Erra Fazira gadis montel
Oleh Akmal Abdullah

SESUATU yang mengejutkan bakal dilihat dalam filem 'Cinta Kolesterol' arahan Prof Madya Razak Mohaideen. Biasanya filem Melayu akan menampilkan watak utama hero dan heroin yang kacak, bergaya, cantik dan menawan. Namun, filem kelapan Metrowealth Movies Production ini akan menjadikan pelakon filem popular, Erra Fazira sebagai gadis montel.

Kegemukan Erra bukannya menggunakan kaedah lapuk iaitu memasukkan span, air atau bantal dalam bajunya. Malah, ia bukannya menggunakan helah komputer atau grafik sebaliknya menerusi teknik solekan yang canggih dan rapi menerusi kepakaran Pine Wood Studio dari London, yang akan membuatkan Erra dilihat seperti gemuk semula jadi.

Sasarannya Erra akan digemukkan sehingga seberat 130 kilogram! Peminat Erra kelak jangan terkejut melihat punggung pelakon itu yang besar lebar, perut Erra pula mengembang macam belon dan lemak bawah dagunya berlapis-lapis. Betisnya pula besar pendek dan pipinya bulat. Semuanya gara-gara kecekapan solekan tenaga pakar dari dalam dan luar negara.

Gemuk keterlaluan atau bahasa saintifiknya, obesiti akan menjadi konsep cerita filem bertemakan cinta itu yang pasti memberi suasana baru dalam pengisian filem komersial tempatan. Lebih menarik, banyak kejutan pada jalan ceritanya, bukan imej stereotaip yang biasa didengar atau ditonton dalam filem lain.

Teknik ini sudah biasa dibuat dan dilihat seperti beberapa filem Hollywood dan Hong Kong apabila pelakon utamanya muncul dalam versi gemuk seperti filem 'Nutty Professor', 'Big Mama', 'Shallow Hal' dan 'Love On Diet'.

Razak berkata, 'Cinta Kolesterol' menggunakan 100 peratus solekan yang akan menjadikan perubahan fizikal pada Erra dengan menggunakan sistem acuan pada wajah hingga ke bahu. Salinan wajah acuan itu akan dibuat terlebih dulu untuk disolek.

"Acuan itu akan dibawa ke London untuk dikemas kini supaya nampak benar-benar muka Erra yang gemuk gedempol. Untuk tubuh badannya pula ia akan disolek sebelum penggambaran, bermakna Erra kena bersedia empat jam sebelum penggambaran khusus untuk solekan saja.

"Selain itu ia akan dibuat set sesuai untuk gerak geri seorang insan gemuk. Bagi babak gemuk, 20 set akan disediakan sebagai gambaran kehidupan sebenar gadis gemuk yang kelihatan tidak tahu bergaya dan selekeh. Untuk babak gemuk, ia akan digunakan sebanyak 60 peratus bagi keseluruhan filem ini.

"Solekan akan mengambil masa empat jam dan untuk membuka balik solekan pada tubuh dan wajahnya itu ia akan mengambil masa dua jam lagi. Ini sesuatu yang menarik dalam filem Melayu. Peringkat awal kita mahu letak sasaran Erra gemuk sehingga 150 kilogram tetapi selepas dinasihati perunding solekan dan supaya Erra lebih selesa untuk bergerak, kita tetapkan kegemukan pada tahap 130 kilogram.

"Kita yakin ini satu kelainan yang berjaya kelak sebab pakar solekan yang digunakan itu memang sering bekerja untuk Hollywood dan berpangkalan di London. Kos rundingan untuk tujuan ini saja sudah menelan belanja RM150,000.

"'Cinta Kolesterol' akan memulakan penggambaran 16 Mac ini dan dijangka mengambil masa sekitar 35 hari," katanya.

Filem yang akan menelan belanja lebih RM1.5 juta itu diterbitkan menerusi kerjasama Metrowealth, KRU Motion Pictures dan Erra Fazira Entertainment. Bagaimana Erra digemukkan?, Pengurus produksi 'Cinta Kolesterol', Latiff Mohaideen, menjelaskan, proses kegemukan dinamakan prosthetic adhesive yang menggunakan susu getah berbuih (latex foam) yang boleh disesuaikan dengan kulit manusia.

"Ia adalah bahan getah yang paling sesuai untuk dijadikan seakan-akan kulit manusia, yang sifatnya begitu halus dan boleh dicampurkan dengan pewarna dan pelbagai alat solekan. Untuk kulit kepala dan rambut kita akan gunakan ball caps supaya rambut tidak rosak dan tak jejaskan kulit kepala.

"Ia juga akan dipadankan dengan body suit untuk disesuaikan dengan saiz kegemukan Erra. Lapisan getah akan ditebalkan sehingga kepada berat 130 kilogram. Untuk mengekalkan keaslian kulit Erra di sebalik solekan itu, kita gunakan bahan antipeluh bagi mengelak berpeluh, sekali gus tindak balas kimia badan dapat dikurangkan," katanya kepada Persada Seni.

Kata Latiff, Erra akan berasa panas ketika memakai solekan foam latex dan atas sebab itulah pihaknya terpaksa mengutamakan bahan antipeluh.

"Jurusolek dari Pine Wood Studio akan bawa dua tiga jenis bahan berkaitan supaya dapat disesuaikan dengan cuaca di Malaysia dan kulit Erra. Erra akan duduk untuk dihias dan disolek dalam bilik berhawa dingin.

"Bahan foam latex sesuai dengan pergerakan dan kulit manusia. Untuk mengekalkan solekannya, kita gunakan pula semburan kalis air supaya tidak lentur sebab Erra akan berada di bawah lampu kamera yang agak panas. Semburan fixing juga digunakan bagi tujuan sama.

"Insya-Allah, ia akan nampak tulen. Dua orang tenaga kerja penting dalam solekan ini ialah Maizurah Kamaruddin atau dikenali sebagai Amy Magic, seorang lagi dari London iaitu David Bonewell," katanya.

Ini bermakna susu getah yang akan dicampur dengan pelbagai cecair kimia bagi membentuk kulit dan daging palsu yang dilekap pada keseluruhan bahagian tubuh Erra pasti menjadikan pelakon itu Erra kelihatan gemuk seperti semula jadi.

Apa pula kata Erra?, "Filem ini bukan untuk memperli sesiapa, bukan juga untuk menjatuhkan mereka yang berbadan gemuk. Malah, filem ini apabila disiarkan nanti, kita akan lihat ceritanya akan mampu menaikkan semangat mereka yang gemuk. Sekurang-kurangnya filem ini beri inspirasi.

"Memanglah soal gemuk perkara sensitif tetapi niat kita dalam filem ini bukan untuk memalukan sesiapa tetapi sebagai sebuah cerita dalam filem. Saya sendiri tertarik untuk berlakon dan menerima undangan bekerjasama menerbitkan 'Cinta Kolesterol' kerana jalan cerita dan skripnya yang cukup menarik.

"Saya dulu pernah juga gemuk tetapi bukanlah gemuk seperti macam dalam filem ini. Kisah dalam filem ini ialah watak saya sebagai Fazirah, gadis yang gemuk dan mahu dijodohkan dengan pemuda yang baru balik dari luar negara. Usaha menjodohkan mereka dibuat menerusi perjanjian ketika mereka masih bayi lagi iaitu ibu bapa masing-masing berjanji hendak satukan mereka.

"Apabila pemuda itu tahu Fazirah berbadan gemuk, dia tidak mahu menerima gadis itu, lagu Fazirah merajuk dan menghilangkan diri untuk membuktikan dirinya juga boleh menjadi seorang yang cantik. Cukup setakat itu saja kisahnya yang boleh saya beritahu.

"Saya sendiri nak tengok macam mana saya disolek nanti sampai seberat lebih 100 kilogram. Inilah kelainan watak saya berbanding filem sebelum ini. Ia suatu perubahan yang menarik dan peluang untuk saya mencuba watak yang lain daripada lain,Ó katanya ketika ditemui di majlis sidang media 'Cinta Kolesterol', di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam filem itu, Erra akan bergandingan dengan Yusry KRU selain menampilkan pelakon Ezad Exists dan Rita Rudaini.