Anita setiausaha baru Erra

TAWARAN produser Md Noor Kadir pada Anita Sarawak bukan gosip atau khabar angin lagi kerana diva popular itu sudah menyatakan persetujuan untuk membintangi 'Mr Cinderella 2'. Anita bakal membawakan watak setiausaha Puteri Megawati lakonan Erra Fazira, bernama Suria dalam filem yang dijadualkan memulakan penggambaran 18 Januari ini. Ikuti temubual AKMAL ABDULLAH dan HANISAH SELAMAT dengan Anita Sarawak dan Pengarah Urusan Kuasatek Pictures, Mohd Noor Kadir.

FILEM kedua Kuasatek Pictures, 'Mr Cinderella 2' (MC2) membuat kejutan dengan kehadiran superstar Anita Sarawak sebagai salah seorang pelakonnya, selain mengekalkan Erra Fazira dan Yusry KRU.

Filem itu yang turut menjalani penggambaran di New Zealand akan menampilkan kelainan dan pastinya jauh berbeza dengan filem terdahulu. Itulah janji penerbitnya, Mohd Noor Kadir dalam usahanya untuk menghasilkan sebuah filem komersial yang bermutu.

Jika 'Mr Cinderella' diarahkan Ahmad Idham dengan pencapaian kutipan RM3 juta tetapi kali ini Mohd Noor memilih Din CJ sebagai sutradara MC2, iaitu pengarah asal yang menerajui drama bersiri popular suatu ketika dulu, Cinderella juga terbitan Kuasatek Pictures.

"Saya gembira kerana Anita bersetuju untuk membintangi filem ini dengan wataknya sebagai setiausaha kepada watak puteri lakonan Erra. Watak Anita bernama Suria. Anita juga akan membawa salah satu watak penting dalam filem ini. Kami tidak menyangka Anita bersetuju untuk berlakon dalam MC2.

"Pada mulanya, ketika berbincang dengan Din CJ untuk mencari siapa pelakon paling sesuai untuk watak setiausaha Erra, saya secara bergurau menyebut nama Anita. Kata saya, kalau dapat Anita mesti gempar. Din CJ pula dengan serius berkata apa salahnya mencuba dan kami pun segera hubungi Anita.

"Tidak sangka Anita terima. Saya ke Singapura Sabtu lalu untuk berbincang lanjut dengan Anita mengenai tawaran ini. Rupa-rupanya dia mengakui sudah tahu dan menyemak latar belakang saya sebagai penerbit dan terbuka hatinya menerima tawaran ini.

"Malah, Anita sendiri pula yang memberi idea untuk menambah dan membaiki wataknya. Saya kagum dengannya sebab walaupun wataknya sedikit tetapi persiapannya hebat. Selalunya pelakon kita apabila dapat tawaran enam babak, mereka buat mudah saja dan hafal skrip pun di lokasi saja.

"Walaupun kali pertama bertemu, sesuatu mengejutkan saya ialah hubungan kami sudah mesra ibarat kakak dan adik. Dia begitu profesional. Kami juga berbincang hal lain iaitu kerjasama untuk projek jangka panjang yang saya tidak boleh beritahu lagi buat masa ini.

"Saya gembira bertemunya kerana tumpuan minda Anita sama dengan saya berkaitan kerja dan kami berada di landasan yang sama. Kami akan bekerjasama lagi untuk masa akan datang," kata Mohd Noor ketika dihubungi Persada Seni, kelmarin.

MC2 akan memulakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur pada 18 Januari ini, manakala penggambaran di New Zealand bermula pertengahan Februari ini.

Selain Erra, Yusry dan Anita, pelakon lain yang akan membintangi MC2 ialah Maya Karin, Opie Zami, Umie Aida, Datuk Ismail Hutson, M Rajoli, Khaty Ibrahim, Helmi Gimmick dan Datuk Jamali Shadat.

"Terlebih dulu, kami akan adakan pelancaran MC2 pada 16 Januari ini di Kelab Century Paradise, Taman Melawati, Hulu Klang. Pada mulanya kita mahu buat kejutan untuk umumkan nama Anita di majlis itu tetapi tidak sangka wartawan sudah tahu cerita ini. Cepat betul anda semua hidu berita ini," katanya.

Mohd Noor juga berkata, Anita akan tiba di Kuala Lumpur lebih awal untuk sesi pembacaan skrip MC2 dan menyertai majlis pelancarannya sehari selepas itu.

Bukan sekadar skrip menarik, tetapi Anita Sarawak dan suaminya, Mohd Mahathir Abdullah, yang juga pengurusnya, sudah merasakan keserasian sebaik saja bertemu dengan penerbit 'Mr Cinderella 2', Mohd Noor Kadir.

"Sebenarnya Md Noor (Kadir) sudah datang ke Singapura, Ahad lalu. Dalam pertemuan kali pertama itu, kami banyak berbincang mengenai skrip dan kesesuaian watak saya.

"Dari situ saya mula merasa serasi untuk bekerja dengannya. Bagi saya Md Noor seorang yang tegas tetapi banyak bertolak ansur.

"Sebenarnya banyak lagi yang kami bualkan. Dia produser yang berpandangan jauh serta mempunyai banyak idea," katanya ketika dihubungi di kediamannya di Singapura, kelmarin.

Biarpun menghidap sakit tekak serta jangkitan selesema sekembali bercuti dari Amerika Syarikat dan London, penghibur itu tetap rancak bercerita.

Mengakui perjumpaan itu belum ada hitam putihnya, Anita tidak menafikan akan turun ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini untuk menandatangani kontrak.

Setakat ini beliau sudah berpeluang membaca kertas kerja dan skrip berkenaan filem arahan Din CJ itu tetapi belum menerima jadual penggambaran.

Ketika ditanya sama ada mereka bekerjasama dengan Kuasatek Pictures untuk pembikinan filem yang skripnya dihasilkan Mahathir, Anita tidak mahu memberikan sebarang komen.

"Segalanya akan ditentukan sebaik saja saya menandatangani kontrak. Saya juga sedia berkongsi cerita dengan semua pada pelancaran nanti," katanya sambil ketawa.