'Cinta Kolesterol' gabung tiga syarikat

BIARPUN ada halangan pada peringkat awal, filem 'Cinta Kolesterol' akhirnya tetap diterbitkan menerusi kerjasama Metrowealth Movies Production, KRU Motion Pictures (KMP) dan Erra Fazira Entertainment (EFE). Gabungan tiga syarikat ini menjanjikan sebuah filem komersial yang dianggap mampu memberi kelainan dan tarikannya tersendiri.

Pada awalnya filem itu dirancangkan menjalani penggambaran bulan depan tetapi untuk memberi laluan pelakonnya beraksi dalam 'Mrs Cinderella', maka filem kerjasama pertama Metrowealth ini akan dimulakan penggambarannya pada 15 Mac depan.

Majlis penyerahan perjanjian tiga syarikat itu untuk 'Cinta Kolesterol' diadakan Khamis lalu di Kuala Lumpur. Metrowealth diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Teo sementara KMP diwakili Pengarah Urusannya, Norman Abdul Halim dan EFE diwakili Pengarah Urusannya, Fazira Wan Chek atau Erra.

Filem itu akan diarahkan Prof Madya Razak Mohaideen. Ia dijangka ditayangkan pada September atau untuk musim Aidilfitri depan.

“Penerbitan 'Cinta Kolesterol' adalah filem kelapan Metrowealth. Inilah kali pertama kami bekerjasama dengan pihak lain dan memberi peluang kepada generasi pelapis dalam penerbitan filem cereka. Kami juga berhasrat meluahkan pengalaman kepada pelapis.

“Tiga tahun dalam industri filem, banyak pengalaman yang kami dapat dan ia boleh dikongsi bersama dengan kumpulan pelapis,” kata David ketika berucap di majlis itu.

Erra dalam ucapannya pula menyifatkan kerjasama syarikatnya dengan Metrowealth dan KMP adalah satu langkah permulaan untuknya pergi lebih jauh dalam industri filem. Peluang yang diberikan sebagai rakan kongsi adalah sesuatu yang dinantikan. Tiga syarikat bergabung untuk satu filem yang menarik dan harap kerjasama ini akan berterusan.

“Apa yang menarik untuk saya turut terbabit dalam penerbitan filem ini ialah kerana skrip dan jalan ceritanya. Terima kasih pada David yang memberi kepercayaan pada saya dan EFE. Walaupun tahun 2003 saya banyak muncul dalam filem tetapi saya harap ia tidak menjejaskan pasaran.

“Apa yang penting, saya berlakon untuk memberi kepuasan kepada peminat dan pulangan kepada penerbit,” kata Erra yang akan tampil menerusi filem 'Gila-Gila Pengantin', 'Janji Diana', Mrs Cinderella' dan 'Soalnya Siapa?' pula sedang ditayangkan.

Berdasarkan konsep cerita yang menarik dan penampilan muka popular seperti Erra dan Yusry KRU, filem itu bakal menggunakan kepakaran teknik kesan khas dan jurusolek dari London bagi menggambarkan pelakon utamanya kelihatan gemuk.

Difahamkan dalam filem itu, menerusi teknik solekan, Erra akan digemukkan untuk menjadi seberat lebih 100 kilogram bagi menyesuaikan watak Fazirah yang dibawanya sebagai seorang gadis montel, selekeh dan tidak pandai bergaya.

Sementara itu, Norman berkata, pihaknya berbesar hati kerana inilah kali pertama KMP yang ditubuhkan sejak 1997 terbabit dalam penerbitan filem cereka secara langsung iaitu dari mula sehingga akhir proses penerbitannya.

“Sebelum ini KMP hanya terbabit dalam proses membuat soundtrack filem, dubbing dan menyediakan kesan bunyi. Kami hargai peluang yang diberikan ini. Filem ini bukan sekadar kerjasama perniagaan dan untung semata-mata sebaliknya kami tertarik pada cerita filem ini kerana ia membabitkan teknik solekan yang bakal menampilkan kelainan.

“Ia buatan tempatan dengan kesan khas seperti mana dalam filem Hong Kong. Kita menggunakan kepakaran kesan khas daripada London menerusi syarikat Pine Wood Studio. Ini bukan pelaburan yang murah. Kami beri sokongan penuh pada Yusry sebagai pelakon utama dan kita yakin 'Cinta Kolesterol' mampu dapat sambutan,” katanya.