Erra, Afdlin masih serasi
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

WALAUPUN hanya akan menemui penonton mulai 25 Disember ini, filem ketiga terbitan Serangkai Filem Sdn Bhd, 'Soalnya Siapa?' yang mempertemukan semula Erra Fazira dan Afdlin Shauki sebagai teraju utama sudah mula rancak menjalankan kempen promosi.

Penghujung Oktober lalu, tayangan perdana filem ini dibuat di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan akan disusuli sebuah lagi tayangan di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab, Kuala Lumpur, pada 17 Disember ini.

Menjelang tarikh tayangan yang kian menghampiri, debaran penerbitnya, Habsah Hassan turut dikongsi bersama pasangan Erra dan Afdlin. Ia disebabkan filem ini sekali lagi mempertaruhkan bakat mereka dan pada masa sama, pasti ada peminat yang membandingkannya dengan 'Soal Hati'.

Namun, baik Erra mahupun Afdlin, semuanya diserahkan kepada peminat kerana yang penting mereka sudah melakukan yang terbaik dalam filem arahan Othman Hafsham itu.

Dalam filem yang tamat penggambaran Mei lalu, Erra dan Afdlin meneruskan kesinambungan watak Nurul Ain dan Ahmad Daniel yang dibawakan menerusi 'Soal Hati'.

“Banyak perkara yang menjadi persoalan dalam 'Soal Hati' akan terjawab dalam 'Soalnya Siapa?'. Pelbagai pengalaman berharga kami lalui sepanjang penggambaran. Lebih-lebih lagi, filem ini turut menggandingkan nama besar lain antaranya Khatijah Tan dan Ellie Suriaty.

“Peluang bergandingan dengan mereka cukup berharga. Bukan mudah untuk beraksi di samping pelakon sehebat mereka dan ini memberikan cabaran kepada saya melakonkan yang terbaik,” kata Erra.

Filem itu turut menampilkan pelakon seperti Zaibo, Pie, Wan Maimunah, Rashid Salleh dan Sharifah Shahira.

Sementara itu, bagi Habsah pula, dia berpuas hati dengan hasil kerja yang dicurahkan tenaga produksi serta arahan Hafsham yang nyata masih berbisa sentuhannya. Seperti produser lain, Habsah juga mengharapkan kutipan terbaik lebih lagi apabila ditayangkan ketika masyarakat Islam masih lagi dalam suasana sambutan Aidilfitri.

"Sebagai produser sudah tentu saya mengharapkan filem ketiga ini membuahkan kejayaan dari segi kutipan tiket. Namun, sebagai produser dan juga penulis skrip, saya perlu sedar peranan saya kepada masyarakat serta industri dan bukannya mengejar keuntungan semata-mata.

"Hafsham sudah melakukan tugasnya sebaik mungkin begitu juga pelakon sudah melakukan yang termampu dan saya berpuas hati dengan 'Soalnya Siapa?' Apapun saya serahkan kepada penonton untuk menilai filem ini," katanya.