Erra wujud semula Kelab Peminat
Oleh Norhadiani Baharom

Lebih 300 remaja yang kebanyakannya memakai pakaian sekolah menghadiri majlis Bersama Erra - Forever Prihatin yang bertemakan Kembali Ke Alam Sekolah, sempena pelancaran Kelab Peminat Erra di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Erra yang datang jam 3 petang muncul dengan berpakaian sekolah pelajar British, berkasut pallaz dan berstokin bola warna merah.

Kelibatnya itu sungguh lucu, di tambah lagi dengan kehadiran buah hatinya, Yusry yang bergaya seperti pelajar ‘nerd’.

Turut diundang ialah penyanyi Fazley yang mendendangkan beberapa lagu, antaranya Sesaat Kau Tiada dan sebuah lagu Inggeris yang dipopularkan oleh kumpulan Santana.

Erra sendiri turut mendendangkan beberapa lagu seperti Jendela Hati, Rahsia Impian dan Lepaskanku.

Dewan bertambah riuh apabila Erra yang berpegang tangan dengan Yusry menyampaikan lagu yang menjadi soundtrack filem Mr Cinderella, Ucapkanlah.

“Saya tidak menyangka ramai yang datang ke majlis ini dan tidak keberatan mengenakan pakaian sekolah demi menetapi konsep majlis.

“Beberapa tahun lalu Erra pernah menubuhkan kelab, tetapi tidak aktif kerana tiada kegiatan yang dijalankan.

“Bagaimanapun kegagalan itu tidak mengecewakan anda semua dan buktinya kehadiran anda pada hari ini.

“Insya-Allah kali ini Erra cuba memuaskan anda semua dengan beberapa kegiatan yang bakal dijalankan oleh EFE Entertainment. Terima kasih, “ kata Erra yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Di majlis yang berlangsung tiga jam itu juga turut mengadakan beberapa acara lain untuk peminat Erra, antaranya pertandingan Riak Wajah Pasangan, Tarian Paling Seksi, Cat Walk dan cabutan nombor bertuah. Hadiah sumbangan beberapa penaja disampaikan oleh Erra kepada pemenang.