Keistimewaan Mr Cinderella
Oleh: Dato' Yusof Haslam

Mulai 29 Ogos ini peminat filem tempatan akan dapat menyaksikan sebuah lagi filem baru berjudul 'Mr Cinderella'. Filem ini dikeluarkan oleh Kuasatek Pictures sebuah syarikat yang sudah begitu terkenal namanya oleh peminat televisyen tanah air kita. Filem ini juga dibuat dengan usaha sama syarikat saya (Skop Productions).

Saya rasa filem 'Mr Cinderella' mempunyai beberapa tarikan untuk memancing perhatian orang ramai yang meminati filem Melayu. Pertama, skrip filem itu dihasilkan oleh Mohamad Noor Kadir yang baru pertama kali menulis skrip filem cereka. Kedua, filem itu adalah hasil arahan sulung pengarah muda berbakat, Ahmad Idham.

Di bidang filem cereka nama kedua-duanya belum terkenal lagi kerana mereka belum pernah membuktikan keupayaan. Buktinya hanya akan dapat disaksikan apabila filem 'Mr Cinderella' ditayangkan kepada orang ramai.

Tetapi di bidang drama TV atau lebih spesifik lagi drama yang ditayangkan oleh TV3, nama Mohamad Noor Kadir rasanya sudah cukup terkenal. Namanya menjadi tersohor kerana beliau banyak melahirkan drama TV bermutu dengan kekuatan skrip yang mantap.

Saya mendapat tahu peminat drama TV sentiasa menunggu drama baru terbitan Kuasatek Pictures apabila Mohamad Noor Kadir yang menjadi penulis skrip dan juga penulis lakon TV. Penulis dan juga wartawan selalu memberi `kredit' terhadap skrip yang dihasilkan oleh beliau. Malah banyak drama hasil tulisannya pernah menjulang anugerah di TV3.

Saya sendiri sebenarnya sudah lama meminta Mohamad Noor Kadir berpindah kepada medium filem memandangkan dia mempunyai keupayaan yang tinggi dalam penulisan skrip. Tetapi dia mengambil masa yang lama untuk memenuhi permintaan saya itu. Alasannya kerana ingin membina keyakinan dalam dirinya sendiri sebelum mendapatkan keyakinan daripada peminat filem Melayu.

Sayalah di antara orang yang terawal diberitahu oleh Mohamad Noor Kadir apabila beliau membuat keputusan untuk menulis skrip filem dan kemudian menjadi produsernya. Dia bukan saja memberitahu saya bahkan menawarkan sebahagian saham kepada saya untuk projek filem sulungnya itu. Saya menerima tawarannya dengan hati terbuka dan tanpa ragu-ragu mengenai penghasilannya kerana percaya dengan jenama Kuasatek. Hasilnya lahirlah satu gabungan usaha sama antara dua syarikat (Kuasatek Pictures dan Skop Productions) di samping saya menjadi penasihat penerbitan 'Mr Cinderella'.

Orang selalu membicarakan mengenai kekurangan penulis skrip berkaliber dan berkeupayaan tinggi dalam industri perfileman dan drama TV kita. Saya rasa Mohamad Noor Kadir adalah jawapan kepada persoalan kekurangan penulis skrip berkebolehan besar di negara kita sekarang.

Mohamad Noor Kadir pada saya mempunyai keunikannya yang tersendiri di samping mempunyai kelasnya yang tersendiri. Dia adalah seorang jurutera di bidang elektrik. Tanpa bersandar kepada asas penulisan skrip ataupun pengalaman dia mencuba menulis skrip untuk drama terbitannya. Dia mengambil masa yang pendek saja membina kekuatan dalam bidang penulisan kreatif itu (skrip). Dan dalam masa yang singkat pula dia muncul sebagai penulis skrip yang sentiasa mendapat penghargaan daripada pengkritik.

Bagaimana pula dengan kemampuannya menghasilkan skrip filem? Bagaimana pula dengan kemampuan pengarahnya Ahmad Idham? Saya rasa itulah yang sedang ditunggu-tunggu oleh orang ramai sekarang ini.

Ahmad Idham yang pertama kali bekerja di belakang kamera filem sebagai pengarah rasanya sedang diperhatikan juga oleh orang ramai. Beliau sudah membuktikan kebolehannya mengarah beberapa buah drama TV (khususnya terbitan Kuasatek Pictures) di samping mempunyai pengalaman di bidang lakonan drama TV dan juga filem. Kini, orang ramai mahu melihat pula bagaimana hasil arahan filem cerekanya di pawagam.

Apa yang dapat saya katakan setakat ini Ahmad Idham telah bekerja keras dan memberikan sepenuh komitmen. Saya beberapa kali berkunjung ke lokasi semasa penggambaran dijalankan. Saya juga pernah melihat dia menjalankan kerja pos produksi bersama penerbitnya Mohamad Noor Kadir.

Adalah diharapkan semoga filem 'Mr Cinderella' boleh memberikan kepuasan kepada penonton. Filem ini juga sebenarnya sebagai ujian kepada Mohamad Noor Kadir dan Ahmad Idham untuk mencari tapak dalam dunia perfileman.

Filem 'Mr Cinderella' yang dilakonkan oleh Erra Fazira, Yusry (KRU), M Rajoli, Kathy Ibrahim, Serina Chef Wan dan lain-lain lagi itu tidak salah rasanya kalau saya katakan mempunyai star value yang kuat untuk menjadi tarikan dalam pasaran. Tetapi ia bukanlah faktor mutlak atau jaminan dalam meraih perhatian penonton. Filem adalah filem yang akan bercakap bagi dirinya sendiri apabila ditayangkan kepada orang ramai.

Bagaimanapun saya yakin dengan ramuan yang diisi dalam Mr Cinderella. Dengan gabungan nama hebat seperti penerbit, pengarah, penulis skrip dan bintangnya, filem ini bakal menggamit penonton ke pawagam. Selamat menonton 'Mr Cinderella'!