kontranya ialah hubungan sesama artis itu jadi tiada rahsia lagi. Mana-mana pergi dan apa-apa berlaku dah jadi bahan perbualan walaupun ia sepatutnya jadi peribadi.

Kalau anda bahagia, orang tahu dan kalau anda gaduh dengan pasangan anda pun orang tahu.

Yusry: Bagi saya advantage bercinta sesama artis ialah masing-masing faham line ini. Jadi secara tidak langsung dia tahu kesibukan kita.

Tapi, yang tak menariknya, kita jarang jumpa dan jarang dapat menghabiskan masa bersama-sama.

Apa yang anda gemari di antara diri pasangan anda?

Erra: Secara peribadi, Yusri adalah seorang lelaki yang baik, fleksibel dan dapat terima diri saya seadanya.

Yang bestnya saya kenal dia sebagai kawan. Jadi, kita tahulah sikit sebanyak dia macam mana.

Sebenarnya pada awalnya dia tak boleh terima gurauan yang lebih-lebih sebab dia seorang yang sensitif. Tapi sekarang dia dah boleh terima semua itu.

Yusry: Saya senang berkawan dengan Erra. Dia friendly. Senang kata juga, walaupun dia seorang yang independent, dia tetap manja dan perlukan seseorang.

Bagaimana pula perasaan anda apabila ramai peminat seolah-olah merestui hubungan cinta anda berdua?

Erra: Biasalah peminat... Ada sesetengahnya merestui. Ada pula yang sebaliknya. Apapun pendapat mereka itu, saya hargai banyak-banyak. Namun, biarlah kita menyerahkan segala-gala ini kepada Tuhan.

Yusry: Kepada siapa yang suka hubungan kami ini, Alhamdullilah. Senanglah berkawan kalau tiada halangan sesiapa.