PADA masa ini ada dua filem Melayu yang sedang dalam penggambaran yang begitu menarik perhatian saya. Filem itu ialah 'Puteri Gunung Ledang' (PGL) dan 'Mr Cinderella 2' (MC2). Untuk mengupasnya dalam ruangan ini, rasanya saya pilih MC2 dulu sebab filem ini adalah kesinambungan Mr Cinderella yang kutipannya lebih RM3 juta.
PGL yang diterbit dan dilakonkan Tiara Jacquelina sebenarnya banyak yang menarik untuk diperkatakan. Banyak sudut mempesona yang boleh dikupas dari segi skrip dan persiapan produksinya yang menelan kos RM6 juta. Ia bukan lagi filem komersial untuk sasaran penonton remaja atau filem hiburan ringan, sebaliknya agenda membuktikan imej baru filem tempatan yang bertaraf mutu antarabangsa. Saya berminat untuk memperkatakan PGL minggu depan.
Berbalik pada MC2, sudah tentu ramai yang tahu Anita Sarawak turut beraksi bersama pasangan artis popular, Erra Fazira dan Yusry KRU. Malahan, filem kedua terbitan Kuasatek Pictures itu mengisahkan cinta remaja yang membabitkan orang kaya dan kerabat diraja. Satu tema basi dan memualkan seperti mana Mr Cinderella dulu.
Namun, janji penerbit dan penulis skripnya, Mohd Noor Kadir bahawa MC2 akan menjadi pengubat maruahnya yang sebelum ini terkenal sebagai penulis skrip drama bermutu. Janji penerbit berusia 50 tahun ini sangat melegakan saya kerana saya sendiri adalah peminat drama Melayu yang kagum dengan skripnya yang memikat seperti drama TV berjenama Kuasatek sebelum ini.
Malah, di satu majlis di Finas baru-baru ini, Mohd Noor ada memberitahu saya bahawa dia mahu hasilkan sesuatu yang jauh lebih baik daripada 'Mr Cinderella' kerana dia mengakui banyak kelemahan dalam filem sulungnya itu. Dalam akhbar pula, Mohd Noor dilaporkan mahu menjadikan MC2 sebagai sebuah filem Melayu blockbuster.
Ramai yang kenal nama Mohd Noor Kadir kerana telemovie yang diterbit dan skrip yang ditulisnya mempunyai kelainan dan mutu yang hebat. Contohnya, telemovie 'Surah Terakhir', 'Dominan', 'Tarantula', 'Marabbuka', 'Sempadan Kasih', 'Odisi', 'Resolusi', 'Syurga Di Pintu Neraka' serta drama bersiri 'Cinderella'.
Selepas bertahun-tahun menjadi penerbit drama, Mohd Noor beralih ke layar perak, maka terhasillah 'Mr Cinderella'. Alasannya ialah untuk memberi hiburan kepada penonton, maka muncullah filem yang ala-ala syok sendiri dan suka-suka saja. Saya menjadi begitu terkejut dengan skrip Mohd Noor menerusi filem itu yang nyata langsung tidak melambangkan seorang penulis skrip yang matang sebagaimana imej yang dibinanya dalam telemovie seperti disebut tadi. Mohd Noor bagaikan hilang punca apabila menulis skrip filem, sebaliknya memberi alasan ia mahu paparkan kisah ringan dan sesuai untuk sasaran penonton.
Alasan komersial tidak salah digunakan tetapi maksud komersial itu sendiri harus bergerak dengan mutu yang mahu dipaparkan. Apabila sudah ada nilai komersial dari segi judul, barisan pelakon dan konsep cerita, makan isi filem itu haruslah diteguhkan dengan idea yang mantap serta garapan yang kemas. Barulah kita melihat sebuah karya komersial yang mempunyai pendekatan emosi, spiritual, intelektual dan menghiburkan.
Saya kecewa menonton 'Mr Cinderella' kerana kematangan skrip Mohd Noor bagaikan sudah terkubur kerana filem pertama terbitannya itu nyata bak sebuah karya picisan. Soal untung di pawagam adalah aspek lain kerana faktor pelaris iaitu penampilan Erra dan Yusry yang sememangnya tengah panas dengan cinta sebenar mereka banyak memberi kejayaan bagi kutipan filem itu di pawagam.
Biarlah, itu cerita lama. Kali ini MC2 bangkit dengan semangat baru. Filem itu yang mendapat sentuhan sutradara Din CJ yang juga hebat menerusi drama arahannya diharap dapat mengembalikan imej matang skrip Mohd Noor. Dengan nama barisan pelakonnya yang kuat dan judulnya yang memikat, aspek ceritanya harus diberi keutamaan. Sebagai penulis skrip, diharap Mohd Noor sudah memasukkan imej pemikirannya yang sebenar dalam skrip MC2. Mohd Noor tidak boleh lagi menganggap kisah cinta mesti diringankan sebaliknya harus berani membuat pembaharuan. Soal garapan, terserah pada Din CJ bagi memastikan visual dan gerak lakon yang dipaparkan cukup mempesona.
Seperti kata seorang peminat dalam ruangan surat pembaca akhbar ini, baru-baru ini yang berpesan kepada Mohd Noor, Mohd Noor diharap tidak terbawa-bawa dengan pandangan bahawa penonton filem Melayu cuma ingin menonton filem ringan di pawagam... Nasihat ini baik untuk dihayati Mohd Noor supaya membina imej kualiti filemnya sendiri seperti mana yang dibinanya dalam produk TV.
Saya yakin dengan janji penerbit itu untuk memberi sesuatu yang jauh lebih baik kali ini. Malah Mohd Noor juga pernah berkata bahawa dia mahu memberikan cerita yang menarik minat masyarakat dengan membawa unsur skrip yang membina minda penonton. Dia pernah berkata, Kalau berita anjing gigit orang, kita sudah biasa dengar tapi cerita orang gigit anjing, itu tidak pernah berlaku... inilah unsur yang kita bawa dalam karya Kuasatek.
Saya ingin tekankan bahawa tidak salah untuk hasilkan filem komersial seperti MC2. Sebagai kategori filem komersial, ia memang sudah ada unsur komerisalnya iaitu imej yang kuat dari segi judul, nama Mohd Noor serta barisan pelakonnya yang cukup popular seperti Erra, Yusry, Anita, Maya Karin, malah disokong kuat dengan penampilan Khaty Ibrahim, Opie Zami dan M Rajoli. Maka, kekuatan idea dan cerita harus menjadi elemen penting selari dengan imej komersial sedia ada itu. Kalau begini, barulah dinamakan sebuah filem blockbuster.
Buat Mohd Noor, saya berharap doa kita dimakbulkan Tuhan untuk melihat sebuah filem Melayu komersial tetapi berjiwa serta mempunyai kekuatan yang boleh dibanggakan. Malah, diharap filem kedua Kuasatek itu akan mengundang ramai peminat drama Kuasatek untuk sedia berkunjung ke pawagam. Selamat berjaya MC2!