'Soalnya Siapa?' Calon filem terbaik 2003?

SELEPAS 'Mami Jarum' meletup di pawagam, kini buah tangan terbaru Serangkai Filem Sdn Bhd, 'Soalnya Siapa?', Zubir jangka boom satu Malaya! Pasti ramai yang bakal sakit tengkuk apabila panggung setiap hari full house dan terpaksa dongak di barisan paling depan.

Ketika Zubir menghadiri pratonton 'Soalnya Siapa?' di Tanjung Golden Village (TGV), 1 Utama, baru-baru ini, dari mula hingga akhir, asyik gelak saja. Kekadang tu Zubir terkedu juga apabila sindiran tajamnya kena tepat ke batang hidung hingga tak sempat ditepis ke telinga. Sabar ajelah...

Babak Afdlin, Zaibo dan Piee yang tak tahu sembahyang jemaah sehingga sanggup ke masjid ‘melarikan diri’, adalah sindiran sinis penuh berapi nukilan penerbitnya, Kak Chah (Habsah Hassan), selain digarap penuh bisa oleh pengarah Othman Hafsham.

Tidak salah sekiranya melabel 'Soalnya Siapa?' lebih baik, lebih bermesej dan lebih kelakar dari 'Soal Hati'. Lakonan Erra Fazira juga cemerlang. Kita dah tahu, Erra mudah menghayati wataknya. Justeru, Zubir dapat merasai betapa hancurnya hati Nurul Ain (lakonan Erra) apabila mengetahui Daniel (lakonan Afdlin) benar-benar mencintai dirinya, sedangkan dia sendiri sudah hilang harga diri.

Apa? Nurul Ain dah tak suci? Siapa punya kerja? Hati Zubir bagaikan disentap apabila Nurul Ain mengambil keputusan meninggalkan Daniel dan mengahwini orang yang merosakkan maruahnya. Dalam gelak-gelak tu, kekadang tu emosilah juga apabila melihat Erra menangis.

Tapi, Zubir control maklumlah duduk sebelah Erra! Tapi, apabila tiba babak Piee yang buat lawak maksimum, Zubir dah tak boleh control. Belasah sehingga Erra komen suara Zubirlah paling kuat. Nak buat macam mana Erra, aku kan besar, suara pun besarlah!

Tak lupa juga pujian bagi Afdlin yang berjaya membawakan watak serius kerana sebelum ini kita sukar nak tengok muka Afdlin benar-benar macho! Tapi, apabila Daniel dah kecewa dengan sikap Ain yang menolak cinta sucinya, jelingan Daniel pada Ain, memang jiwang.

Bagaimanapun tahniah kepada semua pelakon seperti Wan Maimunah, Khatijah Tan, Rashid Salleh dan Linda Onn yang sama-sama menjadikan 'Soalnya Siapa?' antara filem terbaik sepanjang 2002 ini. Zubir dari lima bintang, Zubir kasi tiga setengah bintang!