'Soalnya Siapa?' cecah RM2 juta
Oleh Hardi Effendi Yaacob

BIARPUN disaingi banyak filem blockbuster lain, 'Soalnya Siapa?' arahan Othman Hafsham masih mampu mencatatkan jumlah kutipan yang baik apabila sudah mencecah lebih RM2 juta.

Produsernya, Habsah Hassan, ketika dihubungi Persada Seni, semalam memaklumkan kutipan itu adalah menerusi tayangan umumnya bermula 25 Disember lalu di 40 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

"Kutipan itu mencecah RM2 juta hanya dalam tempoh 12 hari tayangan. Difahamkan, ia mendapat sambutan menggalakkan di Kuala Lumpur, selain Johor Bharu, Seremban, Ipoh dan Melaka. Di Singapura dan Brunei pun, sambutannya boleh tahan juga.

"Dulu, 'Soal Hati' cuma mencatatkan kutipan hanya RM1.5 juta. Itupun selepas 63 hari ditayangkan. Jadi, ini satu perkembangan yang membanggakan kita. Kita harap jumlah ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Kita cuba mempromosikan 'Soalnya Siapa?' di Pantai Timur dan Utara Semenanjung pula," katanya.

Bagaimanapun, Habsah tidak dapat mengagak sampai bilakah filem terbarunya itu akan terus ditayangkan kerana ia bergantung kepada budi bicara pemilik atau pengendali pawagam.

"'Soalnya Siapa?' sudah pun melepasi tempoh tayangan yang ditetapkan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) menerusi Syarat Wajib Tayang. Jadi, kita sekarang ini hanya bergantung kepada keputusan syarikat pemamer sama ada mahu melanjutkan tayangannya atau tidak.

" Kita amat berharap mereka dapat bekerjasama dan bertoleransi tentang perkara ini. Kita minta sangatlah mereka dapat melanjutkan tempoh tayangan filem ini dan memberi peluang kepada orang ramai, khususnya peminat filem Melayu menyaksikannya," kata Habsah.

"Kalau boleh, biarlah tayangan 'Soalnya Siapa?' berlarutan hingga 63 hari seperti 'Soal Hati' dulu," katanya.

'Soalnya Siapa?' adalah filem ketiga keluaran Serangkai Film selepas 'Soal Hati' yang diterbitkan empat tahun lalu dan 'Hati Bukan Kristal' (1990). 'Soalnya Siapa?' juga adalah sambungan kepada 'Soal Hati'.

Selain Erra dan Afdlin, filem komedi romantis itu turut membabitkan beberapa pelakon lain seperti Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, Khatijah Tan, Rashid Salleh, Yusni Jaafar, Aziz Sattar, Linda Onn, Sharifah Shahira, Ellie Suriaty Omar, Jaafar Onn, Piee dan Zaibo.

'Soalnya Siapa?' berkisarkan kehidupan Nurul Ain (lakonan Erra) yang melanjutkan pelajarannya ke Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang selepas berjaya dalam peperiksaan STPM. Pada masa yang sama, hubungan Ain dan buah hatinya, Ahmad Daniel (lakonan Afdlin), seorang ahli perniagaan terkemuka mulai renggang kerana jarak memisahkan mereka.

Keadaan bertambah rumit apabila bekas kekasih Ain, Johari (lakonan Rashid) mahu menagih kasihnya kembali. Akhirnya, Ain keliru dalam memilih pasangan hidup. Daniel pula tidak henti-henti mahukan kata putus daripadanya mengenai hubungan mereka. Akibat terlalu tertekan, Ain memberanikan diri bersemuka dengan Daniel lalu menceritakan kisah benar mengenai rahsia dirinya selama ini.