03.03.03 tarikh tunang Erra, Yusry

BERITA pertunangan pasangan romantik yang begitu hebat di alam percintaan, Erra Fazira dan Yusry sentiasa menjadi topik hangat baik di kalangan wartawan hiburan atau pun peminat setia kedua-dua artis idola ramai ini. Jadi macam-macam andaian yang dibuat dan hingga kini ia masih menjadi tanda tanya yang belum tentu kepastiannya.

Pun begitu, Erra Fazira dan Yusry tetap menafikan segala desas desus mengenai tarikh pertunangan mereka. Namun sumber terdekat dengan keluarga Erra sudah mengesahkan perkara ini. Nisa dimaklumkan majlis itu akan berjalan seperti dirancangkan keluarga kedua-dua belah pihak biarpun pasangan itu kini berada di New Zealand bagi pembikinan filem 'Mr Cinderella 2'.

Majlis berkenaan dijangka diadakan selepas waktu Zuhur di rumah ibu Erra di Sungai Buloh, Selangor. Nisa difahamkan Erra dimestikan pulang ke tanah air sebelum 1 Mac ini untuk membuat persiapan akhir. Buat masa ni, segala persediaan dan barangan hantaran digubah sendiri oleh ibunya, Azizah Zahid serta makciknya yang bekerja dengan Erra Fazira Entertainment.

Ha... betul atau tak kita tunggu saja tarikh 3 Mac ini. Dari sumber yang sama juga, dengarnya hantaran lima dulang akan dibalas tujuh dulang. Kalau benar seperti yang dikhabarkan, kami di Bintang Popular ingin menjadi orang pertama yang mengucapkan tahniah.